NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Siapakah Sheikh Jarrah?


55 tahun lepas, tepatnya pada tahun 1956, selepas Nakbah Palestin 1948, ratusan keluarga Palestin hilang tempat tinggal. 28 keluarga terpaksa berpindah ke penempatan Sheikh Jarrah dan memulakan hidup baru di sana.

Penempatan Sheikh Jarrah terletak sebelah timur bandar lama Quds. Namanya diambil dari Al-Amir Husamuddin bin Sharafuddin al-Jarahi, doktor Salahuddin al-Ayyubi. Dikenali ketika itu sebagai Al-Jarrah. Apabila Salahuddin al-Ayyubi membebaskan Al-Quds, penempatan tersebut dinamakan Al-Jarrah 800 tahun lepas sempena nama doktor peribadi Salahuddin.

Berlaku Perang 1948. Al-Quds dibahagikan. Kawasan itu berada di bawah kekuasaan Jordan. Berlaku persetujuan antara satu kementerian Jordan dan organisasi PBB berkaitan pelarian, UNRWA di mana kerajaan Jordan bersetuju memberikan satu kawasan tanah kepada 28 keluarga Palestin dan UNRWA bertanggungjawab membina 28 buah rumah, dengan sejumlah bayaran bulanan hingga selesai bayaran dan rumah dimiliki.
Advertisement

Keluasan penempatan Sheikh Jarrah adalah 808 ekar, mengandungi 2800 penduduk, dan terbahagi kepada dua bahagian. Satu bahagian mengandungi restoran, hotel, pejabat konsulat dan agak elit. Sementara satu bahagian lagi agak terbiar, teruk dan tidak terurus.

Apabila tanah diberi kepada 28 keluarga Palestin, setiap kawasan rumah luasnya 800 meter persegi. Apabila bangunan rumah dibuat, hanya sekitar 200 meter, dan dibahagi kepada dua keluarga. Tanah berbaki digunakan untuk bertanam dan lain-lain. Penduduk di situ mempunyai kemahiran pertukangan hingga rumah mereka dibaiki dan dinaiktaraf.

Apabila Perang 1967, keadaan berubah. Rejim Zionis menguasai Tebing Barat, termasuk bandar Al-Quds. Keluarga di Sheikh Jarrah bertambah kepada 38 keluarga, tanpa dokumen pemilikan tanah, yang mendedahkan mereka kepada pengusiran pada bila-bila masa.

Pada tahun 1972, kumpulan Yahudi As-Safardim dan anggota Knesset Israel ‘Yahudi al-Asykanaz’ membawa kes pemilikan tanah ke mahkamah, kononnya tanah itu milik mereka semenjak 1885, dan keluarga Palestin menduduki tanah secara haram. Mujur mahkamah ketika itu berpihak kepada keluarga Palestin.

Pada tahun 1983, keluarga rejim Zionis membawa sekali lagi kes ke mahkamah terhadap 12 keluarga Palestin berkaitan pemilikan tanah. Keluarga Palestin meminta bantuan peguam negara haram Israel membantu mereka. Namun, secara halus peguam ini mengiktiraf hak penduduk haram Israel terhadap tanah itu, di samping membenarkan keluarga Palestin tinggal di situ dengan akad sewa yang dibayar kepada keluarga Israel.

Kes ini berterusan untuk beberapa lama. Pada tahun 2008, Mahkamah negara haram Israel mengeluarkan perintah membenarkan satu keluarga Yahudi menduduki sebuah rumah yang dimiliki oleh keluarga Sheikh al-Kurd. Ditambah keputusan mahkamah pada tahun 2009, untuk mengosongkan rumah dua keluarga- Hanoun dan Al-Ghawi. Ketika itu, 12 keluarga Palestin lain terdedah kepada pengusiran berdasarkan keputusan mahkamah rejim Zionis.

Sehingga artikel yang diterjemah secara bebas dari Skynewsarabia ini ditulis, saluran TV Al-Jazeera terus membuat liputan di penempatan Sheikh Jarrah yang menunjukkan ia dikawal ketat oleh tentera rejim Zionis, serta dilarang orang Arab darinya, sedangkan orang Yahudi dengan mudah memasukinya.

Dari Masjid Al-Aqsa dan penempatan Sheikh Jarrah inilah, bermulanya Perang 11 hari baru-baru ini.

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK
Pegawai Khas (Agama)
Pejabat Menteri Besar Terengganu
11 Syawal 1422 / 23 Mei 2021

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo