NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pekebun di RPS Sungai Chalit tekad tebang pokok durian


RAUB: “Saya terpaksa tebang pokok-pokok durian seperti yang dilakukan tauke-tauke besar jika dikenakan bayaran se­perti dalam kontrak.

“Mana saya hendak ‘cekau’ duit RM7,000 seekar (0.4 hektar) untuk bayar kepada syarikat berkenaan. Takkan saya hendak biar kebun durian ditender kepada tauke-tauke besar,” kata Khairul Radzi, 34, yang merupakan generasi kedua Rancangan Penempatan Sementara (RPS) Sungai Chalit di sini semalam.

RPS Sungai Chalit yang dibuka pada penghujung 1970-an bertujuan mengekang pengaruh komunis disertai seramai 128 peserta pelbagai kaum.

Difahamkan, setiap peserta RPS berkenaan menerima tanah anugerah sebanyak 0.80 hektar manakala sebanyak 3.23 hektar tanah lagi yang ditanam kelapa sawit diuruskan oleh Lembaga Kemajuan Pertubuhan Peladang (LKPP).

Khairul yang merupakan ge­nerasi kedua berkata, dia kini hanya bergantung kepada pendapatan mengusahakan penanaman durian dan hasil pertanian lain bagi menyara keluarga.

Katanya, jika tanah berke­naan diambil oleh pihak syarikat dilantik kerajaan negeri, penduduk kampung termasuk generasi kedua kehilangan sumber pendapatan dan menjadi penganggur.

Dalam pada itu, generasi pertama RPS Sungai Chalit, Mat Isa Saleh, 67, merayu kerajaan agar menimbangkan kembali pengambilan tanah seluas 0.80 hektar yang dianugerahkan kepada penduduk di situ.

Katanya, penduduk di situ bukan sengaja melakukan pe­nerokaan haram tetapi mengusahakan tanah yang dianuge­rahkan selepas menjadi peserta rancangan itu yang bertujuan mengekang pengaruh komunis.

Tambahnya, pengambilalihan tanah berkenaan yang me­nyaksikan kawasan itu akan dipagar juga menyukarkan penduduk di situ yang bergantung kepada air bukit untuk menye­langgara bekalan air berkenaan. – UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo