NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

SOP Solat Berjemaah Telah Ambil Kira Pandangan Semua Pihak

KOTA BHARU, 14 Feb -- Pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) berhubung penjarakan fizikal satu meter dalam solat berjemaah di masjid, bukan sahaja ditetapkan selepas mengambil kira pandangan semua pihak, malah ia juga diamalkan di seluruh dunia.

Justeru, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, apabila kerajaan sudah membuat satu keputusan maka rakyat sewajarnya mematuhi serta mengikut pelaksanaan tersebut.

“Apa pun perbahasan yang dibuat, apa pun tajuknya dan pendirian panelnya, tetapi dalam konteks negara yang perlu kita patuhi ialah ketaatan kepada kepimpinan. Ulul amri ini sudah pun buat keputusan (berkaitan SOP) dan bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia.

“Jika semua orang nak pakai banyak pandangan, akan ada banyak corak dan cara solat jemaah di masjid seperti ada yang dekat, yang jauh dan lebih jauh. Jadi kerajaan buat keputusan dengan mengambil kira pandangan semua pihak.

“Termasuk kepakaran dalam bidang perubatan, dalam soal kehidupan sosial masyarakat, jadi sudah diadunkan sehingga keluar satu SOP yang memerlukan kita ikut dan patuh,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Purnama di Pengkalan Chepa dekat sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas program dialog bertajuk 'Jarak Saf dalam mendepani COVID-19: Tuntutan Agama atau Pemahaman Songsang', yang menampilkan Pensyarah Kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Rozaimi Ramli dan pendakwah bebas Mohib Khouli Nazem.

Dialog pada Jumaat lalu itu antaranya membincangkan isu berkaitan keperluan menjarakkan saf solat jemaah, ketika negara masih berdepan pandemik COVID-19.

Ahmad Marzuk berkata, dialog yang dianjurkan itu sangat perlu bagi mencerakinkan lagi ilmu berkaitan dengan isu-isu agama, namun dialog tersebut lebih membabitkan perbezaan pandangan dalam sudut keharusan serta kewajaran menjarakkan saf dalam solat.

“Itu dibolehkan, sesiapa pun nak buat perbahasan secara ilmiah, beradab dalam suasana terkawal. Cuma pesan saya kepada netizen, ikutlah adab seperti mana pembahas-pembahas berkenaan,” tambahnya.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo