NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kajian Ilham Centre menunjukkan kerusi panas/kelabu di Pantai Timur masih milik PAS/PN


TIADA kerusi panas melibatkan pertembungan tokoh besar dapat dilihat di pantai timur seperti yang berlaku di kerusi tumpuan Titiwangsa atau Sungai Buloh di pantai barat, kata penganalisis.

Sebaliknya, persaingan di antara parti yang bertanding di Kelantan, Terengganu dan Pahang dilihat lebih kepada ukuran menentukan sama ada kerusi dikuasai masih selamat di tangan masing-masing.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berpendapat demikian kerana banyak kawasan tersebut dulunya masih dianggap putih milik sesuatu parti, tapi kini tidak lagi sedemikian.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, kerusi panas pula seperti di Sungai Buloh jadi perhatian kerana ketegangan di situ apabila seorang menteri Barisan Nasional (BN) bertanding di kubu kuat Pakatan Harapan (PH).

“Seperti contoh di Sungai Buloh apabila Khairy diperkatakan kerana mencabar status quo didominasi PH dan beliau cuba untuk pecahkan tembok itu dan kempennya agak agresif.

“Ataupun seperti di Titiwangsa dua ikon besar Johari Ghani (BN) dan Khalid Samad (PH). Ini yang dikatakan seperti pertembungan gergasi hinggakan penyokong rasa seronok melihat regu yang ditampilkan itu bersaing dengan sengit.

“Tapi di pantai timur kita tidak boleh kata kerusi panas, kerana lebih tepat tumpuan kepada kerusi yang sukar dibaca dengan tepat,” kata Hisomuddin.

Dalam erti kata lain, kerusi panas di pantai timur hanyalah kawasan yang tidak lagi menjadi kerusi selamat sesebuah parti atas faktor calon yang ditampilkan pihak lawan.

Beliau memberi contoh kerusi Kuala Nerus, Terengganu yang menyaksikan penyandangnya Khairuddin Aman Razali bertanding menentang PAS selepas ditolak parti itu.

Namun unjuran data Ilham Centre menunjukkan penyokong PAS tidak akan beralih sokongan hanya kerana bekas ahli Parlimen mereka bertanding atas tiket BN, kata Hisomuddin.

DAP mengugurkan penyandang Parlimen Bentong Wong Tack dan meletakkan calon Melayu, Young Syefura Othman di kerusi tersebut. – Gambar Facebook, 11 November, 2022.
DAP mengugurkan penyandang Parlimen Bentong Wong Tack dan meletakkan calon Melayu, Young Syefura Othman di kerusi tersebut. – Gambar Facebook, 11 November, 2022.

Badan tinjauan itu melihat perkara sama berlaku di kerusi Pasir Mas, Kelantan. Biarpun ada tokoh besar Husam Musa dari Amanah bertanding, ia tidak menjadikannya kerusi panas.

Namun perhatian diberikan di kerusi itu kerana sentimen melatari pemikiran pengundi muda yang agak kritikal terhadap pemimpin negeri dan sama ada sokongan itu beralih pada Husam.

“Jadi adakah mereka akan menzahirkan protes mereka itu mengundi selain dari PAS atau protes senyap? Situasi ini menjadikan Husam akan menjadi tumpuan (jika akan) menerima aliran (sokongan) kelompok protes senyap.

“Jadi ini kerusi tidak selamat tapi bukan kerusi panas. Ia boleh jadi kerusi kelabu peluang kemenangan 50-50 sama ada boleh jadi terbalik berpihak kepada pihak lawan, atau penyandang menang secara marginal,” katanya.

Penganalisis politik Mazlan Ali pula berkata PRU15 akan mengukur pengaruh sama ada BN dan PAS menjadi parti dominan di pantai timur.

Bagaimanapun beliau berpendapat perkembangan mutakhir menyaksikan sokongan PAS mungkin merosot kerana prestasi mentadbir tiga negeri dan juga dalam pentadbiran Putrajaya.

“Kemudian di Kelantan sebab ada gerakan Save Kelantan jadi nampak ada sedikit (sokongan) terutama pengundi atas pagar sebagai penentu.

“(PRU15) sebenarnya lebih kepada hala tuju pengundi. Kalau mereka tak puas hati kepada PAS adakah mereka akan beralih kepada Umno, BN walaupun parti itu pun banyak juga masalah?.”

Beliau juga percaya sokongan pengundi di pantai timur kali ini tidak dipengaruhi isu nasional seperti PRU14 yang menyaksikan gelombang penolakan BN.

Berikut 10 kerusi tumpuan di pantai timur

Bentong

Kerusi Parlimen Bentong menjadi tumpuan selepas DAP mengugurkan penyandangnya, Wong Tack dan meletakkan calon Melayu, Young Syefura Othman di kerusi tersebut.

Ia menyaksikan persaingan lima penjuru antara Young Shefura Othman (PH), Liow Tiong Lai (BN), Roslan Hassan (PN).

Penyandang kerusi itu Wong juga memutuskan untuk bertanding sebagai calon bebas biarpun pada PRU14 beliau hanya menang dengan majoriti kecil, iaitu 2,032 undi.

Pekan

BN mencalonkan Sh Mohmed Fuzi Sh Ali selepas penyandangnya bekas perdana menteri Najib Razak menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana kesalahan rasuah.

Bekas pegawai Najib itu dicabar Mohd Naim Zainal Abidin (PH-PKR), Tengku Datuk Zainul Hisyam Tengku Hussin (Bebas), Mohammad Radhi Abdul Razak (GTA-Pejuang) dan Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (PN).

Najib berjaya mengekalkan kemenangan selama tujuh penggal sejak 1986 di kubu kuat Umno dengan jumlah pengundi paling besar di Pahang itu.

Indera Mahkota

Penyandang kerusi Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah kini bertanding atas tiket PN selepas bertindak keluar parti, PKR bersama 11 pemimpin lain menerusi gerakan digelar Langkah Sheraton pada Februari lepas.

Saifuddin akan dicabar Quek Tai Seong  (BN), Zuraidi Ismail (PH) dan Dr Mohamad Nor Sundari (Pejuang).

Saifuddin dijangka berdepan dengan laluan sukar mempertahankan kerusi yang dimenangi PKR sejak 2008.

Annuar Musa digugurkan sebagai calon BN di Ketereh dikatakan ada kaitan pertembungannya dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi selain dilihat cenderung kepada PN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2022.
Annuar Musa digugurkan sebagai calon BN di Ketereh dikatakan ada kaitan pertembungannya dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi selain dilihat cenderung kepada PN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2022.

Ketereh

Langkah BN menggugurkan penyandang, Annuar Musa dan menggantikan dengan calon Ketua Puteri Umno Ketereh Marzuani Ardila Ariffin mengejutkan ramai penyokong parti itu.

Keputusan menggugurkan Annuar itu dikaitkan dengan pertembungan dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi selain beliau dikenali antara pemimpin yang cenderung kepada PN.

Sebagai calon muka baharu, Marzuani bakal berdepan pertembungan empat penjuru menentang calon, Khlir Mohd Nor (PN) Rahimi L Muhamud, (PH) Haneef Ibrahim (Pejuang).

Pada PRU14, Annuar menang dengan majoriti 4,626 undi menewaskan Wan Ismail Wan Jusoh dari PAS dan Radzi Jidin dari Bersatu.

Kedua-dua Annuar dan Radzi dilantik sebagai menteri dalam Kabinet Ismail Sabri Yaakob.

Tumpat

Selepas digugurkan PN, penyandang kerusi Parlimen Tumpat Che Abdullah Mat Nawi memutuskan untuk bertanding di kerusi itu atas tiket BN.

Bekas timbalan menteri itu mencetuskan kontroversi kerana tindakannya bernikah secara atas talian dan tidak dilantik semula dalam Kabinet selepas Ismail Sabri menjadi perdana menteri.

Beliau akan dicabar calon Wan Mohd Johari Wan Omar (PN), Che Muhammad Aswari Che Ali (GTA ), dan Khairul Azuan Kamarrudin (Warisan).

Che Abdullah menentang PAS kali ini selepas memberi majoriti besar 17,500 undi bagi mengalahkan calon BN dalam PRU14.

Pasir Mas

Pemimpin parti Amanah Husam Musa bertanding sebagai calon PKR di kerusi itu selepas tidak tersenarai sebagai calon partinya sendiri.

Husam akan mencabar penyandang, Ahmad Fadhly Shaary yang juga ketua pemuda PAS selain Ab Ghani Harun (BN) dan Nasrul Ali Hasan (GTA).

Husam dilihat mampu memberi saingan sengit melalui pengaruh gerakan Save Kelantan yang memperjuangkan masalah rakyat negeri itu.

Bachok

Keputusan PAS menggugurkan penyandang Nik Abduh, anak kepada tokoh besar parti Islam itu Nik Abdul Aziz Nik Mat mengejutkan penyokongnya.

PAS meletakkan setiausaha politik kepada presiden PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman melawan Mohd Zain Yasim (BN), Nor Azmiza Mamat (PH) dan Kamarul Azam Osman (GTA) di kerusi itu.

Meletakkan setiausaha politiknya sebagai calon dianggap sebagai tradisi Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Pada PRU14, Hadi meletakkan Ahmad Samsuri Mokhtar yang ketika itu setiausaha politiknya bertanding di DUN Rhu Rendang, antara kawasan kubu kuat PAS di Terengganu.

Kuala Nerus

Sama seperti Tumpat, penyandang kerusi itu Khairuddin yang dulu merupakan bekas pemimpin PAS kini bertanding atas tiket BN pada PRU15.

Beliau akan dicabar exco dan pemimpin veteran negeri, Alias Razak (PN) dan Azaha Wahid.

Calon BN itu mencetuskan kontroversi terutama akar umbi Umno Kuala Nerus yang kecewa calon pilihan mereka, bekas menteri besar Ahmad Razif Abd Rahman tidak dipilih.

Hulu Terengganu

Penyandang, Rosol Wahid menang kerusi ini dalam PRU14 atas tiket BN namun apabila parti itu kalah PRU14, Rosol bertindak keluar daripada Umno dan menyertai Bersatu.

Tindakan Rosol menyebabkan parti Melayu itu kehilangan salah satu kubu kuatnya di negeri tersebut.

Rosol akan bertanding atas tiket PN dan dicabar oleh Rozi Mamat (BN) Alias Ismail (PH) Mohd Khadri Abdullah (GTA).

Besut

Kerusi Parlimen Besut menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Nawi Mohamad (BN), Che Mohamad Zulkifly Jusoh, (PN), Abd Aziz Abas (PH), dan Wan Nazari Jusoh (Pejuang).

Besut dikenali antara kubu kuat Umno yang sukar ditembusi PAS.

Namun keputusan mengugurkan penyandang sebelum ini, Idris Jusoh yang merupakan tokoh berpengaruh di kawasan itu dilihat memberi risiko kepada BN.

Idris menjadi ahli Parlimen Besut selama dua penggal. Pada PRU13, beliau menang dengan majoriti lebih 8,000 undi.

Pada PRU14, biarpun berjaya mempertahankan kedudukannya namun sokongannya merosot dengan perbezaan sekitar 4,500 undi. – 11 November, 2022.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo