Surat Mahathir Arah Muhyiddin Keluarkan LTTE Dari Senarai Pengganas Tersebar


CYBERJAYA – Surat Tun Dr Mahathir bertarikh 12 Februari 2020 ditujukan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) meminta supaya mengeluarkan LTTE dari senarai kumpulan pengganas tular di media sosial hari ini.

Surat arahan Dr Mahathir kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin itu sebelum ini didedahkan oleh pensyarah UUM, Dr Kamarul Yusoff.

Dr Kamarul berkata, Dr Mahathir menulis surat rasmi itu kira-kira seminggu sebelum Peguam Negara Tommy Thomas menggugurkan tuduhan 12 individu yang didakwa bersubahat dengan kumpulan pengganas LTTE.

“Tahukah anda apa yang berlaku antara tarikh penahanan 12 tertuduh LTTE pada 10 Oktober 2019, tarikh pendakwaan 12 tertuduh LTTE pada 29 Oktober 2019 dan tarikh pembatalan arahan pengguguran kes ke atas 12 tertuduh LTTE oleh Peguam Negara pada 21 Februari 2020?

“Faktanya ialah, pada 12 Februari 2020, Perdana Menteri (waktu itu), Tun Dr Mahathir Mohamad, telah menulis sepucuk surat rasmi kepada Menteri Dalam Negeri (waktu itu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang berbunyi: “Saya berpendapat tidak ada sebab kita teruskan label LTTE sebagai terrorist… Saya fikir eloklah jika dikeluarkan LTTE dari senarai terrorist.”,” itu antara pendedahan oleh Dr Kamarul di Facebook beliau hari ini.

Beliau turut berkongsi kenyataan balas Muhyiddin selaku Menteri Dalam Negeri berkaitan isu itu.

“Lihatlah pula kenyataan rasmi Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 22 Februari 2020 mengenainya sebagai menjawab kenyataan media Tan Sri Tommy Thomas pada 21 Februari 2020 (dan secara tersiratnya surat rasmi Tun Dr Mahathir Mohamad pada 12 Februari 2020) yang berbunyi:

“(1) “Berdasarkan maklumat terkini yang diterima daripada pihak berkuasa, saya selaku Menteri Dalam Negeri mempunyai asas yang kukuh untuk mengekalkan penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas. Kumpulan ini dipercayai masih mempunyai ideologi yang boleh menimbulkan ancaman terhadap ketenteraman awam dan keselamatan negara.”

“(2) “Saya ingin menegaskan bahawa penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas adalah tertakluk kepada kuasa Menteri Dalam Negeri yang diperuntukkan oleh undang-undang. Peguam Negara tidak mempunyai apa-apa kuasa di bawah undang-undang untuk mencampuri urusan yang berada di bawah bidang kuasa Menteri Dalam Negeri.””

Pendedahan Dr Kamarul itu boleh dibaca di Facebook beliau di bawah tulisan “Tun Dr Mahathir Pejuang atau Petualang”. - SuaraTV

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post