NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sudah tiba masa kita belajar 'hidup' bersama COVID-19


Saban tahun, setiap kali menyambut Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan operasi besar-besaran dikenali Op Selamat bagi memastikan keselamatan di jalan raya.

Semasa cuti Tahun Baharu China tahun lalu contohnya, PDRM melaporkan 16,942 kemalangan direkodkan membabitkan 25,171 kenderaan dan 209,567 saman dikeluarkan sepanjang 11 hari op terbabit .

Jumlah kes kemalangan dan saman dilaporkan besar. Namun, kita tidak merumus secara melulu bahawa rakyat Malaysia pemandu ganas dan tidak berhemah di jalan raya. Kita tidak terus mengehadkan penggunaan kereta dan merumuskan PDRM gagal.

Perincian dilaporkan membolehkan kita memahami keadaan sebenar. Daripada jumlah kes kemalangan dilaporkan, 115 (0.6 peratus) adalah kemalangan maut. Sementara 182,538 (87.1 peratus) daripada jumlah saman adalah kes kesalahan seperti menggunakan telefon bimbit ketika memandu, melanggar lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan dan sebagainya.

Kita menerima hakikat bahawa kemalangan jalan raya dan kesalahan lalu lintas tetap akan ada dan mustahil dihapuskan. Mungkin disebabkan kesalahan atau kecuaian pemandu atau juga kegagalan kenderaan berfungsi dengan baik.

Ada kemalangan tanpa kecederaan, sedikit luka, cedera ringan yang perlukan rawatan klinik harian, cedera parah dan maut. Peningkatan kes cedera parah dan maut, membimbangkan kita dan mesti dielakkan.

Selagi ada kenderaan dipandu, selagi itulah ada kemalangan setiap hari. Kita adakan peraturan, tingkatkan kesedaran, pemantauan dan penguatkuasaan.

Manfaat dapat 'bergerak' dengan mudah dan pantas jauh melepasi kos kemalangan dan saman harian. Hakikatnya, kita 'hidup dengan kemalangan'.

Sama juga dalam memerangi penularan COVID-19. Setiap hari Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan jumlah kes COVID-19 sejak ia bermula dan juga kes harian baharu.

Jumaat lalu, jumlah kes kumulatif COVID-19 ialah 893,323 dengan 12,541 jangkitan harian. Jangkaan kes harian akan meningkat dalam masa terdekat sudah kedengaran.

Ramai gelisah dan tak kurang merumuskan kita gagal. Semua tertumpu kepada kes harian, bila akan menurun? Adakah jumlah kes harian ini petunjuk mutlak kejayaan kita mengekang penularan wabak ini? Terlalu banyak angka dan data dijamu, hingga ramai keliru.

Malah ada pergi lebih jauh, mentelaah data Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan Pusat Data Coronavirus Universiti Johns Hopkins yang melapor data global secara terperinci. Macam-macam.

Ada buat kesimpulan mengikut apa yang tular di media sosial. Ada juga berasakan apa saja 'si mata biru' daripada laporan media antarabangsa seperti Bloomberg - mesti betul. Bendera putih yang menjadi usaha masyarakat membantu yang terdesak dan terputus bekalan makanan, ditafsir sebagai 'negara gagal'.

Mungkin 'si mata biru' tak sempat membaca 61 laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) yang memperincikan segala bentuk bantuan untuk rakyat dan firma perniagaan.

Tak kurang kesimpulannya mendahului analisis data. Mencari data secara selektif untuk 'mengiyakan' pandangan berkepentingan tersendiri.

Data yang banyak memang baik. Kemajuan teknologi digital membolehkan semua mencapai data dengan pantas dan penilaian akan lebih terperinci. Ini era data raya, namun yang tenggelam lemas dalam lautan data.

Ditambah kerancakan media sosial, data tak diketahui kesahihan dan puncanya menular lebih pantas mengalahkan penularan virus COVID-19. Mengumpul, menyusun, menganalisis, mentakrif dan melapor data memerlukan kepakaran khusus. Silap cara, putih jadi hitam.

Laporan KKM Jumaat lalu memberi perincian seperti Ops Selamat. Kes jangkitan COVID-19 dikelaskan mengikut tahap 'kemudaratan' - Kategori 1 (tanpa gejala), Kategori 2 (gejala ringan), Kategori 3 (jangkitan paru-paru), Kategori 4 (jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen), serta Kategori 5 (jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator).

Daripada jumlah kes harian Jumaat lalu, 98.5 peratus (12,352 kes) dalam Kategori 1 dan 2, manakala hanya 1.5 peratus (189 kes ) dalam Kategori 3, 4 dan 5 yang memudaratkan.

KKM melaporkan kes harian baharu COVID-19 secara lebih menyeluruh dan terperinci. Jumlah kes harian boleh dikelaskan kepada dua - berkaitan kluster dan tidak berkaitan kluster.

Sebagai contoh, Jumaat lalu juga, daripada 12,541 kes harian, sekitar 96.3 peratus (12,080 kes) adalah kes tidak berkaitan kluster. Kes harian baharu COVID-19 bersifat sporadik - meluas dalam komuniti hampir di mana saja, tidak mempunyai jejakan khusus.

Perbincangan hangat masyarakat dan media sebaliknya tertumpu kepada kes berkaitan kluster, iaitu hanya 3.7 peratus (461 kes harian baharu daripada 37 kluster baharu) daripada jumlah keseluruhan - sangat kecil berbanding kes keseluruhan.

Naratif salah ini membawa kecelaruan pemahaman dan ada kalanya tindakan merugikan. Penutupan pengoperasian seharusnya dibuat bersasar, berdasarkan data dan sains yang tepat, bukan mengikut kluster.

Pemantauan rapi tetap perlu diteruskan. Kilang (atau mana-mana kluster) yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan/atau mempunyai kes COVID-19 sememangnya patut didenda dan ditutup.

Namun keputusan melulu, menutup keseluruhan kilang (atau keseluruhan kluster) secara 'pukul rata' tidak tepat dan merugikan. Jangan kerana marahkan nyamuk seekor, habis kelambu dibakar.

Dasar mengekang penularan COVID-19 mesti bersifat dinamik, diubah secara sistematik berdasarkan data dan sains terbaik. Setiap hari dunia mempelajari sesuatu yang baharu mengenai virus ini.

Semua pihak mesti bersedia membuat perubahan bersesuaian status penularan wabak ini. Strategi memerangi penularan COVID-18 mesti berubah.

Memerangi musuh di luar berbeza dengan memerangi musuh yang sedia menyusup ke dalam. Mungkin tiba masanya kita perlu bersedia hidup bersama COVID-19.

Seperti Ops Selamat, kita hidup dengan kemalangan ringan dan kes saman kesalahan biasa sebagai kelaziman yang pasti akan terus berlaku. Virus COVID-19 ada dalam masyarakat, jangkitan mungkin terus berlaku.

Semakin ramai menerima vaksin, kita harapkan kes baharu harian akan berkurangan. Sekiranya dijangkiti, yang penting ia tidak memudaratkan. Keseimbangan antara nyawa dan kesejahteraan kehidupan perlu dicapai.

Kita perlu menilai semula keperluan pengkelasan sektor perlu dan tidak perlu, pengkelasan kluster COVID-19, SOP yang terlalu banyak, bersifat mikro dan terlalu rumit, serta lockdown yang meresahkan.

Penulis adalah Pengarah Eksekutif Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (AEC)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo