NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ahli Parlimen merokok di bangunan Parlimen memalukan rakyat

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) melahirkan rasa kecewa dan kesal dengan sikap Ahli-ahli Parlimen yang degil dengan merokok di bangunan Parlimen meskipun ia merupakan premis larangan merokok.

Pegawai Pendidikan CAP, N. V. Subbarow berkata, perbuatan itu sangat memalukan memandangkan undang-undang larangan merokok di premis berkenaan diluluskan Ahli-ahli Parlimen sendiri.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa berkaitan termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil tindakan undang-undang yang tegas terhadap Ahli-ahli Parlimen serta individu lain yang didapati merokok di bangunan Parlimen.

“Di manakah moral, disiplin dan rasa hormat Ahli-ahli Parlimen ini terhadap undang-undang larangan merokok yang diluluskan mereka sendiri?

“Bagaimana rakyat mahu percaya dan yakin dengan sikap Ahli-ahli Parlimen sebegini?” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong membangkitkan isu berkenaan masih ramai Ahli Parlimen yang merokok di bangunan Parlimen meskipun umum mengetahui ia adalah premis larangan merokok.

Menurut Poay Tiong, perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana ia memperlihatkan sikap Ahli Parlimen yang degil apabila tidak mempedulikan larangan tersebut.

Dalam pada itu, Subbarow berkata, pihak berkuasa berkaitan khususnya KKM tidak boleh memberi sebarang alasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Ahli-ahli Parlimen yang terus berdegil dengan merokok di premis tersebut.

Ini kerana, tegas beliau, pelaksanaan undang-undang itu terpakai kepada semua individu dan Ahli-ahli Parlimen tidak mempunyai sebarang keistimewaan untuk mengelak peraturan tersebut.

“Malah, kami juga menggesa KKM menamakan dan mempamerkan wajah Ahli-ahli Parlimen yang didapati bersalah merokok di bangunan Parlimen sebagai pengajaran serta untuk dinilai oleh rakyat,” katanya. – UTUSAN

Komen : Macammana nak jaga rakyat, diri sendiri pun tak boleh nak jaga.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo