Responsive Ad Slot

Dato Lajim dalam kenangan



"..apa pun parti dia aku tatap sokong Datu Lajim.."

Itu la dialog bapa bila aku tanya sokong siapa semasa PRU-14 dulu. Gambar ini diambil di PDM SMK Kota Klias pada 9 Mei 2018, iaitu hari mengundi untuk PRU-14.

Kelihatan muka bapa menahan sebak, masih lagi berpeluang berjumpa dengan Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin yang lebih sinonim dengan gelaran Dato Lajim atau Janang Gayuh dalam kalangan masyarakat Beaufort.

Sejak bapa mula tahu yang dia sedang sakit, memang cepat rasa sebak.

Dato Lajim, pada bapa dan pada warga Beaufort bagi aku is the true wakil rakyat, more than a politician. Ada wakil rakyat yang lebih dilihat sebagai orang politik berbanding menjadi wakil rakyat. Tapi hal itu tidak pada Dato Lajim.

Tidak hairanlah Dato Lajim boleh menang dalam kebanyakan siri pilihanraya yang beliau sertai, bermula pada tahun 1986 sebagai calon PBS, menang dua siri pilihanraya mengatasi calon Usno, Azizah Mohd Dun dan calon dari parti Berjaya, pada tahun 1999, masih mewakili PBS mengalahkan calon BN, Anifah Aman dalam pertandingan 1 lawan 1, pernah menang kerusi DUN dengan kemenangan tanpa bertanding, menang sebagai calon BN pada tahun 1999 menewaskan calon PBS, Abdul Rahman Yakub dan calon Bersekutu (parti Dato Harris Salleh) dengan majoriti 3,775 undi, menang dalam PRU 13 sebagai calon Pakatan Rakyat mewakili PKR, menewaskan Dato Isnin (BN) serta calon STAR dan SAPP.

Itulah dia Dato Lajim, dipilih kerana dirinya, bukan partinya, kerana dia sangat dekat dengan masyarakat di setiap peringkat.

Aku masih ingat lagi malam-malam berdua dengan bapa naik van pairitnya, Ford berwarna maroon untuk memasang poster kempen Dato Lajim dalam PRU tahun 1999. Apa yang aku ingat pada malam itu, apa yang bapa buat ialah, sebelum jalan, dia bancuh kanji dalam baldi untuk dijadikan gam dan disapu di atas plywood menggunakan berus cat, untuk ditampalkan kertas poster dan dilapis pula dengan plastik, sebelum dipacak di siring jalan. Ada poster yang dipacak dan ada poster yang dimasukkan dalam plastik dan digantung menggunakan tali.

Bapa pernah cakap, Dato Lajim tu lain, orang sakit di KK, dia pegi lawat tu. Kamu bertiga (adik-beradik) belajar ada tu dia mengasi belanja.

Setiap kali hari raya, jarang kad ucapan hari raya dan ampau raya tidak sampai kepada bapa, sebagai salah seorang dari orang kuatnya.

Pernah sekali kebetulan aku ikut bapa ke majlis kenduri kahwin, terjumpa pula dengan Dato Lajim. Bapa pun apa lagi, macam biasa, akan hulur tangan bersalam dan minta aku pun buat benda yang sama. "Nu abar Mat?" Sapa Dato Lajim mesra bertanya khabar bapa, dengan suara serak basahnya yang tidak susah untuk diingati nadanya.

Aku sangat yakin, sehari dua atau dalam minggu ni orang akan bercerita tentang kebaikan yang pernah beliau lakukan sebagai seorang wakil rakyat di Beaufort.

Mana anak yang menyambung pengajian diberi belanja, yang terbaring sakit dihantarkan tilam, yang terlantar di wad diziarahi, yang menjemput kenduri dihadiri.

Kali terakhir aku melihat Dato Lajim ialah semasa kenduri tahlil selepas solat hari raya Aidil Adha di Limbawang, beliau bercapal kulit, berjubah dan kopiah putih. Kopiah jenis Kopiah Haji Abdul.

Selain terlibat dalam politik dan memimpin Persatuan Bersatu Bisaya Sabah, beliau juga berperanan besar aktiviti dakwah melalui penglibatan beliau secara langsung dalam United Sabah Islamic Association (USIA) sebagai Ketua Usia Bahagian Beaufort serta Pertubuhan Kebajikan Islam Sabah (Perkis) sebagai presiden.

Semasa menjadi wakil rakyat dan menteri juga beliau tidak ketinggalan menjadikan agenda dakwah sebagai keutamaan kepada masyarakat.

Keratan akhbar beliau datang membuat tinjauan pembinaan surau di kampung aku masih ada disimpan di rumah. Dato Lajim masih berisi lagi dalam gambar di surat khabar tu. Keratan akhbar tu disimpan di rumah sebab dalam perenggan akhir ada tercatat nama bapa, sebagai JKK.

Dataran kediaman Dato Lajim juga pernah menjadi tapak program Himpunan Hijau ke Putrajaya anjuran PAS Sabah pada 1 September 2012 yang turut dihadiri oleh Presiden PAS, menjelang PRU-13.
Di tempat yang sama juga Dato Lajim pernah menganjurkan program munajat yang dipimpin oleh al-marhum Tuan Guru Haji Salleh Musa, ulama yang terbilang di nusantara dan pernah juga beliau berkunjung ke Kelantan dan menziarahi menteri besarnya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Mursyidul Am PAS ketika itu.

Hari ini warga Beaufort berduka menerima berita pemergiannya, seorang pemimpin yang disenangi, dihormati dan disayangi.

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo