Speaker DUN Selangor tidak jaga sensitiviti rakyat

SHAH ALAM - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim didakwa sengaja mewujudkan suasana tidak harmoni pada pembukaan sidang DUN hari ini dengan menegur pemakaian baju kebangsaan dalam kalangan beberapa pemimpin pembangkang.

Muafakat Nasional Selangor menerusi kenyataan bersama oleh Ketua Penerangan Pas Selangor, Syarhan Humaizi Halim dan Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Abdul Rahman Bakri berkata, tidak sepatutnya baju kebangsaan atau baju Melayu dilarang dipakai semasa persidangan.

Menurutnya, Muafakat Nasional Selangor mempersoalkan kewajaran larangan tersebut yang dikatakan melanggar kod pemakaian dan hanya boleh dipakai pada hari Jumaat sahaja.

"Dalam negara dan negeri yang mempunyai identiti kebangsaan yang dipegang bersama oleh seluruh rakyat berbilang kaum sejak merdeka, sikap begini menjadi tanda tanya kepada rakyat.

"Siapa yang mengurus negeri Selangor sehingga baju kebangsaan pun tidak dibenarkan untuk dipakai di sidang DUN? katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, isu sama turut menimbulkan persoalan sama ada peraturan tersebut benar-benar merupakan ketetapan di sidang DUN Selangor atau disebabkan sikap Speaker yang tidak menjaga sensitiviti rakyat.

"Sudah menjadi lumrah, baju kebangsaan melangkaui sempadan bangsa seperti Bahasa Malaysia adalah bahasa Melayu, yang akan diguna pakai oleh semua rakyat sebagai lambang kebanggaan dan kenegaraan.

"Bahkan di Parlimen pun, tiada larangan sedemikian. Asalkan berbaju Melayu lengkap atau baju kebangsaan ia dibenarkan.

"Itu simbol yang perlu dijaga oleh semua rakyat terutama pemimpin-pemimpin negara atau negeri yang dipilih oleh rakyat.

"Perkara asas begini tidak dapat dijaga dan diuruskan, bagaimana hendak diharapkan perkara yang lebih besar," katanya.

Sidang DUN Selangor hari ini kecoh selepas Suee Lim menegur tindakan beberapa pemimpin pembangkang yang memakai baju kebangsaan yang dikatakan tidak mematuhi kod pemakaian yang ditetapkan.

Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang berkenaan adalah Datuk Mohd Shamsudin Lias (Sungai Burong); Zakaria Hanafi (Semenyih); Datuk Mohd Imran Tamrin (Sungai Panjang); Rizam Ismail (Sungai Air Tawar) dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang).

Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/108160/EDISI/Selangor-KL/Speaker-DUN-Selangor-tidak-jaga-sensitiviti-rakyat


Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post