NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Manifesto Perikatan Nasional kesinambungan pemulihan negara - kata Pangalisis


APABILA dibuat perbandingan dan analisa manifesto kesemua parti politik, manifesto Parti Perikatan Nasional (PN) bagi PRU15 yang berteraskan 12 tunjang utama 30 pendekatan dan 234 tawaran disifatkan sebagai sesuatu yang mampu dilakukan; sesuai dengan kapasiti dan kemampuan negara daripada janji-janji manifesto yang tidak berunsur praktikal dan realistik. 

Rakyat harus membuat perbandingan yang terbaik dalam menilai manifesto kesemua parti politik sama ada ia benar-benar praktikal untuk dilaksanakan atau hanya menjanjikan bulan bintang “janji kosong’ untuk meraih undi dan soal tahap penyempurnaan janji manifesto.  

Apabila dianalisa dengan teliti, manisfesto Perikatan Nasional dilihat adil dan saksama dari segi penyambungan dasar-dasar yang dibuat ketika mantan perdana menteri Muhiyiddin Yassin memegang jawatan.

Saya percaya bukan hanya pegalaman beliau sebagai ahli politik diambil kira malahan faktor dan pengalaman beliau memegang jawatan perdana menteri selama 18 bulan ketika krisis kesihatan pandemik Covid-19, krisis ekonomi dan krisis politik yang sedang berlaku pada waktu itu.

Pengalaman beliau sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara banyak membantu untuk beliau untuk mengeluarkan tawaran manifesto seumpama itu apabila digubal dengan mengambil kira pandangan dan sentimen rakyat dalam perkara yang dianggap penting.

Satu kelebihan besar yang dicengkam oleh Perikatan Nasional berbanding manifesto parti-parti lain ialah rata-rata janji manifestonya adalah satu fakta hasil kesinambungan yang dibuat selama ini sewaktu mengambil alih tampuk pemerintahan PH pada waktu krisis pandemik Covid-19, pada waktu krisis politik dan krisis ekonomi. 

Walaupun dilihat Perikatan Nasional ini sebuah parti yang baru namun pengalaman yang menguji mereka mentadbir negara mampu meraih sokongan kuat daripada pengundi-pengundi.  

Kemampuan Perikatan Nasional dalam Program Immunisasi Kebangsaan adalah satu fakta yang tidak boleh dielak dan harus diterima umum. 

Hari ini kita bersiap sedia berhadapan dengan PRU15 dengan kesihatan yang baik adalah hasil program immuninasi yang mencapai 100% dengan Malaysia negara pertama di Asia Timur yang mendapat bekalan vaksin pertama berbanding Australia.  

Aspek seterusnya, hampir kesemua manifesto parti politik menekankan isu bread and butter iaitu kos sara hidup yang mana rata-rata kesemua parti membuat tawaran masing-masing untuk menanganinya.

Kita lihat pelbagai pakej menarik ditawarkan tetapi persoalan utama di sini ialah adakah tawaran-tawaran dibuat itu secara di permukaan iaitu penilaian secara atasan untuk menangani isu berkenaan secara sekali one-off atau adakah ia relevan dengan jurang pemulihan ekonomi yang harus dicapai oleh setiap kementerian sebelum ini berdasarkan isu kos sara hidup rakyat?

Contohnya, kita lihat 95 keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Pemulihan Negara untuk kerajaan bertindak sebelum ini. Sejak penubuhan majlis itu pada 21 Julai 2021 hingga mesyuarat terakhir 29 Ogos lalu, sebanyak 95 keputusan dikemukakan kepada kerajaan. 

Daripada jumlah itu, 69 berkaitan isu ekonomi dan sosial  yang mana diseru untuk mempercepatkan kadar pemulihan ekonomi negara. 

Persoalannya, adakah manifesto parti lain tawarannya sejajar dengan status dan perkembangan semasa dalam menangani krisis ekonomi?

Apa pun manisfesto Perikatan Nasional dilihat mempunyai kelebihan yang tersendiri dan mampu direalisasikan berikutan track rerord status perkembangan setiap sektor yang diperhatikan dan dinilai selama ini menerusi Majlis Pemulihan Negara. 

Maka, manisfesto Perikatan Nasional adalah lebih jelas dan relevan dengan keperluan utama rakyat seperti kos sara hidup, pekerjaan, pendapatan, masalah inflasi, kenaikan harga barang dan lain-lain yang berkaitan. 

Manifestonya jelas menampilkan resolusi kepada kenaikan harga barang ini disebabkan oleh beberapa faktor termasuk gangguan bekalan dan kos bahan import yang tinggi. Jika bekalan tak mencukupi atau kos import meningkat, harga akan naik. 

Resolusi manifesto jelas dilihat untuk mengatasi isu kenaikan harga barang, isu gangguan bekalan dan kos import dengan lebih serius terutama sekali dalam keadaan nilai ringgit yang jatuh menjunam berbanding matawang dollar Amerika Syarikat.  

Ini tidak terkecuali isu kekurangan tenaga kerja yang menjejaskan produktiviti dan mengganggu rantaian bekalan juga mesti diselesaikan segera. 

Kejayaan Majlis Pekerjaan Negara yang tetapkan sasaran untuk mewujudkan 500,000 pekerjaan pada tahun 2021 diakhiri dengan 558,000 peluang pekerjaan adalah fakta yang harus diterima.

Soal ketiga adalah isu integriti dan ketelusan. Soal integriti dan ketelusan ini tidak banyak disentuh oleh mana-mana pihak di atas soal tuntutan akuantabiliti, ketelusan dan good governance. 

Perikatan Nasional mempunyai pengalaman kejayaaan dalam menghapuskan elemen rasuah di mana beberapa kes mahkamah berjaya dilaksanakan tanpa campurtangan mana-mana pihak. 

Sehubungan itu, lanjutan manifesto mewujudkan Pelan Anti-Rasuah Nasional, Mahkamah Anti-Rasuah, larangan sumbangan dana politik luar negara menjadikan tadbir urus kukuh menjadikan manifesto Perikatan Nasional untuk menangani rasuah dan soal integriti adalah satu perkara yang harus disambut bersama. – 10 November, 2022.


Prof Madya Dr Sara Chinnasamy,
Penganalisis Politik & Media Sosial.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo