SELANGOR “DALAM SAMPAH”?
1. Terkejut dan gusar kita apabila Tuanku Sultan Selangor sendiri bertitah “beta sudah muak” (i am fed-up) dengan isu banjir dan kebersihan di Selangor.
2. Tunku sendiri bertitah bahawa Tuanku sendiri menerima banyak sekali rungutan dan aduan tentang sampah yang tidak dikutip.
3. Ironinya, rakyat melihat perkara yang sama, saban hari. Kutipan sampah yang sepatutnya berjadual tapi adakalanya tidak mengikut jadual ini sudah seakan-akan lumrah. Maka, titah kekecewaan Tuanku Sultan itu mewakili denyut hati rakyat Selangor.
4. Isunya apa masalahnya?
5. Benar, Selangor menjana sampah paling banyak di Malaysia sehingga kira-kira 7000 tan sehari. Maklumlah, Selangor adalah kawasan bandar.
6. Namun sepatutnya itu bukan alasan kerana pendapatan Selangor sebagai negeri maju juga antara yang tertinggi di Malaysia. Maka, urusan pengurusan sampah yang lebih efisyen, sistematik dan berteknologi tinggi boleh dilakukan.
7. Di Selangor, urusan pengutipan sampah domestik telah diswastakan kepada KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEB) sebagai Syarikat Pengurusan Projek (PMC) di 12 kawasan PBT. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak lagi menjalankan fungsi kutipan sampah, walaupun terdapat unit khas seperti unit pengurusan sisa pepejal.
8. Adakah ini masalahnya? Banyak rungutan menyatakan bahawa pengurusan KDEB adalah bermasalah kerana KDEB sendiri melantik sub-kontraktor lain pula yang mempunyai masalah.
9. Pada 11 Oktober 2025, kita digemparkan dengan kemalangan membabitkan sebuah lori sampah milik kontraktor lantikan KDEB merempuh plaza tol Puchong Selatan di Lebuhraya LDP.
10. Kemudian, kita melihat JPJ telah menyita 22 buah lori sampah milik KDEB atas 154 kesalahan termasuk tiada insurans, lesen kenderaan dan pemandu warga asing yang tiada lesen. Saman tertunggak yang diselesaikan juga adalah sebanyak 22,000 saman bernilai RM3.1 juta.
11. Masalah lori sampah yang tidak mematuhi undang-undang ini menyebabkan rakyat berasa gusar dengan kecekapan KDEB. Apa akan jadi kepada kutipan sampah kalau lori-lori sampah disita?
12. Antara masalah lain ialah tapak pelupusan sampah (landfill). Walaupun terdapat banyak tapak pelupusan sampah seperti di Jeram dan Tanjung 12, kapasitinya masih belum mencukupi bagi menampung jumlah sampah di Selangor.
12A. Idea untuk memajukan tapak pelupusan “Waste-To-Energy” di Jeram dan Tanjung 12 sejak 2021 oleh Worldwide Holding Berhad juga masih belum terlaksana, dan dilaporkan hanya akan siap hujung tahun ini.
13. Sekiranya WTE di Jeram dan Tanjung 12 dapat beroperasi seperti diharapkan pada 2026 nanti, maka WHB menyasarkan untuk menguruskan 4000 tan sampah di Jeram, dan 3000 tan sampah di Tanjung 12. Harapnya menjadi.
14. Ternyata, terdapat 3 masalah utama berkenaan dengan sampah di Selangor iaitu Pertama - sampah yang terlalu banyak, kedua - kutipan sampah yang bermasalah, dan ketiga - tapak pelupusan sampah yang tidak dapat menampung jumlah sampah.
15. Pendekatan komprehensif, pantas dan bersepadu perlu untuk menyelesaikan ketiga-tiga masalah ini.
16. Kerajaan Negeri yang berbangga dengan kemajuan dan pertumbuhan negeri seharusnya lebih proaktif dan agresif dalam menyelesaikan masalah ini. Ini masalah fundamental yang tidak boleh ditunggu-tunggu lagi.
17. Janganlah sehingga Tuanku Sultan sendiri menegur masalah yang paling asas ini, yang akhirnya menunjukkan kelemahan pengurusan Kerajaan Negeri.
18. Pokoknya, jangan biarkan SELANGOR DALAM SAMPAH.

No comments
Post a Comment