ALOR SETAR – Perwakilan Pas Sarawak, Zharudin Narudin mencuri perhatian selepas turut berbahasa Mandarin ketika berbahas pada Muktamar Pas Pusat kali ke-71 di Markas Pas Kedah, di sini hari ini.
Zharudin berucap dalam bahasa Mandarin ketika menyentuh isu berkenaan cadangan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini supaya bahasa Cina dan Tamil turut diajar di sekolah kebangsaan.
“Baru sahaja Timbalan Presiden kita cadangkan bahasa Mandarin untuk diajar di sekolah kebangsaan, begitu cepat Ahli Parlimen DAP (Lim Lip Eng) cadang semula supaya ia turut diajar di Pasti.
“(Terjemahan bahasa Mandarin) Kamu (Lip Eng) dengar sini baik-baik, jangan cabar kami. Kamu sepatutnya belajar bahasa Melayu dengan baik seperti kami hantar anak-anak kami ke sekolah Cina untuk belajar di sekolah rendah dan sekolah menengah. Seperti saya boleh bertutur dalam bahasa Mandarin,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kenyataan Lip Eng yang menggesa supaya Pas memperkenalkan kelas bahasa Mandarin dan Tamil di Pasti sekiranya parti itu benar-benar ikhlas dengan cadangan untuk mengajar bahasa tersebut di sekolah kebangsaan.
Kenyataan Lip Eng itu susulan cadangan Tuan Ibrahim ketika berucap merasmikan Konvensyen Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) kali ke-10 kelmarin, supaya kedua-dua bahasa itu diperkenalkan di sekolah kebangsaan bagi memupuk perpaduan.
Sementara itu, Zharudin berkata, masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini memerlukan suasana tenang dan damai untuk saling memahami antara satu sama lain.
Katanya, ia termasuk penggunaan bahasa yang berhemah, dasar ekonomi yang inklusif dan kefahaman terhadap kepelbagaian budaya.
Semua aspek itu, ujar beliau, membantu memelihara keharmonian dan mengelakkan polarisasi kaum dan agama.
“Kita lihat bagaimana beberapa negara di dunia berdepan tekanan sosial apabila perbezaan agama dan kaum tidak diruskan dengan damai.
“Maka, pendekatan damai ini bukan sahaja tuntutan syarak, tetapi juga strategi negara bangsa yang matang,” katanya.
Tambah beliau, Pas juga tidak berkehendak untuk memutuskan atau meleraikan polarisasi kaum, malah Pas Sarawak diberikan kebebasan untuk melebarkan sayap parti itu dengan gaya sendiri.
Katanya, Pas Sarawak juga akan menjadi benteng pembinaan modal insan dan penerus bagi memastikan kepimpinan Islam di Sarawak terus memelihara kepentingan Islam tanpa mengabaikan agama lain.
“Walaupun Pas belum meletakkan wakil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, tetapi Pas Sarawak boleh menjadi jambatan untuk mendekatkan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS), sekali gus memastikan survival politik muslim di Sarawak berpanjangan,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment