PUTRAJAYA: Penjawat awam diminta bersabar dan memberi peluang kepada kerajaan untuk mengukuhkan ekonomi negara terlebih dahulu sebelum isu membabitkan mereka, meliputi kos sara hidup, dapat ditangani.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara ketika ini berdepan hutang mencecah RM1.5 trilion dan defisit pada 5.6 peratus.

"CUEPACS minta kaji semula gaji (penjawat awam) supaya ditambah. Saya setuju pada prinsipnya tetapi saya terangkan mengenai pendekatan yang dilakukan sebelumnya.

"Apa masalah kita? Kita hutang RM1.5 trilion dan defisit 5.6 peratus. Kalau kita menambah gaji, defisit akan menjadi 6.5 peratus... tiada orang hendak datang melabur di negara ini kerana tidak yakin ada kekuatan tekad politik untuk mengurus negara dengan baik.

"Jadi, sabarlah sekejap," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Antarabangsa Mengenai Islam dan Islamofobia: Ke Arah yang Bermakna Penglibatan Melalui Pendekatan Madani, di sini, hari ini.

Sebelum ini, CUEPACS dilaporkan kecewa kerana Belanjawan 2023 yang dibentangkan Anwar, Jumaat lalu, dilihat tidak mampu menyelesaikan masalah tekanan kos sara hidup yang dihadapi penjawat awam.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat ketika mengulas mengenai Belanjawan 2023 dalam satu kenyataan, berpandangan tiada sebarang komitmen diberikan kerajaan untuk menilai semula sistem saraan baharu perkhidmatan awam melalui model gaji dan upah yang mampu meningkatkan pendapatan penjawat awam supaya lebih baik berbanding peningkatan kos sara hidup.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan bagaimanapun masih cuba berkongsi sedikit hasil negara dengan penjawat awam melalui Belanjawan 2023.

Namun, beliau menekankan, tumpuan kerajaan bawah pentadbirannya ialah menyelamatkan golongan miskin tegar yang berdepan kesusahan untuk meneruskan hidup, berbanding pekerja dalam sektor awam.

"Apakah tidak penting untuk kita selamatkan orang miskin tegar yang lebih teruk daripada semua pekerja yang ada?

"Saya hendak beritahu, ia tidak mudah. Pesawah, pekebun kecil getah... ini semua orang susah... nelayan dan kemiskinan tegar. Bagi saya, mereka nak hidup pun susah. Kita sekurang-kurangnya hidup susah, mereka nak hidup pun susah," katanya.

Melalui Belanjawan 2023, kerajaan menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri RM700 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah, termasuk lantikan kontrak, manakala RM350 akan disalurkan kepada pesara kerajaan dengan bayaran dibuat pada April 2023.

Sabtu lalu, media melaporkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, CUEPACS perlu memahami kekangan kewangan dihadapi kerajaan ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri dipetik menjelaskan, kerajaan sentiasa berusaha untuk memenuhi harapan dan permintaan penjawat awam di sebalik kekangan kewangan sedang dialami, namun sebanyak RM46 bilion daripada RM388.1 bilion diperuntukkan dalam Belanjawan 2023 adalah untuk membayar faedah hutang.