NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Satu lori calon PM pun, Pas tak pernah sampai Putrajaya -Mahfuz



KUALA LUMPUR – Dakwaan Pas kononnya memiliki ‘tiga hingga empat lori calon Perdana Menteri’ disifatkan tidak lebih daripada retorik politik yang gagal memberi sebarang makna kepada rakyat.

Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar berkata, jawatan Perdana Menteri bukan soal berapa ramai calon yang boleh ditawarkan tetapi memerlukan kualiti kepimpinan yang mampu mengemudi negara dengan jelas.


“PAS boleh kata ada lori penuh calon Perdana Menteri, tetapi lori itu brek rosak, tayar pancit dan pemandu pun tidak tahu arah. Banyak lori, tapi hala tuju negara kosong.

“Rakyat tidak perlukan karnival calon Perdana Menteri. Apa yang rakyat mahukan ialah kepimpinan yang stabil, ada visi dan keberanian membuat keputusan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, meskipun Pas sering mendakwa mempunyai ramai calon, realitinya sehingga kini parti tersebut belum pernah berjaya sampai ke Putrajaya untuk menerajui pentadbiran negara..

“Yang sampai hanyalah lori sarat janji kosong, retorik agama untuk undi serta politik kebencian.


“Itu semua tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat, malah ibarat lori sampah yang membusuk,” katanya.

Beliau menegaskan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih bukan kerana bilangan calon yang ditawarkan tetapi kerana pengalaman, kualiti serta kemampuan memulihkan negara selepas kegagalan kerajaan terdahulu yang turut disertai PAS.

Tambahnya, politik Malaysia tidak boleh dipandu dengan lori rosak bernama Pas sebaliknya, negara memerlukan ‘pemandu’ yang tahu jalan dan bukan sekadar melambai dari atas lori sambil menabur sindiran.

Dalam pada itu, Mahfuz mencabar Pas menamakan calon Perdana Menteri mereka sempena Muktamar Tahunan ke-71 yang bermula hari ini.


Katanya, Pas sebelum ini marah apabila Bersatu menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri namun parti itu sendiri gagal menamakan calon mereka sendiri.

Beliau mendakwa, ini membuktikan Pas tidak mempunyai tokoh yang layak apatah lagi yang memenuhi syarat. -MalaysiaGazette









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo