NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Menang dapat sapu, kalah dapat abu!


MUSUH hari ini, menjadi kawan besoknya. Kawan hari kelmarin, menjadi musuh hari ini. Bergabung pada tahun lepas, berpisah pada tahun ini. Hilang kuasa pada 2018, kembali berkuasa pada 2020. Menjadi pembangkang hari ini, menjadi kerajaan besoknya, menjadi perdana menteri lusanya. Semuanya dalam tempoh kurang lima tahun. Tak stabil. Itu yang dikatakan.

Ketidakstabilan adalah istilah yang digunakan oleh ramai politikus dan aktivis-aktivis politik untuk memerikan keadaan politik Malaysia yang semakin rencam mutakhir ini. Ketidakstabilan adalah musuh. Justeru, ia perlu dilawan dengan mengangkat agenda kestabilan.

Malahan ada yang menggunakan istilah “stabil” sebagai antara cogan kata utama kempen mereka. Seolah-olah kestabilan hanya mampu dibawa oleh parti mereka semata-mata.

Ini mengundang beberapa pertanyaan – apakah yang mereka maksudkan dengan kestabilan itu? Bagaimana caranya untuk menjadikan kestabilan itu suatu kenyataan?

Apakah ada perincian diterangkan mengenai cara-cara untuk mencapai kestabilan atau ia hanya retorika politik pilihan raya semata-mata?

Saya yakin mereka yang mengajukan agenda kestabilan ini pun pasti sukar memperincikan cara-cara untuk mencapai kestabilan dalam konteks politik Malaysia yang semakin rencam dan terpencar ini kecuali dengan berkempen supaya orang beramai-ramai mengundi parti mereka.

Tapi bagaimana cara untuk mereka menubuhkan sebuah kerajaan yang stabil ketika parti-parti politik utama negara terpecah kepada pelbagai kumpulan yang rencam, tidak pula mereka jelaskan.

Justeru, wacana kestabilan dan ketidakstabilan ini perlu diperhalusi dengan lebih kritis.

Membaca sejarah

Untuk itu, barangkali ada baiknya kita menoleh sebentar ke belakang, ke sejarah silam. Sebelum terbentuknya Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963, yang mendahuluinya adalah Persekutuan Tanah Melayu. Manakala Persekutuan Tanah Melayu yang lahir pada 31 Ogos 1957 pula, didahului oleh politi-politi Melayu tradisional yang membentuk institusi Raja-Raja Melayu sekarang.

Justeru, tali pusat yang menghubungkan negara Malaysia moden pada hari ini dengan sejarah silamnya boleh dijejak melalui politi-politi Melayu tradisional yang sehingga sekarang masih wujud, mapan dan lestari.

Kata kunci dari pernyataan di atas adalah “politi-politi Melayu”. Inilah janin yang menerusi proses sejarahnya yang khas telah melahirkan negara moden yang kita namakan Persekutuan Malaysia pada hari ini.

Perhatikan istilah yang saya gunakan – “politi-politi Melayu” –  yang merupakan kata jamak (plural). Ini adalah sebahagian daripada sifat politi-politi Melayu tradisional. Ia hadir dalam bentuk jamak, rencam dan terpencar tanpa adanya suatu kuasa pemerintahan tunggal yang terpusat.

Malahan dari sejarah juga dapat dikutip peristiwa-peristiwa perang dan persaingan yang terjadi sesama sendiri antara politi-politi Melayu yang rencam itu. Kedah misalnya pernah menyerang Perak. Kelantan pula pernah berperang dengan Terengganu.

Begitu juga dengan perang saudara yang pernah berlaku di dalam perebutan takhta politi keRAJAan Melayu Pahang antara dua saudara kandung, Wan Ahmad dan Wan Mutahir, setelah kemangkatan ayahanda mereka Bendahara Tun Ali.

Manakala Perang Larut di Perak dan Perang Klang di Selangor adalah juga antara contoh yang boleh kita kutip untuk memerikan suasana ketidakstabilan politik yang pernah melanda di tanah air kita sebelum pembentukan negara moden Malaysia.

Malahan kalau kita menelusuri dengan lebih jauh lagi ke politi keRAJAan Melaka pada lima abad yang lampau, kita juga akan turut menemui ketidakstabilan yang melibatkan perebutan pengaruh dan kuasa politik.

Dalam hikayat Melaka, Sulalatus Salatin misalnya, dikisahkan bagaimana rasuah, korupsi, fitnah, adu-domba, pengkhianatan dan pembunuhan telah dilakukan ke atas keluarga Bendahara yang mengorbankan empat pembesar utama istana yang terdiri daripada Bendahara Seri Maharaja, Tun Hassan Temenggung, Seri Nara Diraja dan Tun Ali. Pengakhiran kepada ketidakstabilan politik ini juga turut dinukilkan dalam Sulalatus Salatin – Melaka akhirnya runtuh dan jatuh ke tangan Portugis.

Bukan hanya politi-politi Melayu tradisional sahaja yang rencam, terpencar dan bersaing sesama sendiri, gerakan nasionalisme Melayu sebagai satu-satunya gerakan kemerdekaan yang paling jelas bentuk dan isinya, juga  hadir dalam pelbagai jalur yang berbeza.

Nasionalisme Melayu sebagai ruh yang memberi nafas kepada gerakan kemerdekaan Semenanjung Tanah Melayu tidak melahirkan satu jalur nasionalisme semata-mata. Sebaliknya, terdapat tiga jalur nasionalisme Melayu – tradisional, Islam dan kiri – yang saling bersaing antara satu sama lain untuk merebut pengaruh dan kuasa di dalam perjuangan menuju kemerdekaan.

Dalam konteks sebelum merdeka, secara ringkasnya tiga jalur nasionalisme Melayu ini diwakili oleh Umno (tradisional), PAS (Islam) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya atau PKMM (kiri).

Persaingan sengit khususnya antara Umno dan PKMM ini berakhir apabila PKMM diharamkan oleh British dan ramai pemimpinnya disumbat ke penjara. Sementara PAS yang mewakili nasionalisme Melayu jalur Islam pada zaman itu bukanlah saingan Umno. Islam sebagai sebuah ideologi walaupun wujud, namun ia belum menjadi suatu idea yang dominan di dalam masyarakat Melayu pada ketika itu.

Justeru, dalam keadaan PAS yang belum cukup kuat untuk menyaingi Umno, manakala ramai pula tokoh-tokoh PKMM telah dipenjarakan oleh British, maka ketiadaan saingan dan kekosongan kepimpinan alternatif yang wujud itu, telah dimanfaatkan oleh Umno untuk menjadi satu-satunya organisasi politik Melayu yang memimpin rundingan kemerdekaan dengan British.

Kisah selanjutnya adalah dominasi politik oleh Umno selama lebih kurang 60 tahun sehinggalah PRU14 yang lepas menyaksikan kejatuhannya dari persada kuasa di Putrajaya.

Ketidakstabilan politik yang wujud sekarang ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru. Sifat politi Malaysia moden itu sendiri sebahagiannya mewarisi sifat politi-politi Melayu terdahulu yang hakikatnya adalah rencam dan terpencar. Justeru, yang lahir bukan negara Kesatuan Malaysia tapi negara Persekutuan Malaysia.

Politi-politi Melayu silam yang terpisah dalam bentuk negeri-negeri itu disekutukan di zaman penjajahan British di dalam tiga unit politik yang berbeza iaitu Negeri-negeri Selat, Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu yang pada akhirnya telah melahirkan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957 dan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 apabila Sabah, Sarawak dan Singapura bersetuju untuk bersama-sama membentuknya.

Pembentukan Malaysia didorong pertimbangan strategik era perang dingin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2022.
Pembentukan Malaysia didorong pertimbangan strategik era perang dingin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2022.

Pembentukan Persekutuan Malaysia yang melibatkan Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Singapura tidak didorong oleh suatu nasionalisme yang jelas tapi lebih kepada pertimbangan strategik era perang dingin dan pengaruh “teori domino” untuk menghalang kemaraan komunisme. Terbentuk tanpa suatu nasionalisme yang jelas, Singapura pada akhirnya “ditendang” keluar dari Persekutuan Malaysia.

Dari penelusuran sejarah yang ringkas ini, Malaysia terbina bukan berandalkan pada idea untuk menjadi satu tapi menjadi pelbagai serta rencam dalam suatu entiti politik yang dibentuk mengikut sempadan-sempadan yang digariskan oleh penjajah British.

Kepelbagaian atau kerencaman cenderung mengundang perbezaan kepentingan antara pelbagai komuniti yang ada dalam masyarakat. Perbezaan-perbezaan kepentingan ini perlu dirundingkan untuk mencari kesepakatan bersama. Namun ketika kesepakatan tidak ditemui, konflik pasti akan terjadi. Kerana itulah juga Singapura “ditendang” keluar pada tahun 1965.

Kalau dijejak sejarah moden Malaysia pasca-Singapura keluar dari Persekutuan Malaysia, kita juga akan dapat mengutip peristiwa-peristiwa politik seperti konflik etnik dan agama yang tercetus di Pulau Pinang dan Pulau Pangkor, rusuhan etnik 13 Mei 1969, demonstrasi mahasiswa di tahun-tahun 1970an, persaingan kuasa antara Team A lawan Team B dalam pemilihan Umno 1987 yang kemudiannya membawa kepada pengharaman Umno, peristiwa pembunuhan Memali, Operasi Lalang 1987, siri-siri tangkapan di bawah akta ISA, pemecatan Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri, gerakan reformasi 1998 yang menyaksikan ratusan ribu rakyat turun ke jalan raya, konflik etnik Kampung Medan, Hindraf dan Makkal Sakti, siri-siri gerakan reformasi pilihan raya yang dipimpin oleh BERSIH, serta beberapa peristiwa politik lain yang mencerminkan sedikit-sebanyak ketidakstabilan politik pada era masing-masing.

Sifat politik

Justeru, ketidakstabilan politik Malaysia hari ini, bukanlah sesuatu yang ganjil, aneh atau luar biasa.

Perjalanan politik negara kita dari politi-politi Melayu di zaman lampau yang rencam sehinggalah kepada pembentukan Persekutuan Malaysia, tidak dapat lari daripada berhadapan dengan konflik-konflik perebutan kuasa dan pengaruh.

Ini sifat politik khususnya di sebuah negara yang rencam dan majmuk seperti Malaysia atau di mana-mana pun. Cumanya yang membezakannya adalah darjah atau intensiti sesuatu konflik politik yang membawa kepada ketidakstabilan itu – apakah ketidakstabilan politik tersebut parah, sederhana atau biasa-biasa sahaja.

Ada ketidakstabilan politik yang membawa kepada pemisahan wilayah, rusuhan, demonstrasi jalan raya yang berpanjangan atau perang saudara sesama sendiri. Mujurnya konflik politik Malaysia pada hari ini tidak sampai ke tahap ketidakstabilan yang sebegitu rupa.

Ketidakstabilan politik di Malaysia pada hari ini buat pertama kalinya dalam sejarah, telah membawa kepada pertukaran tiga perdana menteri dalam tempoh kurang lima tahun. Tapi ia berlaku tanpa sebarang pertumpahan darah. Pertukaran kuasa secara aman.

Ketidakstabilan politik di United Kingdom menyebabkan, dalam masa enam tahun, diadakan dua pilihan raya dan perdana menteri bertukar empat kali, baru-baru ini Rishi Sunak. – Gambar AFP, 10 November, 2022.
Ketidakstabilan politik di United Kingdom menyebabkan, dalam masa enam tahun, diadakan dua pilihan raya dan perdana menteri bertukar empat kali, baru-baru ini Rishi Sunak. – Gambar AFP, 10 November, 2022.

Malahan kalau dibandingkan dengan perjalanan politik di negara-negara lain, barangkali kita juga akan menemui perkara yang lebih kurang sama. Di United Kingdom misalnya, hanya dalam tempoh kurang enam tahun terdapat dua pilihan raya umum dan pertukaran Perdana Menteri sebanyak empat kali dari Theresa May ke Boris Johnson ke Liz Truss dan yang mutakhir, Rishi Sunak.

Sekali lagi ini adalah sifat politik khususnya di dalam sistem demokrasi liberal yang diamalkan oleh sejumlah besar negara-negara dunia pada hari ini, yang bercirikan persaingan menerusi pilihan raya.

Politik dalam sistem demokrasi liberal adalah kegiatan yang sebahagian besarnya menumpukan kepada proses meraih kuasa, pengaruh dan kepentingan yang dihasratkan menerusi kaedah persaingan pilihan raya bagi menentukan siapa dapat apa, sebanyak mana, bila dan bagaimana, di dalam sesebuah masyarakat itu.

Justeru, sumber-sumber utama yang ada di dalam masyarakat – baik sumber politik seperti jawatan dan kedudukan, sumber ekonomi seperti kontrak dan projek, sumber sosial seperti budaya dan agama, mahu pun sumber simbolik seperti penghormatan dan pengiktirafan – secara umumnya akan ditentukan oleh mereka atau parti politik yang menang di dalam persaingan ini.

Oleh yang demikian, tidaklah menghairankan apabila persaingan kuasa politik menjadi sengit kerana pemenangnya akan diberi keabsahan untuk menguruskan dan mengagih-agihkan sumber-sumber utama yang menjadi rebutan di dalam masyarakat itu.

Tambahan pula struktur politik pilihan raya “First Past the Post” yang diamalkan oleh Malaysia (warisan daripada sistem parlimen British), hanya membenarkan seorang sahaja pemenang di setiap kawasan pertandingan, walau pun dengan kelebihan satu undi sahaja.

Begitu juga parti politik atau gabungan parti-parti politik pula dikira menang walau hanya dengan kelebihan satu kerusi sahaja. Dan dengan kemenangan setipis itu sekali pun, yang menang tetap diberikan kuasa besar untuk mengagih-agihkan sumber-sumber utama masyarakat.

Sungguh pun sesebuah parti atau gabungan parti-parti itu memenangi jumlah undi popular sekali pun, tapi jika ia kurang satu kerusi daripada lawannya ia tetap kalah dan tersisih daripada kuasa untuk mengagihkan sumber-sumber utama masyarakat kepada siapa, sebanyak mana, bila dan bagaimana.

Harus diingat, dalam konteks budaya politik Malaysia, sumber-sumber yang diagihkan itu juga berfungsi untuk memperoleh sokongan, mendapatkan pengikut, mengekalkan kuasa dan mengukuhkan kedudukan politik.

Sistem yang mewujudkan keadaan seperti ini pada akhirnya mendorong kepada suatu sindrom yang saya namakan “menang dapat sapu, kalah dapat abu”. Natijahnya, mereka yang terlibat di dalam persaingan politik ini, cenderung untuk melakukan apa sahaja dengan apa cara sekalipun, untuk memastikan mereka tidak mendapat abu.

Lumrah

Dari perbincangan ringkas di atas, yang dikatakan ketidakstabilan politik Malaysia hari ini pada hemat saya adalah suatu lumrah dalam pergelutan politik. Ia wujud di sepanjang zaman selagi namanya adalah politik. Cuma darjah atau intensitinya sahaja yang berbeza.

Sememangnya sifat politik itu sebegitu rupa kerana ia melibatkan persaingan kuasa untuk menentukan siapa dapat apa, sebanyak mana, bila dan bagaimana sumber-sumber utama masyarakat yang diperebutkan itu diagih-agihkan.

Dalam konteks budaya politik Malaysia, agihan yang dibuat itu pula akan menentukan sebanyak mana sokongan akan diperolehi untuk mempertahankan kedudukan yang dimiliki atau merebut kedudukan yang diingini.

Dorongan untuk “berpatah arang dan berkerat rotan” dalam perebutan kuasa politik itu dipicu pula oleh sistem politik dan pilihan raya Malaysia yang cenderung mewujudkan sindrom, “menang dapat sapu, kalah dapat abu”.

Justeru, wacana kestabilan dan ketidakstabilan yang dikemukakan oleh parti-parti politik itu perlu dinilai dengan lebih kritis khususnya di sebuah negara majmuk seperti Malaysia, yang dari sudut sejarahnya pergolakan politik itu tidak terelakkan.

Cumanya pergolakan politik yang membawa kepada ketidakstabilan Malaysia pada hari ini tidak sampai kepada berdemonstrasi berhari-hari, tapi cukup bertukar tiga kali perdana menteri. – 10 November, 2022.

Ruhan
seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

( Hide )
  1. Artikel terlalu panjang meleret, hujah yg diulang2 x brp sesuai dgn kehendak zaman. Gunakan point element utk menarik lbh ramai pembaca dan memberikan lbh impact kpd objektif penulisan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Setuju.. hujah berulang membosankan

      Delete

© all rights reserved
made with by templateszoo