NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kemelut USNO: Enam ahli termasuk timbalan presiden digantung keahlian



KOTA KINABALU - Enam ahli termasuk Timbalan Presiden, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Datuk Ibrahim Linggam, digantung keahlian berkuat kuasa serta-merta atas dakwaan pelanggaran disiplin dan perlembagaan parti.

Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, tindakan terbabit dibuat berlandaskan kuasa mutlaknya sebagai presiden parti dengan menggunakan Fasal 49.10 Perlembagaan Parti.

Menurut bekas Speaker Dewan Rakyat itu lagi, lima ahli yang turut digantung ialah Ahmad Kanajaan, Hussin Ibnu Hassan, Mohammad Hafeiz Hussin, Sazali Justi, dan Sallehudin Kasau.

Beliau berkata, tindakan itu diambil sementara menunggu siasatan lanjut oleh Lembaga Disiplin Pusat terhadap dakwaan pelanggaran disiplin dan perlembagaan parti.


"Fasal 49.10 memberi kuasa kepada presiden untuk menggantung mana-mana ahli yang dilihat menjejaskan kestabilan parti, khususnya dalam situasi konflik dalaman yang boleh membawa perpecahan.

"Langkah itu penting bagi mengelak keadaan parti menjadi kucar-kacir selain memastikan proses siasatan dapat dijalankan secara teratur," katanya dalam kenyataan.


Katanya, ini tindakan sementara supaya keadaan tidak terus meruncing dan jawatankuasa disiplin akan menjalankan siasatan sebelum memanggil ahli berkenaan untuk memberi penjelasan.

Beliau turut menggunakan Fasal 52.1 untuk melucutkan beberapa individu yang sebelum ini dilantik sebagai Ahli Majlis Eksekutif Tertinggi (AMET) bagi sesi 2025 hingga 2028.

Menurutnya, enam individu yang dilucutkan sebagai AMET ialah Datu Abdul Lalih Abah, Dr Masjidin Datu Moksan, Dayang Norasiken Nonoi, Jamri Sabu, Rusulan Rahaban dan Datuk Edmund J Doudilim.


Katanya, peruntukan itu memberi kuasa kepada presiden untuk membuat pelantikan dan penamatan jawatan dalam struktur kepimpinan parti.


"Keputusan melucutkan lantikan itu dibuat susulan tindakan mereka yang didakwa tidak sehaluan serta menjejaskan kestabilan parti ketika krisis dalaman sedang memuncak.

"Semua pemegang jawatan mempunyai tanggungjawab menjaga kesatuan parti dan tidak bertindak sehingga menimbulkan perpecahan.

"Tindakan ini dibuat bagi memastikan parti terus stabil dan tidak dipengaruhi tindakan yang boleh melemahkan organisasi," jelasnya.

Pandikar berkata, struktur AMET akan disusun semula bagi memastikan kepimpinan parti terus berfungsi dengan berkesan.


Beliau turut menegaskan sebarang tindakan lanjut terhadap individu terlibat akan ditentukan selepas laporan penuh Lembaga Disiplin Pusat diperoleh.

Dalam pada itu, beliau menafikan tindakan yang diambil bersifat terburu-buru, sebaliknya dibuat berdasarkan peruntukan jelas dalam perlembagaan parti.

Katanya, semua pihak sepatutnya menggunakan saluran dalaman parti untuk menyuarakan pandangan, bukannya melalui kenyataan terbuka yang boleh menjejaskan imej parti.

"Tiga peluang sudah diberikan melalui mesyuarat, namun ada yang memilih untuk tidak hadir dan kemudian membuat kenyataan di luar.

"Tindakan tegas itu perlu bagi memastikan parti tidak terus berdepan ketidakstabilan yang boleh menjejaskan kedudukan dalam landskap politik negeri," katanya.


Sumber | Sinar Harian













........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo