NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

25 rumah atas air di Tanjung Aru musnah terbakar


KOTA KINABALU: Kebakaran berlaku di perkampungan atas air Kampung Tanjung Aru di sini tengah malam tadi, memusnahkan lebih 20 buah rumah.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah malam itu, kebakaran dipercayai bermula dari sebuah rumah sebelum merebak ke rumah lain.

Beberapa penduduk cuba memadam api menggunakan baldi berisi air namun api marak begitu cepat disebabkan struktur rumah yang berasaskan kayu serta faktor angin.


Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Jemros Olin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.01 pagi.

Susulan itu, sepasukan 32 anggota bersama lima jentera dihantar ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi, didapati api sedang marak dan operasi memadam dilakukan. Api berjaya dikawal 30 minit kemudian.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, 25 rumah musnah dan pasukan bomba berjaya menyelamat sebanyak 986 buah rumah lagi di kawasan itu," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.


Menurut Jemrosm keadaan laluan ke lokasi serta tekanan air yang rendah menyukarkan operasi pemadaman dijalankan.

"Laluan di lokasi kejadian agak sempit menuju ke kampung. Kawasan ini juga menggunakan jambatan kayu untuk menghubungkan antara rumah-rumah. Kebanyakan jambatan ini telah musnah.

"Ini menyebabkan kesukaran anggota bomba untuk masuk ke dalam. Kita dapati juga tekanan air agak rendah dan kita memerlukan jentera lori tangki untuk memadam api," katanya.

Jemros berkata, laporan awal mendapati tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan.

"Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pasukan bomba," katanya.

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/25-rumah-atas-air-di-tanjung-aru-musnah-terbakar-299714

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo