NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penjelasan: Undang-undang kontroversi Sosma


PETALING JAYA:
Laporan mengenai kerajaan yang tidak akan mengkaji semula undang-undang keselamatan Sosma telah mendapat kritikan daripada organisasi hak asasi manusia dan ahli politik.

Menteri dalam negeri yang baru dilantik, Saifuddin Nasution telah mempertahankan undang-undang itu, sambil berkata ia “membenarkan proses mahkamah berlaku” dan ia perlu untuk menangani kes berkaitan jenayah terancang.

Tetapi penggunaan Sosma telah menjadi isu kontroversi sejak sekian lama dan telah ditentang oleh Pakatan Harapan sebelum pilihan raya umum 2018 lagi.

FMT melihat dengan lebih dekat apakah sebenarnya akta tersebut.

Apa itu Sosma?

Sosma ialah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas). Ia memperuntukkan langkah-langkah khas yang berkaitan dengan kesalahan terhadap negara untuk mengekalkan ketenteraman dan keselamatan awam, dan semua perkara yang berkaitan.

Ia pertama kali dicadangkan pada 2012 sebagai pengganti Akta Keselamatan Dalam Negeri yang kini dimansuhkan, yang membenarkan penahanan tanpa bicara. Sosma telah dilaksanakan pada Jun 2012 oleh kerajaan Najib Razak.

Undang-undang itu digubal di bawah peruntukan perlembagaan yang menyediakan kuasa luas terhadap subversif, ancaman kepada ketenteraman awam, tindakan keganasan, sabotaj dan pengintipan.

Kenapa ia menjadi kontroversi?

Di bawah Sosma, pegawai polis boleh menangkap dan menahan individu yang mereka percaya terlibat dalam kesalahan keselamatan tanpa waran.

Subseksyen 4(5) Sosma membenarkan polis menahan seseorang yang disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan bagi tempoh tidak melebihi 28 hari untuk siasatan, tanpa perintah mahkamah.

Subseksyen ini akan disemak setiap lima tahun dan akan berhenti berkuat kuasa, melainkan, selepas semakan, satu resolusi diluluskan oleh kedua-dua dewan Parlimen untuk melanjutkan tempoh operasi peruntukan itu.

Pada Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan tempoh lanjutan lima tahun peruntukan itu.

Tahanan Sosma boleh dibebaskan sebelum 28 hari berlalu, bagaimanapun, polis dibenarkan memasang alat pemantauan elektronik kepada mereka, tidak melebihi baki tempoh tahanan.

Di bawah Seksyen 5(2), seorang pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada superintendan boleh menghalang tahanan daripada berjumpa dengan waris dan peguam mereka sehingga 48 jam sekiranya:

  • polis percaya ada alasan munasabah bahawa peguam akan mengganggu keterangan;
  • ia akan membawa kepada kemudaratan orang lain;
  • mereka akan memaklumkan orang lain yang disyaki terlibat dalam kesalahan keselamatan; atau
  • mereka akan menghalang pemulihan harta yang diperoleh hasil daripada kesalahan itu.

Sokongan padu untuk Sosma

Bekas ketua polis negara, Musa Hassan berkata, Saifuddin membuat keputusan yang tepat untuk mempertahankan Sosma kerana undang-undang pencegahan adalah mustahak untuk menyiasat jenayah yang mengancam keselamatan negara.

“Polis memerlukan lebih banyak kuasa tahanan untuk menyiasat (jenayah ini) dengan lebih lanjut dan mengenal pasti sindiket jenayah ini, pembiaya serta ketua-ketuanya,” katanya kepada FMT.”

“Jadi, tempoh tahanan 28 hari sangat baik dan harus dikekal.”

Tambahnya, walaupun terdapat undang-undang prosedur lain, tempoh tahanan terlalu singkat, menyukarkan polis menjalankan siasatan menyeluruh.

Pada 2019, ketika PH berada dalam kerajaan, menteri dalam negeri ketika itu Muhyiddin Yassin juga telah mempertahankan Sosma, berkata ia diperlukan untuk membendung keganasan kerana undang-undang lain tidak mencukupi.

Muhyiddin juga menggunakan Sosma untuk menahan beberapa ahli DAP pada 2019 atas dakwaan mempunyai kaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang kini tidak lagi aktif, yang berada dalam senarai organisasi pengganas Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Kritikan terhadap Akta ‘tidak adil’

Sebaliknya, pejuang hak asasi manusia dan ahli politik telah menyifatkan Sosma sebagai kejam kerana ia melanggar hak asasi individu yang dijamin dalam Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Antara pengkritik paling lantang ialah bekas pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah, yang berkata Sosma “membiak dan menginstitusikan ketidakadilan”, memetik Seksyen 30 Akta yang membenarkan tahanan ditahan di penjara sehingga semua perbicaraan dan rayuan mahkamah selesai.

Maria telah ditahan di bawah Sosma pada 18 Nov 2016 – sehari sebelum perhimpunan Bersih 5 – dan ditahan dalam kurungan bersendirian dalam sel berukuran 15 kaki x 8 kaki tanpa tingkap. Laporan Malay Mail berkata, dia dinafikan daripada diberikan katil dan menyifatkan penahanan itu sebagai “gaya ISA”.

Kumpulan hak asasi manusia lain juga menggesa kerajaan untuk memansuhkan peruntukan Sosma yang menafikan jaminan dan mengembalikan peranan majistret dalam memberikan perintah reman.

Malah Ahli Parlimen Damansara Gobind Singh Deo mengingatkan Saifuddin bahawa PH sentiasa menentang Sosma. Beliau berkata, pemimpin Pakatan Harapan Anwar Ibrahim, kini perdana menteri, telah berkata pada 2019 bahawa bahagian tertentu Sosma perlu dipinda kerana undang-undang itu “terlalu keras”.

PH ketinggalan?

Kerajaan perpaduan yang diketuai PH telah dituduh ketinggalan dalam memperbaharui undang-undang berikutan kenyataan Saifuddin, memandangkan gabungan itu lantang mengenainya sebelum ini.

Bagaimanapun, pemansuhan undang-undang itu tidak disenaraikan dalam manifesto PH untuk pilihan raya umum yang berakhir baru-baru ini.

Saifuddin kemudiannya mengakui bahawa peruntukan tertentu dalam Sosma perlu dikaji semula dari “semasa ke semasa”, walaupun menteri itu mengulangi tidak akan ada sebarang pindaan kepada akta itu buat masa ini.


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo