Kita Tidak Mahu BN, Bersatu dan PAS Bertapak Di Sabah - Shafie Apdal


KOTA KINABALU - Pakatan politik diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan) iaitu Warisan Plus perlu menyapu bersih kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri dapat dikekalkan.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Warisan Plus tidak boleh kalah walau satu kerusi DUN sekali pun kerana keadaan itu memungkinkan mereka tidak menjadi kerajaan di Sabah.

Menurutnya, Warisan Plus terdiri Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) mengakui bukan mudah untuk menentukan calon bertanding tetapi pakatan itu berharap akan disokong rakyat Sabah sepenuhnya.

"Kita tidak mahu Barisan Nasional (BN), UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas bertapak di bumi Sabah!

"Jangan bila Warisan Plus mengumumkan calon, calon itu tidak kena di hati ahli-ahli gabungan, mereka terus mengundi BN. Itu yang dibimbangi.

"Saya juga harap tidak berlaku di mana pengundi tidak mahu mengundi calon (parti gabungan dalam Warisan Plus), ahli-ahli di peringkat bawah berpecah. Itu yang cuba ditangani dengan baik," katanya di Facebook hari ini.

Mohd Shafie berkata, permuafakatan antara parti dalam Warisan Plus penting dengan kerjasama antara mereka perlu ada persefahaman walaupun keputusan peletakan calon mungkin tidak selaras dengan keadaan yang diharapkan.

Beliau juga mengingatkan jentera Warisan Plus memberi keutamaan kepada kehendak rakyat walaupun ada yang mungkin tidak berpuas hati terhadap calon yang dipilih.

Sehingga kini, kesemua parti dalam Warisan Plus masih membincangkan rundingan pembahagian kerusi pilihan raya dengan Mohd Shafie dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan itu akan diumumkan minggu hadapan.

Hari ini, satu pertemuan diadakan di antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohd Shafie bagi membincangkan isu berkenaan dengan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan parti itu berharap dapat bertanding lebih banyak kerusi DUN pada PRN Sabah.
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post