MENGAPA GARIS PANDUAN JAKIM PERLU?
LBerkaitan dengan ucapan selamat seseorang Muslim terhadap teman-teman bukan Islam yang menyambut perayaan keagamaan mereka, terdapat dua pandangan para ulama mengenainya. Satu pandangan yang tegas, tidak mengharuskan seseorang Muslim untuk memberi ucapan selamat kepada teman-teman bukan Islam menyambut perayaan keagamaan mereka, manakala satu lagi pandangan yang lebih longgar mengharuskan ucapan selamat dengan syarat-syarat tertentu. Demikian jugalah tentang kunjungan seseorang Muslim ke rumah pemujaan orang bukan Islam, juga terdapat dua pandangan seumpamanya.
Saya sendiri berpegang kepada pandangan pertama yang tidak mengharuskan seseorang Muslim memberi ucapan selamat kepada teman-teman bukan Islam menyambut perayaan keagamaan mereka, dan juga tidak mengharuskan seseorang Muslim untuk berkunjung ke rumah pemujaan orang bukan Islam. Bagaimanapun, saya tidak membantah jika ada seseorang Muslim yang berpegang kepada pandangan kedua kerana pandangan tersebut juga disandarkan kepada para ulama, yang berasaskan dalil-dalil tertentu. Sebagaimana saya menghormati pandangan yang kedua, demikian juga saya berharap pandangan saya juga dihormati.
Berpegang kepada pandangan pertama yang tegas, bukanlah bermakna saya tidak bertoleransi dengan teman-teman bukan Islam dan jauh sekali saya tidak mendukung keharmonian kaum di negara ini. Dalam perayaan-perayaan yang tidak termasuk dalam perayaan keagamaan, saya ringan mulut dan lembut lidah mengucapkan selamat kepada teman-teman bukan Islam. Demikian juga, jika perayaan bukan keagamaan dianjurkan oleh teman-teman bukan Islam di luar premis rumah pemujaan mereka, saya cuba hadir sekiranya dijemput. Pada pendirian saya itulah makna keharmonian sesama rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
Di dalam disiplin Dialog Peradaban, makna keharmonian itu ialah bertoleransi pada perkara-perkara yang kita ada jurang perbezaan dan berkongsi pada perkara-perkara yang kita mempunyai titik persamaan. Perkara berkaitan dengan kepercayaan atau di dalam Islam disebut Akidah, boleh dikatakan hampir kesemuanya berbeza antara Islam dan agama-agama lain. Manakala perkara berkaitan dengan moral atau di dalam Islam disebut Akhlak, banyak sekali titik persamaan untuk dikongsi antara penganut Islam dan penganut agama-agama lain. Jadi, jika perkara-perkara yang berkaitan dengan Akidah, sikap kita adalah bertoleransi.
Maksud bertoleransi ialah memperakui realiti bahawa kepercayaan kita berbeza. Apabila kita memperakui realiti, maka kita tidak boleh sama sekali memaksa teman-teman bukan Islam mengikut kepercayaan kita, sebagaimana mereka juga tidak boleh memaksa kita menerima pegangan mereka. Kita sebagai umat Islam dilarang menghina Tuhan dan simbol agama mereka, sepertimana mereka juga dilarang menghina Allah dan Rasul kita. Kita juga tidak boleh meruntuhkan rumah pemujaan mereka, sebagaimana mereka pun tidak boleh meruntuhkan rumah ibadat kita. Yang demikian itulah antara makna bertoleransi.
Bukanlah makna bertolerasi kita merestui kepercayaan mereka, kerana teman-teman bukan Islam pun tidak merestui Akidah kita. Bukan juga makna toleransi, kita bersetuju dengan konsep ketuhanan mereka, sebagaimana teman-teman bukan Islam pun tidak menyetujui konsep Tauhid kita. Bukanlah makna toleransi, kita menyertai ritual mereka, sebagaimana merekapun tidak wajar dijemput menyertai ritual kita. Jika kita merestui kepercayaan mereka, bersetuju dengan konsep ketuhanan mereka dan menyertai ritual mereka, itu bukanlah bertoleransi tetapi berpegang kepada berbilang agama atau disebut sebagai pluralisme.
Pada perkara-perkara moral dan Akhlak, banyak sekali titik-titik pertemuan, maka kita boleh berkongsi malah berkerjasama. Di dalam agama Islam dilarang kita melakukan fasad terhadap alam sekitar. Manakala di dalam Buddhisme, larang merosakkan alam antaranya berkait dengan doktrin Maitri dan Karuna. Demikian juga, di dalam Hinduisme larangan melakukan kerosakan terhadap alam sekitar antaranya berkaitan dengan doktrin Ahimsa. Walaupun ajaran-ajaran yang berbeza, tetapi ada nilai sejagat yang boleh dikongsikan iaitu memulihara alam sekitar. Bila kita boleh berkongsi nilai sejagat, bermakna kita boleh berkerjasama dalam perkara tersebut.
Hubungan antara kita dan teman-teman bukan Islam diikat atas asas kemanusiaan, manakala hubungan kita sesama Islam diikat atas asas kemanusiaan dan kepercayaan. Dari satu sudut hubungan kemanusiaan adalah lebih kuat kerana ia luas dan meliputi semua aspek kehidupan. Dari satu sudut yang lain hubungan kepercayaan adalah lebih kuat kerana ia lebih mendalam di hati dan berbekas kepada rohani. Apa juapun, yang paling jelas, sama ada hubungan itu berasaskan kemanusiaan atau berasaskan kepercayaan kedua-duanya membawa kepada kepada keharmonian hidup antara berbilang kaum dan agama.
Demikian jugalah, sama ada kita berpegang kepada pandangan ulama yang pertama atau pandangan ulama yang kedua, tentang ucapan selamat perayaan keagamaan bukan Islam dan mengunjungi rumah pemujaan mereka, kedua-dua pandangan tersebut tidak menjejaskan keharmonian kaum. Setakat pengalaman saya, masyarakat orang-orang tua kita dahulu kebanyakannya berpegang kepada pandangan pertama. Tetapi ramai dari kalangan orang-orang tua kita dahulu mempunyai keluarga angkat dari kalangan teman-teman bukan Islam. Sesebuah keluarga bukan Islam yang hidup di tengah-tengah perkampungan orang Islam, tetap berasa sangat tenteram.
Hari ini sudah ramai masyarakat Islam yang berpegang kepada pandangan yang kedua. Sudahpun ada pandangan-pandangan Mufti yang mentarjihkan pandangan kedua. Menurut pemerhatian saya terhadap pandangan-pandangan yang dikemukakan itu, semuanya tidak mutlak. Dengan pengertian lain, mereka menghukumkan harus dengan syarat-syarat tertentu. Syarat-syarat itu perlu diketahui oleh masyarakat Muslim awam. Keharusan untuk mereka memberi ucapan dan mengunjungi rumah pemujaan bukan Islam adalah bersyarat bukan boleh redah sahaja ikut suka. Syarat-syarat itulah yang disebutkan sebagai GARIS PANDUAN.
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment