NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRK Batu Sapi: PBS sah tidak bertanding


Kota Kinabalu: Parti Bersatu Sabah (PBS) hari ini mengesahkan tidak akan meletakkan calon di kerusi tradisi parti itu di Batu Sapi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen berkenaan yang dijadualkan pada 5 Disember depan.

Presidennya Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, keputusan itu dibuat Biro Politik parti itu dalam mesyuaratnya baru-baru ini selepas mengambil kira situasi pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan di negeri ini.


Katanya, PBS mengambil berat aspek keselamatan dan kesihatan rakyat sebagai perkara yang perlu diberi keutamaan dalam situasi yang mencabar ketika ini.

"Sabah terus merekodkan jumlah kes positif Covid-19 yang tertinggi di negara ini. Angkanya mencapai tiga digit dengan jumlah tertinggi 702 kes direkodkan Ahad lalu.

"Disebabkan situasi itu, PBS memutuskan untuk tidak bertanding walaupun ia adalah kerusi yang menjadi kubu kuat PBS. Sebagai parti berbilang kaum, PBS mempunyai ramai ahli dan pengikut di Batu Sapi," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu menekankan bahawa keselamatan dan kesihatan awam pengundi serta rakyat di Batu Sapi dan Sandakan lebih utama ketika ini.

Maximus berkata, beliau turut memaklumkan kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyokong mana-mana rakan kongsi dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mahu bertanding pada PRK berkenaan.

"Walaupun belum diputuskan sama ada rakan lain dalam GRS bertanding atau sebaliknya, PBS komited dan akan memberi sokongan kepada bakal calon dan akan bekerja keras untuk memastikan kemenangan GRS," katanya.

Sebelum ini, beberapa parti termasuk Barisan Nasional (BN), Parti Cinta Sabah (PCS), Pakatan Harapan (PH) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) sudah menyatakan pendirian masing-masing untuk tidak menyertai PRK itu.

Parlimen Batu Sapi pernah menjadi kubu kuat PBS sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018 yang dimenangi Naib Presiden parti itu Datin Linda Tsen.

Linda menyandang kerusi itu sejak 2010 melalui PRK bagi Parlimen berkenaan yang diadakan berikutan kematian suaminya yang menjadi Ahli Parlimen Batu Sapi ketika itu, mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah.

PRK Batu Sapi kali ini perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong disebabkan jangkitan paru-paru pada 2 Oktober lalu.

Mendiang Vui Keong memenangi kerusi itu atas tiket Parti Warisan Sabah (Warisan) dengan majoriti 4,619 undi mengalahkan Linda pada 2018.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 November depan sebagai hari penamaan calon, diikuti pengundian awal pada 1 Disember dan pengundian biasa pada 5 Disember depan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo