NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sekat aplikasi Sugarbook cegah kemudaratan


14 FEB: Sekatan perlu dikenakan terhadap laman sesawang dan aplikasi Sugarbook agar ia tidak dapat digunakan di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, rakyat tidak boleh dibiar melakukan perkara yang melanggar hukum serta undang-undang dengan adanya aplikasi terbabit.

Beliau menegaskan, aplikasi temu janji itu membawa kemudaratan dan tidak boleh dibiarkan berleluasa.

“Bagi menyelesaikan masalah yang timbul ini, kerajaan perlu sekat dan hilangkan aplikasi ini daripada digunakan dalam negara,” katanya kepada media ketika ditemui pada pelancaran Kaunter Pandu Lalu, Musaadah Covid-19 Pengkalan Chepa dan penyampaian sumbangan kepada pemandu teksi Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kompleks Purnama, Kota Bharu, Kelantan, hari ini.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu menambah, isu Sugarbook masih dalam siasatan terperinci Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

Ahmad Marzuk menambah, pihaknya amat memandang serius perkara tersebut dan sekiranya benar sebagaimana didakwa kerajaan perlu mengambil tindakan sangat tegas memandangkan perkara itu mendukacitakan.

Menurut beliau, pihaknya telah menyerahkan siasatan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kerana membabitkan penuntut di samping SKKM untuk tindakan lanjut manakala di bawah agensi agama, pihaknya akan mengenakan tindakan tegas berdasarkan bidang kuasa yang ada.

“Dakwaan-dakwaan itu masih lagi dalam siasatan sama ada benar ataupun tidak. Siasatan itu bukan bermaksud kita menafikannya.

“Biasalah prosedur sebagai sebuah kerajaan untuk mengambil tindakan seterusnya perlu ada kertas yang betul-betul membuktikan soal perkara tersebut,” jelasnya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo