NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Untuk apa kita ada pilihan raya?


MATLAMAT utama yang memayungi proses politik elektoral ialah mencari sekumpulan manusia yang dapat menstabilkan kehidupan sesebuah negara atas landasan kebaikan dan peradaban; bukan kejahatan dan kebatilan. 

Ini memerlukan pandangan jauh yang bersifat sistemik dan struktural. Tidak semestinya kita bertumpu kepada isu-isu “runcit” sahaja.

Isu-isu seperti yang terangkum dalam ekonomi masyarakat seharian, penyelesaian masalah kemudahan awam seperti  dalam menangani banjir, kerosakan jalan atau pengangkutan awam dan pembinaan jambatan, atau kekurangan kemudahan dalam bilik darjah memang tidak kurang pentingnya.

Logiknya, masalah-masalah seperti ini tidak perlu menunggu waktu pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, masalah seperti ini tidak perlu menunggu retorik kempen, rungutan orang ramai, suara-suara desakan.

Apakah masalah infrastruktur, yang umumnya bersifat material ini menjadi tumpuan utama calon dan parti yang bertanding?

Apakah peranan institusi dan kemudahan kerajaan yang berfungsi sepanjang zaman,  24 jam sehari 365 hari setahun?

Apakah manusia memerlukan parti politik untuk menyuarakan isu-isu yang memang wujud yang mencerminkan sifat pemerintahan yang tidak sempurna pada mana-mana kerajaan sekali pun?

Jika kita telusuri semua pilihan raya umum (dan kecil) sepanjang setengah abad lalu di Malaysia, isu dan masalah sama dibangkitkan, mungkin sedikit perbezaan berdasarkan kepada perubahan demografi, psikografi dan perkembangan teknologi.

Kita perlu sedar, dan ini wajar diperingatkan bahwa tujuan demokrasi dan politik elektoral adalah lebih besar daripada itu, yakni ia mesti secara sedar bersifat menyempurnakan demokrasi itu sendiri.

Ia juga mesti menuju ke arah mengurangkan defisit kepercayaan terhadap pemimpin dan parti, serta dan merombak budaya parti politik sendiri yang jauh dari sempurna.

Budaya parti politik mencabar rasional pemikiran kita sebagai manusia. Ini berlaku sehinggakan kita lihat parti politik diletakkan lebih tinggi daripad agama, lebih tinggi daripada tuhan. Etos dirosakkan dan etik dicabul sewenang-wenangnya.

Proses pilihan raya melibatkan “Undian Rasa Hati”, “Undian Suara Hati.” Ini merentasi rasionaliti. Ia bukan undian satu-satu diktat (arahan parti) melalui calon atau pemimpin parti politik.

Dan, sebab itulah kita memerlukan satu budaya alternatif kepada politik kepartian dan politik elektoral.

Pilihan raya kali ini adalah undian alternatif berdasarkan “rasa/suara hati” merujuk kepada budaya yang bertamadun, budaya yang luhur, budaya yang jauh dari rasuah, kerakusan dan kejahatan.

Kita tidak ada pilihan selain dari mengelakan budaya kuasa yang bersifat Faustian – di mana nilai parti politik dan pemimpinya itu dikompromi demi kerakusan kuasa dan kejahatan.

Unsur penting yang perlu ada pada seseorang ahli politik dan pemimpin itu ialah integriti. Integriti memerlukan kebebasan (dalam asas dan konteks beradab) menilai.
Kebebasan menilai menolak diktat/arahan parti. Arahan parti mengekang kata hati seseorang terhadap apa yang beradab dan saksama, terhadap rasa kebenaran itu.

Undian kali ini juga ialah undian mengembalikan Malaysia kepada peradaban watan dan kewatanan, tidak ada motif yang tersembunyi dalam hubungan kaum. Dialog terbuka dan telus mesti berlangsung.

Watan dan kewatanan ini tidak menolak etnik lain, sebaliknya menerima dalam satu peraturan yang menghormati asas dasar peraturan negara bangsa.

Apakah rakyat mahu? – soalan ini sering diungkapkan menjelang pilihan raya. Fikirkanlah soalan itu dengan mendalam.

Tanya balik, apakah parti politik mahu?

Apakah matlamat pemimpin dalam mentadbir negara? Apakah rakyat mahu persekitaran kejiranan dan perumahan mereka dibersihkan – cuci parit dan semak samun? Sudah tentu.

Tetapi janganlah menggunakan jawapan rakyat ini dengan cara ‘lurus bendul.’

Membersihkan semak samun  tidak wajar dijadikan isu pilihan raya. Ini tanggung jawab seharian fungsi tetap majis tempatan. Tidak perlu membuang masa media menyuarakan hal sebegini.

Calon serta parti tidak wajar menggunakan isu sebegitu untuk meraih undi. Ia hanya menunjukkan kegagalan parti dan calon itu juga.

Setiap kali kempen pilihan raya akan kedengaran ungkapan yang menggambarkan pengundi tidak percayakan wakil mereka. Ini juga memberi gambaran buruk kepada demokrasi. Itu suara “akar umbi.”

Di mana suara itu dalam skema yang lebih luas? Impian pengundi muncul setiap lima tahun. Di mana fungsi pentadbiran kerajaan?

Janganlah kita dipesongkan oleh retorik lima tahun sekali lalu dikaburkan oleh janji peruntukan itu dan ini oleh kerajaan yang berkuasa.

Apakah hanya menjelang pilihan raya dibuat aduan mengenai pasar runtuh atau tidak sempurna? Ini isu keselamatan dan keselesaan sepanjang masa. Bukan bermusim.

Kempen pilihan raya hakikatnya mendedahkan kelemahan pentadbiran kerajaan. Jadi muncullah janji yang berbunyi “jika kami dipilih, kami akan menyelesaikan masalah ini.”  Satu retorik yang berbaur bebal budaya pentadbiran yang pertembungan dengan demokrasi.

Ini menunjukan kerajaan tidak cekap dan tidak pandai memerintah. Ini juga menunjukkan ketiadaan iltizam dan etika kerja di kalangan penjawat awam.

Apakah kita memerlukan parti politik dan pilihan raya bagi membetulkan keadaan?

Apakah kewujudan parti politik dalam politik negara seperti yang ada sekarang ini menjadi sebab kenapa kita mesti kekalkan yang tersedia ada?

Apakah pentadbiran kerajaan tidak cukup dalam memastikan kepentingan awam, kebenaran dan kesaksamaan?

Dalam demokrasi, pemerintahan majoriti dengan sendirinya tidak mencukupi; tidak semestinya membawa kebaikan. Apakah jenayah, rasuah, penyalagunaan kuasa dan kejahatan dapat diberi justifikasi. Bagaimanakah kehendak ramai dalam menangani hal ini?

Ada yang menolak jenayah, rasuah, penyalahgunaan kuasa, dan kejahatan oleh parti politik. Ada juga yang menyokong. Dalam hal ini tidak ada pilihan.

Proses politik elektoral dalam demokrasi mesti menjurus kepada satu konsensus dalam menolak budaya biadab dan kejahatan.

Biarkan masalah pembiakan nyamuk dalam longkang yang tidak dibersihkan kepada mereka yang bertanggungjawab dibayar setiap bulan untuk menyempurnakan fungsi tersebut.

Tindakan mesti ke arah membina kesedaran baharu dalam politik negara. Tugas dan tanggungjawab pengundi dalam sesebuah demokrasi adalah menghapuskan kejahatan dan penyamun dari berkuasa; bukan merintih mengenai semak samun di kawasan perumahan kita.– 10 November, 2022.

A Murad Merican,
profesor sejarah sosial dan intelektual, dan penyelaras bersama Forum Melayu Kebangsaan.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo