NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

UMNO N9 kekal sokong Kerajaan Perpaduan namun hilang kepercayaan terhadap MB



KUALA LUMPUR — UMNO Negeri Sembilan menegaskan komitmen untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan di negeri itu meskipun mengakui hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor berkata, pendirian itu dibuat demi memastikan kestabilan serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Menurutnya, UMNO negeri menghormati keputusan pucuk pimpinan parti untuk mengekalkan kerjasama bersama kerajaan sedia ada seperti yang diputuskan dalam Biro Politik UMNO dan Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-Pakatan Harapan (BN-PH).

“Semua ADUN UMNO Barisan Nasional juga akan menjalankan tanggungjawab seperti biasa malah terus memberi fokus, memperhebatkan khidmat bakti kepada rakyat dan memastikan kebajikan mereka diberi perhatian sewajarnya dari semasa ke semasa,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sejurus selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu tidak mempunyai sebarang niat untuk menjadi pembangkang di negeri berkenaan.

Ahmad Zahid turut berkata, sebaliknya keputusan peringkat pusat menetapkan bahawa 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO di negeri tersebut akan terus menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

Dalam kenyataan sama, Mustapha menegaskan, UMNO Negeri Sembilan kekal hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Aminuddin susulan kegagalan menguruskan krisis yang menjejaskan keyakinan rakyat.

“Kami kekal hilang kepercayaan kepada YAB Menteri Besar di atas kegagalan menguruskan krisis terburuk yang pernah berlaku di negeri ini sehingga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap Institusi Adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berharap krisis melibatkan kepimpinan adat di negeri itu dapat diselesaikan secara harmoni mengikut lunas undang-undang serta adat yang sebenar.

“UMNO Negeri Sembilan juga berharap krisis berkaitan kepimpinan adat di Negeri Sembilan ketika ini akan dapat diselesaikan dengan baik, harmoni mengikut lunas Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan mengikut tatacara adat yang sebenarnya,” katanya.














Isnin lalu, Ketua Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengumumkan kesemua 14 ADUN UMNO BN Negeri Sembilan sebulat suara menarik sokongan dan menyatakan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin sekali gus mencetuskan krisis politik di negeri itu.

Tindakan tersebut didakwa dibuat susulan krisis membabitkan institusi adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan, yang tegasnya perlu dihormati serta dipertahankan tanpa campur tangan politik. – MalaysiaGazette





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo