Kerajaan dan penyokongnya dilihat bertungkus lumus mempertahankan sebuah acara muzik "rave" yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini selepas dikecam pelbagai pihak.
Usaha itu muncul di sebalik dakwaan baharu kononnya pesta tiga hari tersebut berjaya menjana keuntungan RM200 juta, yang akhirnya menjadi bahan cemuhan di media sosial apabila orang ramai mempersoalkan bagaimana angka itu dicapai.
Kritikan semakin meningkat beberapa hari selepas tamatnya "Rain Rave Water Music Festival" di Bukit Bintang, memaksa kerajaan menjalankan kempen propaganda mempertahankan penganjurannya dengan menggunakan pelbagai hujah yang cuba mewajarkannya bukan sahaja dari segi nilai kemasyarakatan, tetapi juga pulangan ekonomi.
Ia meskipun pelbagai gambar dari acara tersebut – yang berlangsung selama tiga hari dihadiri majoriti pengunjung rakyat tempatan berketurunan Cina – membanjiri media sosial, memaparkan kelakuan mabuk di tempat awam, keadaan sekeliling yang ditimbuni sampah, dan stesen MRT berdekatan yang kotor akibat kehadiran orang ramai dalam keadaan basah kuyup pada lewat malam.
Terdahulu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang menganjurkan acara itu terpaksa berdepan bantahan pemimpin politik beragama Islam dan pihak berkuasa agama seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan mufti, yang memberi amaran program hiburan jalanan sedemikian bertentangan dengan norma budaya tempatan dan boleh menjurus kepada pelbagai masalah sosial.
"Jawi menyatakan kekesalan terhadap penganjuran program terbabit dan berharap pihak penganjur dapat menilai semula konsep pelaksanaannya dan cakna terhadap sensitiviti masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya," menurut kenyataan Jawi.
Susulan itu, pegawai kementerian dikatakan menggerakkan kempen media sosial untuk menggambarkan mereka yang hadir di acara itu sebagai mewakili berbilang bangsa, sambil menampilkan wanita Melayu bertudung yang memuji acara itu dan menyifatkannya sebagai lambang keharmonian kaum di Malaysia.
Penyokong kerajaan juga menangkis pengkritik dengan pelbagai kecaman seperti "kolot" dan "Taliban", panggilan yang biasa ditujukan kepada tokoh agama dan ahli politik PAS yang berbeza pendapat dengan dasar kerajaan mengenai Islam.
Naratif "kepelbagaian kaum" sukar diterima disebabkan karakter kawasan Bukit Bintang itu sendiri, iaitu kubu politik DAP dan pusat beli-belah yang didominasi kaum Cina selama beberapa dekad.
Kini, satu lagi naratif dibawa oleh penyokong kerajaan dengan mendakwa pesta tersebut membawa manfaat ekonomi besar.
Top Leader, sebuah laman Facebook berbahasa Cina yang merupakan antara saluran memuji Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing, menerbitkan kenyataan mengejutkan dengan mendakwa acara itu berjaya menjana RM200 juta.
"Angka-angka sudah pun muncul. Analisis impak ekonomi terkini Rain Rave Water Music Festival," kata saluran itu walaupun tanpa sebarang bukti, hanya poster yang mendakwa keuntungan diperoleh dari segi penginapan hotel, penerbangan, dan aktiviti perniagaan sepanjang acara tersebut.

Dakwaan itu disokong serta-merta oleh pemimpin tertinggi DAP, Lim Guan Eng, yang turut mengambil peluang membidas ahli politik Islam yang mengkritik acara tersebut sebagai "ekstremis".
"Ekstremis dari BN, Umno, PN dan PAS sepatutnya berasa malu kerana cuba mengapi-apikan dan memecah-belahkan orang ramai dengan menentang acara pelancongan Rain Rave Water Music Festival 2026 yang diadakan dengan jayanya di Kuala Lumpur," katanya, sambil memuji Tiong kerana enggan tunduk kepada "tekanan pelampau".
Bagaimanapun, pengiraan seorang pengkritik dengan anggaran jumlah kehadiran rasmi 50,000 orang mendapati pendapatan yang dijana tidak melebihi RM8 juta.
Menulis di Facebook, John Fernandez berkata walaupun dengan andaian sebanyak 10,000 bilik hotel ditempah selama dua malam pada kadar RM1,000 sebilik, pendapatan yang dijana cuma RM10 juta.
"90% (yang hadir) adalah penduduk tempatan, jadi tidak banyak tempahan hotel. Jangan lupa warga asing yang tinggal berdekatan juga hadir. Selain itu, kerugian perniagaan oleh Pavilion, lain-lain pusat membeli-belah dan hotel disebabkan penutupan jalan," tambahnya.
Penganjuran pesta itu diteruskan walaupun kerajaan baru-baru ini mengambil pendirian mengurangkan sambutan menjelang krisis ekonomi akibat perang AS-Israel ke atas Iran.
Alasan sama diberikan kerajaan ketika memutuskan untuk tidak menganjurkan acara rumah terbuka kebangsaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, yang juga merupakan sebahagian daripada kalendar pelancongan Malaysia.
Pesta dadah
Ramai yang sebelum ini tidak begitu setuju dengan hujah agama daripada pihak yang membangkang penganjuran acara itu kini berpandangan ia bukan sahaja merugikan dari segi kewangan, tetapi juga mengundang pelbagai masalah sosial yang merupakan sebahagian daripada ciri "rave", iaitu pesta hiburan terbuka di mana muzik elektronik atau EDM menjadi daya tarikan.
"Ia juga merupakan pesta dadah," kata Joe Najib, bekas peminat EDM yang memuat naik penulisannya mengenai acara itu.
"Tidak kira betapa ketat pemeriksaan beg di pintu masuk, dadah Ecstasy, ganja dan bahan lain sentiasa dibawa masuk, dijual secara senyap di ruang terpencil di tapak pesta, malah melalui pertukaran tangan ke tangan yang tersembunyi di tengah-tengah kesesakan orang ramai."
Beliau mengimbas kembali tragedi pesta muzik rave yang dipenuhi penggunaan dadah pada 2014 di Bukit Jalil, yang meragut enam nyawa, serta kematian empat peserta akibat dos berlebihan ketika perayaan ambang tahun baharu pada Januari 2025.
Susulan peristiwa 2014 itu, pihak berkuasa bertindak mengharamkan pesta bercorak EDM.
"Beberapa tahun kemudian, tanpa disedari sesiapa, larangan itu dilonggarkan secara ajaib, permit mula dikeluarkan semula, dan acara itu kembali dianjurkan," katanya.
Joe berkata kementerian pelancongan sebelum ini pernah menganjurkan acara serupa di Bukit Bintang tanpa mengundang banyak kritikan seperti sekarang.
Beliau mempersoalkan sama ada perkara itu disebabkan kerajaan kali ini terlibat secara langsung dalam penganjurannya, "tidak seperti sebelum ini di mana ia dianjurkan oleh pihak swasta dan kerajaan hanya 'menyokong' mereka".
Beliau menolak hujah yang kerap dibawa penganjur pesta di Bukit Bintang, iaitu ia menguntungkan sektor pelancongan.
"Mereka yang benar-benar pelancong sudah ada pesta seperti ini di negara sendiri, dengan deejay yang lebih cekap dan terkemuka. Mereka akan menjimatkan wang dan hadir ke Tomorrowland, Ultra Music Festival, Creamfields. Tidak sekali pun untuk 'Rain Rave'.
"Baguslah sekiranya acara seperti ini memberikan habuan pelancongan yang besar. Tetapi jangan sampai kehilangan identiti dan moral kita. Malah lebih teruk lagi, kehilangan nyawa."
Sumber | MalaysiaNow
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment