NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Apakah hukum bersalawat kepada Baginda Rasulullah SAW?

Bnayak bersalawat sebagai tanda cinta kepada Nabi Muhammad SAW
APAKAH hukum berselawat kepada Baginda Rasulullah SAW? Kelihatan pada zahirnya ia adalah zikir biasa barangkali.

Namun, jika dilihat kepada pandangan para ulama yang arif tentang hukumnya, maka ia mungkin sudah cukup untuk mendorong kita mewajibkan diri dan memperbanyakkan berselawat kepada Nabi Muhammad.

Menurut al-Hafiz al-Sakhawi yang menukilkan pandangan Imam Ibn 'Abd al-Barr bahawa para ulama telah bersepakat hukum berselawat kepada Nabi Muhammad adalah fardu kepada semua yang beriman berdasarkan firman Allah dalam surah al-Ahzab, Ayat 56 yang bermaksud:

 "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat ke atas Nabi (Muhammad). Wahai orang yang beriman, berselawatlah kalian kepadanya (Nabi Muhammad SAW) dan berilah salam kesejahteraan dengan penghormatan sepenuhnya."

Imam al-Qurtubi pula berpendapat bahawa tiada perbezaan pandangan dalam kalangan ulama hukum berselawat adalah wajib sekali seumur hidup manakala hukumnya pada setiap masa adalah sunat muakkad (sunat yang dituntut).

Manakala Ibn ‘Atiyyah menjelaskan tentang hukum sunat muakkad tersebut dengan menyatakan bahawa tiada alasan bagi seseorang itu untuk meninggalkan selawat. Tambahnya, orang yang meninggalkan selawat kerana cuai adalah golongan yang telah ditakdirkan tiada kebaikan baginya.

Imam al-Shafie berpandangan bahawa wajib hukumnya bagi seseorang itu berselawat dalam solat ketika membaca tashahud akhir. Pendapat seumpama ini juga dipegang oleh sebahagian ulama bermazhab Maliki.

Barangsiapa yang bershalawat kepadaku satu kali, maka Allah bershalawat kepadanya 10 kali shalawat, dihapuskan darinya 10 kesalahan, dan ditinggikan baginya 10 darjat.” (HR. an-Nasa’i, III/50).
Terdapat juga pandangan yang menyatakan bahawa hukumnya wajib untuk memperbanyakkan selawat tanpa dihadkan kepada jumlah tertentu. Menurut Imam al-Tahawi, selawat adalah wajib diucapkan setiap kali seseorang itu mendengar nama Nabi SAW disebut oleh orang lain atau olehnya sendiri.

Di samping itu, menurut al-Sakhawi juga, ayat al-Quran ini diturunkan adalah untuk memberitahu kepada hamba-hamba Allah tentang martabat Nabi SAW di sisi Allah dan dalam kalangan para malaikat.

Allah memuji Baginda dalam kalangan para malaikat yang dekat darjat mereka dengan-Nya dan para malaikat juga berselawat kepadanya.

Allah memerintahkan semua makhluk di bumi agar berselawat kepadanya sehinggalah bersatulah pujian selawat kepada Baginda SAW antara penduduk langit dan bumi.

Dalam pada itu, menurut Imam al-Sayuti bahawa setelah ayat al-Quran tersebut diturunkan, maka para sahabat mengucapkan tahniah kepada Rasulullah.

Imam al-Halimi menjelaskan bahawa mengagungkan Nabi SAW dengan berselawat kepadanya merupakan sebahagian dari cabang-cabang iman. Justeru, menjadi kemestian kepada umat Islam untuk memuliakannya melebihi sikap seseorang hamba memuliakan tuannya dan sikap anak memuliakan kedua ibu bapanya. Inilah yang dikehendaki di dalam kitab dan arahan dari Allah.

Imam al-Fakihi sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Sakhawi berpandangan bahawa selawat merupakan keistimewaan khusus yang hanya diberikan kepada Rasulullah SAW yang tidak dianugerahkan kepada para rasul yang lain.

Tidak terdapat di dalam al-Quran atau nas yang lain yang menunjukkan bahawa Allah berselawat kepada para nabi yang lain. Imam Sahl menerangkan bahawa kemulian yang dianugerahkan oleh Allah kepada Nabi SAW adalah lebih sempurna berbanding apa yang dianugerahkan kepada Nabi Adam AS ketika Allah memerintahkan para malaikat agar sujud kepadanya.

Ini kerana, ia hanya dilakukan oleh para malaikat dan ia tidak dilakukan oleh Allah. Ini berbeza dengan selawat di mana Allah dan para malaikat turut melakukannya bersama-sama.

Justeru dapat difahami bahawa hukumnya wajib berselawat ketika solat dan sunat muakkad pada waktu yang lain seperti ketika mendengar nama Baginda disebut.

Maka, umat Islam perlu memberi perhatian tentang kewajipan dan tanggungjawab ini dengan mengambil berat untuk sentiasa berselawat kepada Rasulullah SAW. Tuntutan ini ada kaitan juga dengan kekhususan yang dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah.


***Dr. Mohd Hasrul Shuhari adalah pensyarah kanan di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo