NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kes APMM tembak warga Indonesia mungkin disiasat seludup senjata, dadah, kata Saifuddin




PETALING JAYA
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata ada kemungkinan lima warga Indonesia yang ditembak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 24 Jan disiasat kerana penyeludupan dadah dan senjata api.

Dalam sidang media di bangunan Parlimen, beliau berkata semua warga asing itu tidak mempunyai dokumen.


Katanya, polis juga telah menahan seorang lelaki Indonesia berperanan sebagai ‘transporter’ membawa masuk dan keluar warga asing tanpa sebarang dokumen.

“Siasatan awal mendapati dia ada kaitan dengan bot yang dikejar APMM.


“Siasatan ini masih di peringkat awal, dan kita tidak menolak kemungkinan soal siasat terhadap mereka yang ditahan diteruskan, ia mungkin membawa kepada pembukaan kertas siasatan mengenai pengedaran dadah atau senjata api, berdasarkan siasatan kes sama (pada masa lalu),” katanya.

Saifuddin berkata, polis juga menyiasat anggota APMM mengikut Akta Senjata 1960.

“Saya baru bertemu Ketua Polis Negara Razarudin Husain, dan kami bersetuju meletakkan kru APMM dalam insiden itu untuk bercuti.

“IPD Banting tidak lagi mengendalikan siasatan berkenaan. Ia diambil alih Bukit Aman kerana kami mendapati ia berpotensi membawa kepada siasatan lebih serius,” katanya.


Saifuddin berkata, wakil daripada Kedutaan Indonesia telah bertemu dengan warganya itu di hospital mereka dirawat.

“Mereka masih direman untuk siasatan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 39 Akta Senjata kerana melepaskan tembakan tidak menepati undang-undang, Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang pegawai semasa menjalankan tugas.

Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 26a Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 kerana menyeludup migran.


Sebelum ini, Presiden Indonesia Prabowo Subianto menyuarakan keyakinan kepada Malaysia melakukan siasatan menyeluruh ke atas insiden tembakan ke atas migran Indonesia oleh APMM.

Agensi berita Indonesia, Antara, melaporkan seorang terbunuh, manakala empat lagi cedera ketika insiden tembakan berlaku di perairan Tanjung Rhu, ketika mereka cuba keluar secara dari Malaysia.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berjanji siasatan telus dilaksanakan, dan telah mengarahkan laporan awal siasatan dihantar kepada Indonesia menerusi kedutaannya di negara ini.


Sumber | FMT Malaysia








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo