NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Setelah 22 bulan, 33 tahanan Sosma masih tunggu dibicara


Sebanyak 33 keluarga di Sungai Petani berdepan kesulitan apabila ahli keluarga yang mencari nafkah untuk mereka ditahan polis mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), kira-kira 27 bulan lalu.

Mereka yang berusia 22 hingga 60 tahun itu masih ditahan di penjara selepas didakwa mengikut Kanun Keseksaan sementara menunggu perbicaraan di mahkamah.

Salah seorang tahanan tidak dapat menatap wajah anaknya kerana dia ditahan ketika isterinya sedang hamil.

Keluarga-keluarga berkenaan berkata polis tidak memaklumkan penahanan itu selama lebih dua hari selepas penahanan dilakukan pada September 2020. Polis kemudian memaklumkan mereka ditahan di ibu pejabat polis Pendang sementara menunggu siasatan.

Mereka berkata polis pada mulanya memberitahu keluarga bahawa tahanan tersebut merupakan suspek yang terlibat dalam kes pembunuhan, kongsi gelap dan pengedaran dadah.

Bagaimanapun, setiap kali ahli keluarga bertemu pihak polis, mereka diberitahu sebab-sebab yang berbeza, sebelum akhirnya polis memberitahu penahanan itu dilakukan di bawah Sosma.

Pasangan tahanan dan ibu bapa mereka yang telah berusia melakukan lawatan setiap minggu ke penjara Alor Setar, di mana sebahagian daripada mereka terpaksa meminjam wang untuk menampung kos perjalanan.

Sehubungan itu keluarga memohon supaya tahanan dibebaskan tanpa syarat, apabila mereka menghadiri perbicaraan esok (18 Dis).

Seramai 33 tahanan itu ditahan antara 20 September dan 26 Sept 2020, dan kemudian didakwa mengikut Seksyen 130v (1) Kanun Keseksaan kerana menganggotai kumpulan jenayah terancang - pertuduhan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

RSN Rayer yang merupakan peguam bagi 18 orang yang ditahan itu telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara untuk mempertimbangkan pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966, yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ini selepas 10 bekas anggota Gang Kabali dijatuhi hukuman penjara 18 bulan, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif menjadi ahli pertubuhan haram, di Seremban minggu lalu. Kumpulan seramai 10 orang itu telah direman sejak 2019.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan tahanan Sosma di Penjara Kajang, yang kemudiannya didakwa mengikut Kanun Keseksaan, telah direman sejak Jun sementara menunggu perbicaraan. Ada yang tarikh perbicaraan mereka ditetapkan pada 2024.

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kini berdepan tekanan oleh kumpulan hak asasi manusia untuk mengkaji semula Sosma, yang disifatkan mereka sebagai kejam kerana membenarkan penahanan dalam tempoh masa yang lama dan dibuat sewenang-wenangnya tanpa perbicaraan.

Mereka juga menggesa agar undang-undang itu dikaji semula untuk membenarkan ikat jamin bagi mengelakkan tahanan meringkuk selama bertahun-tahun di penjara tanpa disabitkan kesalahan.

Anak membesar tanpa bapa

S Sanggitha, 34, dari Taman Kelisa di Sungai Petani berkata R Nanda Kumar, 38, anggota sukarelawan simpanan polis (SSP) dibawa oleh polis pada 25 Sept 2020, dan pihak berkuasa itu tidak menyatakan sebab penahanannya.

Dia berkata suaminya yang juga peniaga dan mengusahakan ladang ternakan ayam itu tidak mempunyai rekod jenayah.

Malah katanya adalah tidak musanabah suaminya merupakan ahli kumpulan kongsi gelap sedangkan dia bertugas sebagai SSP.

“Suami saya dibawa pergi, ketika saya mengandung dan kami kini mempunyai seorang anak lelaki berusia dua tahun yang tidak pernah ditemui suami.

“Saya berdoa kepada Tuhan agar suami saya pulang ke rumah demi anak saya. Sukar untuk membesarkan bayi tanpa bantuan bapa,” katanya sambil menambah ibu bapa mentuanya yang sudah berusia terkilan dengan penahanan anak tunggal mereka itu.

Dia berkata ketika polis mula-mula melakukan tangkapan, dia diberitahu suaminya adalah suspek kes pembunuhan tetapi akan dibebaskan selepas 28 hari - tempoh di mana penahanan tanpa bicara dibenarkan di bawah Sosma.

“Sekarang sudah 27 bulan berlalu, dan masalah ini tidak selesai. Kami mohon pihak berkuasa dan kerajaan supaya mengasihani dan membebaskan suami saya,” kata Sanggitha.

Katanya, dia berhenti membawa ibu bapa mentuanya ke penjara di Alor Setar selepas kedua-duanya sukar berjalan kaki ke kompleks penjara.

Sejak suaminya ditahan, katanya, pihak berkuasa telah merampas barang kemas dan wang tunai daripada keluarga dengan mendakwa ia diperoleh melalui wang haram.

Bagaimanapun, barangan kemas itu telah dipulangkan selepas didapati ia dibeli melalui cara yang sah.

Seorang lagi tahanan, P Puganeswaran, 40 mengendalikan kedai cuci kereta dan kedai besi buruk sebelum dia ditahan pihak polis, kata isterinya yang hanya mahu dikenali sebagai Ananya.

Pasangan itu mempunyai tiga anak berusia 15, 12, dan sembilan tahun. Ananya, 36 kini menghadapi kesulitan untuk menampung kehidupan selepas suaminya ditahan.

“Saya banyak bil tertunggak yang perlu dijelaskan, makanan, barangan runcit, bayaran projek sekolah untuk anak-anak. Saya benar-benar dalam kesukaran. Kadang-kadang ia sangat mengecewakan kerana saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Sukar tanpa suami di sisi.

“Saya dan anak-anak berdoa kepada Tuhan agar suami saya dibebaskan. Tidak ada yang mustahil, jika itu kehendak Tuhan,” katanya.

Suami ditahan dua minggu selepas berkahwin

R Divani, 24, dari Kampung Rusa di Sungai Petani berkata suaminya, J Thanes, 24, ditahan dua minggu selepas mereka mendaftarkan perkahwinan mereka pada September 2020.

Dia ditahan bersama adiknya, J Sharwin, 22.

Polis memberitahunya kedua-dua mereka ditangkap berkaitan kes pembunuhan di Amanjaya, tetapi polis kemudian mengatakan mereka mempunyai kaitan dengan kongsi gelap dan pengedaran dadah, yang membawa kepada penahanan di bawah Sosma.

“Saya rasa sunyi selepas dia dibawa polis. Saya kini mempunyai tanggungjawab untuk menjaga ibu bapa mentua saya yang sudah tua dan saya mengambil kedua-duanya setiap minggu apabila saya melawat suami saya di penjara,” katanya sebak.

"Kami memesan makanan untuknya di kantin kerana makanan yang dihidangkan di penjara tawar," katanya.

Katanya, mereka sekeluarga meminjam wang untuk menampung perbelanjaan perjalanan ke Alor Setar, tetapi membayar apa sahaja yang diperlukan suaminya di penjara termasuk peralatan mandian.

33 orang yang ditahan itu ialah:

1. G Thiyagu, 24

2. T Sundaramurthi, 28

3. T Krishnan, 26

4. G Thanarajoo, 29

5. V Ravichandran, 31

6. V Yanasegar, 22

7. R Shargunan, 24

8. Paramasivan, 38 (nama penuh tidak tersedia)

9. Muhammad Jeeva Sembu, 41

10. Lee Kum Chean, 35

11. P Gengatharan, 32

12. K Sri Pugalenthi, 40

13. K Kesavan, 36

14. P Sritharan, 38

15. S Hari Devan, 29

16. P Yokendran Kumar, 26

17. R Muniandi, 30

18. M Ponggiswaran, 33

19. T Vivegananth (umur tidak diketahui)

20. B Chandran, 33

21. R Nanda Kumar, 38

22. K Muthusamy, 60

23. R Thiagarajan, 38

24. J Thanes, 24

25. G Rames, 33

26. P Puganeswaran, 40

27. J Sharwin, 22

28. R Kamaleswaran (umur tidak tersedia)

29. L Mahendrakumar, 23

30. K Punithan, 42

31. Lu Choon Chuan, 39

32. R Ramesh (umur tidak diketahui)

33. Chan Jit Li (umur tidak diketahui)


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo