NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bekas Ketua UMNO Pandan dipenjara 8 tahun, didenda hampir RM980,000

PUTRAJAYA: Bekas Ketua UMNO Bahagian Pandan, Abd. Ghani Ismail kekal menjalani hukuman penjara lapan tahun dan didenda  RM977,560 atas 10 kesalahan rasuah melibatkan RM193,512, hampir 16 tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini selepas menolak rayuan akhir untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya.

Hakim Datuk Hanipah Farikullah yang mengetuai panel bersidang berpendapat, Mahkamah Rayuan mempunyai kuasa untuk mendengar rayuan berdasarkan keterangan di Mahkamah Sesyen.

“Setelah meneliti rekod rayuan dan kesemua keterangan serta alasan penghakiman Mahkamah Sesyen, kami dapati keputusan Mahkamah Sesyen boleh dipertahankan dan tidak terdapat apa-apa kekhilafan hakim bicara yang memerlukan campur tangan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

“Dengan itu, keputusan Mahkamah Sesyen dikekalkan. Kami juga berpuas hati tidak terdapat salah laksana keadilan di peringkat Mahkamah Sesyen.

“Sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Sesyen dikekalkan dan rayuan (bagi sembilan pertuduhan) ditolak,” katanya yang bersidang bersama-sama Hakim M. Nantha Balan dan Datuk Ahmad Nasfy Yasin.

Bagi satu lagi pertuduhan memperoleh suapan untuk melantik sebuah syarikat sebagai kontraktor, Hakim Hanipah berpendapat, tidak terdapat kekhilafan oleh Mahkamah Tinggi yang memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan.

“Hakim Mahkamah Tinggi telah mengguna pakai prinsip undang-undang yang betul bagi kes tersebut. Dengan itu sabitan rayuan ditolak, keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan,” kata hakim itu.

Mengikut sembilan pertuduhan, Abd. Ghani didakwa sebagai Ahli Jawatankuasa Tender Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) ketika itu, memperoleh suapan daripada seorang kontraktor Abdul Rahman Yaacob (sudah meninggal dunia) berjumlah RM193,512.

Ia sebagai balasan menolong Abdul Rahman mendapatkan Tender Zon SP 23 iaitu kerja perkhidmatan kutipan sisa pepejal di Taman Lembah Maju dan Taman Kencana serta Tender Zon PB 16 iaitu kerja pembersihan kawasan di Pandan Cahaya daripada MPAJ.

Dia didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Restoran Islah Tomyam, Jalan 5/76B, Desa Pandan, di hadapan Blok E 15, Jalan 4/76B, Desa Pandan, antara 4 Ogos 2006 dan 31 Mac 2007.

Bagi satu lagi pertuduhan, Abd. Ghani didakwa memperoleh suapan bagi dirinya iaitu pelantikan Syarikat Lembah Rimbun sebagai sub kontraktor kepada Syarikat Dwisakti Mewah Sdn. Bhd. yang mana dia mempunyai kepentingan dalam Syarikat Lembah Rimbun, di No. 27, Jalan Pandan 7, Pandan Jaya pada 1 Mei 2006.

Ia sebagai upah menolong Syarikat Dwisakti Mewah Sdn. Bhd. mendapatkan Tender Zon SP 21 iaitu kerja pelupusan sisa pepejal di kawasan Bandar Pandan Indah daripada MPAJ.

Bagi kesemua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 11 (a) dan Seksyen 10 (a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 Akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan.

Difahamkan, Abd Ghani yang telah membayar denda tersebut (RM977,560) akan menjalani hukuman di Penjara Kajang bermula hari ini.

Pada 28 Disember 2012, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan denda RM977,560 ke atas Abd. Ghani sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan hukuman sama terhadapnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal dan Samihah Rhazali manakala peguam Zamri Ibrahim mewakili Abd. Ghani. – UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo