NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Calon ada kes mahkamah tidak wajar bertanding


SHAH ALAM
- Pasukan Rasuah Busters menyeru calon yang masih berdepan kes perbicaraan di mahkamah supaya tidak menawarkan diri untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penganalisis politik, Profesor Wong Chin Huat berkata, calon yang berhadapan dengan kes di mahkamah perlu berehat dahulu supaya dapat menumpukan sepenuh perhatian untuk membersihkan nama mereka daripada dakwaan berkenaan.

“Sungguhpun di sisi undang-undang sebelum dihabiskan peluang terakhir untuk membuat rayuan, seseorang itu diandaikan tidak bersalah akan tetapi parti politik boleh meletakkan piawaian moral yang lebih tinggi ke atas calon-calon mereka.

“Pemimpin-pemimpin ada kes jenayah terutama rasuah dan pecah amanah yang merugikan kepentingan orang awam perlu berehat dahulu supaya dapat menumpukan sepenuh tenaga mereka untuk membersihkan nama masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau menambah pemimpin politik juga harus meletakkan piawaian moral yang lebih tinggi terhadap diri sendiri.

Jangan biar kes jenayah sendiri mencemari nama baik parti sehingga menyebabkan parti diwakili diejek dengan panggilan kluster mahkamah.

“Sudah tentu parti akan berterima kasih dan mengalu-alukan mereka kembali sesudah membersihkan nama sendiri,” jelasnya.

Tambah beliau, disebabkan isu rasuah yang terpalit ke atas calon menyebabkan pengundi tidak mengundi sesuatu parti itu.

“Pengundi tidak mengundi kerana takut jika parti mereka menang, parti mereka akan menggunakan kuasa politik untuk melantik Peguam Negara yang mesra dan akan menggugurkan kes rasuah dihadapi mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin berpandangan calon yang ada kes mahkamah daripada mana-mana parti atau gabungan sekalipun tidak perlu bertanding pada PRU15.

“Rakyat mahukan calon yang tiada track record kes mahkamah dan ini selari dengan kehendak rakyat agar calon terdiri dari mereka yang berkemampuan, jujur, amanah serta bebas daripada rasuah.

“Calon yang ada kes mahkamah perlu selesaikan kes mahkamah dahulu. Kes mahkamah memerlukan tumpuan yang akan memakan banyak masa dan tenaga, jadi fokus tumpuan kepada kes mahkamah,” jelasnya.

Beliau juga berharap calon yang mempunyai kes mahkamah memberi laluan kepada mereka yang bebas sebarang tuduhan untuk bertanding pada PRU15 bagi memastikan rakyat dapat membuat pilihan terbaik untuk memilih calon yang akan memimpin negara ini.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Farhan Rosli pula berkata, calon yang mempunyai kes mahkamah sepatutnya berasa malu dan wajar mengundurkan diri selain memberi ruang kepada muka baharu.

“Sekiranya masih berkeras, pengundi wajar tolak dan tidak memberi undi kepada mereka yang terlibat.

“Ini juga akan mewujudkan persepsi buruk pengundi kepada orang politik. Dicurigai mereka yang mempunyai kes mahkamah terutama kes rasuah cenderung untuk melakukan perbuatan menjurus kepada politik wang, sogokan dan salah guna kuasa,” ujarnya.

Beliau menambah pembabitan mereka yang terpalit dengan kes mahkamah dibimbangi akan mencalarkan imej negara.

“Ini kerana individu yang terbabit dengan salah laku masih diberi ruang untuk terlibat dalam proses demokrasi,” tambah beliau.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo