BANGI, 5 SYAABAN — Parti PEJUANG menggesa 222 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam membahaskan titah diraja Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semalam.
Ketua Penerangannya, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata peluang itu wajar digunakan sebaiknya dalam membela agama Islam yang semakin dicabar pihak tertentu.
“PEJUANG menerima baik dasar perpaduan negara wajib dipertahan. Namun, tidak kurang penting keperluan untuk wakil rakyat berani mempertahan ketinggian Islam.
“Ia sebagai agama rasmi dan hak istimewa orang Melayu, Orang Asli, Sabah dan Sarawak. Isu berkaitan juga tanah rizab Melayu, kedaulatan Islam dan bahasa Melayu.
“Insiden-insiden yang memperkecil-kecilkan kalimah Allah serta Nabi Muhammad mesti tidak ada kompromi. Ia wajib dibangkit dan mesti dibahaskan secara terbuka,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan yang disiarkan di laman Facebook miliknya hari ini menyokong penuh titah diraja.
Katanya, ahli parlimen juga wajar menggunakan sidang kali ini bagi mempersoalkan tindakan kerajaan membendung kenaikan harga barang.
“Masyarakat merasakan bebanan harga barangan yang semakin tinggi akibat kenaikan harga diesel yang memberi kesan dominan kepada kos barangan dan perkhidmatan.
“Keadaan ini diburukkan lagi dengan ketidaktentuan mengenai subsidi RON95 yang dijadualkan pada Mei atau Jun 2025 serta isu kenaikan tarif elektrik.
“Kegagalan kerajaan dalam isu ini adalah untuk berterus-terang dengan rakyat dan mengakui Malaysia sedang melalui keadaan ekonomi yang tidak begitu baik,” katanya.
Muhammad Rafique berkata ahli parlimen perlu menggunakan sidang Dewan Rakyat kali ini memastikan semua penerangan kerajaan disiarkan di media sosial.
Katanya, wakil rakyat wajar mendapat penjelasan jenis-jenis kandungan yang disekat agar ia tidak menjadi ruang sekatan maklumat kepada rakyat.
“Amat penting untuk kerajaan ini difahamkan bahawa Malaysia masih di tangga teratas bagi jumlah kandungan TikTok yang dimohon untuk nyahaktif atau disekat.
“Penting wakil rakyat memohon data dari kerajaan mengenai jenis kandungan yang disekat agar ia tidak dijadikan alat politik menyekat rakyat mengetahui isu sebenar,” katanya.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment