NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bekalan 8.2 juta dos vaksin Sinovac menjelang akhir Jun

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mempunyai bekalan 8.2 juta dos vaksin Sinovac menjelang akhir Jun dengan 3.8 juta daripadanya melalui proses secara 'fill and finish' oleh Pharmaniaga Life Science Sdn Bhd.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 4.4 juta dos vaksin Covid-19 itu diimport terus dari China dengan 400,000 telah diedarkan, satu juta telah diterima manakala baki tiga juta lagi diperoleh akhir bulan depan.

"Kilang Pharmaniaga Life Science telah menyiapkan 1.8 juta dos vaksin Sinovac serta dua juta lagi dijangka pada akhir Jun ini dan ini bermakna sejumlah 8.2 juta dos vaksin jenis ini mampu dibekalkan kepada kerajaan," katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan proses pengilangan 'fill and finish' di kilang Pharmaniaga Life Science Sdn Bhd di Puchong dekat sini pada Ahad.

Turut hadir Pengarah Urusan Pharmaniaga Berhad Datuk Zulkarnain Md Eusope.

Ismail Sabri berkata, usaha syarikat itu juga berupaya membantu kerajaan untuk mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat.

"Tidak timbul isu kekurangan bekalan kerana Pharmaniaga Life Science boleh bantu dengan kilang yang ada... kalaulah benar seperti digembar-gembur di luar sana iaitu kekurangan bekalan, dengan apa yang kita ada hari ini seperti yang saya kata tadi minimum menjelang penghujung Jun kita boleh bekalkan 8.2 juta dos vaksin," katanya.

Ismail Sabri berkata, sehingga semalam kilang Pharmaniaga Life Science telah menyiapkan sebanyak 1,889,800 dos vaksin untuk edaran dan jumlah keseluruhan pengeluaran produk vaksin dari kilang itu ialah 2,609,800 sehingga hujung Mei ini.

Sementara itu, Zulkarnain berkata, kilang itu yang pada masa ini mempunyai kapasiti menghasilkan dua juta dos vaksin sebulan sedang meningkatkan jumlah pengeluaran kepada empat juta dos vaksin sebulan yang dijangka dapat dilaksanakan mulai Ogos ini.

“Ini strategi yang kami ambil untuk membantu kerajaan dan jika ini berlaku diharap seawal Ogos kami boleh membekalkan sehingga empat juta dos sebulan kepada kerajaan,” katanya.

Sinovac Life Sciences di China telah melantik Pharmaniaga sebagai pengedar eksklusif vaksin COVID-19 Sinovac di Malaysia pada awal tahun ini. - Bernama

Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/140085/BERITA/Nasional/Bekalan-82-juta-dos-vaksin-Sinovac-menjelang-akhir-Jun


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo