NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Gerakan Kultus Korea Selatan, Mufti Perlis Diminta Serah Maklumat Dakwaan

PUTRAJAYA, 11 Disember – Kementerian Dalam Negeri (KDN) meminta Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, segera menyerahkan maklumat lengkap berhubung dakwaan kemunculan sebuah gerakan kultus menyimpang dari Korea Selatan yang didakwa aktif bergerak di Malaysia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, maklumat berkenaan penting bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan secara rasmi.

“Saya mempelawa Dr Mohd Asri untuk tampil dan memberikan maklumat lengkap kepada pihak berkuasa. Beliau sudah menyatakan ada maklumat tersebut, jadi serahkan kepada kami untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan KDN, hari ini.

Permintaan itu susulan kenyataan Mufti Perlis di Facebook, yang mendakwa wujud satu gerakan kultus janggal berasal dari Korea Selatan, termasuk dakwaan penglibatan beberapa Ahli Parlimen Muslim dan individu penting di Parlimen dalam menyokong aktiviti kumpulan tersebut. Menurutnya, isu itu turut dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis.

Saifuddin menjelaskan bahawa Cawangan Khas PDRM memang mempunyai unit khas yang memantau ajaran sesat merentasi pelbagai agama, termasuk modus operandi kumpulan serta individu yang terlibat.

Namun, beliau menegaskan siasatan hanya boleh dijalankan selepas laporan rasmi dibuat.

“Itu prosedur. Laporan perlu dibuat dahulu. Selepas itu, polis akan memulakan siasatan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Beliau sekali lagi mengajak Mufti Perlis memberikan kerjasama penuh agar siasatan dapat dimulakan segera.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo