NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terkini: Amerika Isytihar Sokong Kita Di Laut China Selatan


Oleh: Abdul Muein Abadi

1. Peristiwa besar geopolitik berlaku hari ini apabila Amerika secara rasmi mengisytiharkan sokongan kepada Malaysia dan beberapa negara Asia Tenggara lain daripada ancaman China di Laut China Selatan.

2. Secara khusus, kenyataan akhbar pejabat Setiausaha Negara Amerika bertajuk ‘US Position on Maritime Claims in the South China Sea’ hari ini menyebut dua wilayah milik kita iaitu Gugusan Beting Raja Jarum dan Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) serta Beting Serupai (James Shoal).

3. Amerika menegaskan bahawa mereka ‘menolak sebarang tuntutan maritim China di perairan yang mengelilingi Vanguard Bank (di luar Vietnam), Luconia Shoals (di luar Malaysia), perairan di EEZ Brunei, dan Natuna Besar (di luar Indonesia)’. Malah, ‘Sebarang tindakan China untuk mengganggu pembangunan penangkapan ikan atau hidrokarbon negeri lain di perairan ini - atau untuk menjalankan aktiviti tersebut secara sepihak - adalah tidak sah’.

4. Berkenaan Beting Serupai (James Shoal) pula, Amerika berpendirian bahawa China tidak memiliki sebarang asas tuntutan wilayah atau maritim yang sah ke atas James Shoal, sebuah fitur yang tenggelam sepenuhnya hanya 50 batu nautika dari Malaysia dan sekitar 1.000 batu nautika dari pantai China.

5. Untuk rekod, Beting Serupai (James Shoal) atau dipanggil ‘Zengmu Ansha’ oleh China sering disebut dalam propaganda China sebagai "wilayah paling selatan China".

6. Kenyataan ini cukup kritikal dan bersejarah kerana ia bukan sahaja menandakan dasar rasmi kerajaan Amerika Syarikat di Laut China Selatan, malah menyebut secara jelas kesediaan Amerika untuk menyokong ‘negara-negara sekutu dan rakan kongsi’ berdasarkan perintah peraturan antarabangsa.

7. Amerika menegaskan bahawa Laut China Selatan kini dianggap sebagai berada dalam ancaman yang belum pernah terjadi sebelumnya dari Republik Rakyat China (RRC) di mana ‘Beijing menggunakan intimidasi untuk melemahkan hak kedaulatan negara-negara pesisir Asia Tenggara di Laut China Selatan, membuli mereka dari sumber luar pesisir, menegaskan penguasaan sepihak, dan mengganti undang-undang antarabangsa dengan prinsip "might is right".

8. Kenyataan akhbar Setiausaha Mike Pompeo ini berhujah bahawa China tidak memiliki asas tuntutan yang selari dengan undang-undang antarabangsa; Beijing gagal untuk menawarkan asas perundangan koheren bagi menuntut "Nine dash lines" di Laut China Selatan secara resmi sejak pengisytiharannya pada tahun 2009.

9. Amerika memetik keputusan sebulat suara pada 12 Julai 2016 oleh Tribunal Timbang tara di The Hague, Belanda, berdasarkan Konvensyen Undang-Undang Laut 1982 yang menolak tuntutan maritim China sebagai tidak mempunyai dasar dalam undang-undang antarabangsa. Sebagaimana yang diperuntukkan secara khusus dalam Konvensyen terbabit, keputusan Tribunal Timbang tara The Hague ini adalah muktamad dan mengikat secara sah bagi kesemua pihak.

10. Amerika menegaskan dasar rasminya di Laut China Selatan ini seperti berikut: “Dunia tidak akan membenarkan Beijing memperlakukan Laut China Selatan sebagai empayar maritimnya. Amerika berdiri dengan sekutu dan rakan kongsi Asia Tenggara kita dalam melindungi hak kedaulatan mereka ke sumber luar pesisir, sesuai dengan hak dan kewajiban mereka di bawah undang-undang antarabangsa. Kami berdiri bersama masyarakat antarabangsa dalam mempertahankan kebebasan laut dan menghormati kedaulatan dan menolak sebarang desakan untuk memaksakan "might is right" di Laut China Selatan atau wilayah yang lebih luas”.

11. Kita di Malaysia cukup mengetahui betapa benarnya realiti cubaan China untuk menjadikan Laut China Selatan sebagai ‘empayar maritim’ mereka; sejak 2012 lagi kapal mereka mengancam kapal seismic survey Petronas, sejak 2013 lagi mereka mengadakan latihan ketenteraan dan memacak bendera China di Beting Serupai.

12. Terkini, peristiwa ancaman kapal China ke atas kapal eksplorasi West Capella di bawah kontrak Petronas di dua blok penerokaan hidrokarbon kita iaitu Arapaima-1 dan Lala-1 jelas membuktikan wajah imperialis sebenar China – sama seperti mana lagak mereka di Turkestan Timur (Xinjiang).

13. Perlu diingat, ketika peristiwa West Capella, Amerika mengirim sebegitu banyak kapal untuk bersama-sama TLDM dan Maritim Malaysia mengimbangi ancaman China iaitu Kapal Penyerang Amfibia (LHA 6), USS America, kapal ‘guided-missile cruiser’ USS Bunker Hill (CG52), ‘guided-missile destroyer’ USS Barry-DDG 52, kapal Littoral Combat Ship USS Montgomery (LCS 8), kapal ‘dry cargo’ USNS Cesar Chavez (T-AKE 14) kelas Lewis dan Clark, serta kapal USS Gabrielle Giffords (LCS 10).

14. Kenyataan Setiausaha Negara Amerika ini juga selari dengan peningkatan intensiti operasi berkembar ‘Dual Carrier Strike Group’ Amerika di Laut China Selatan sejak akhir-akhir ini yang melibatkan USS Theodore Roosevelt (CVN 71), USS Nimitz (CVN 68) dan juga USS Ronald Reagan.

15. Seperti mana sinergi antara TLDM dengan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia dan ‘hard power’ Amerika berjaya sempurnakan misi Petronas daripada ancaman China ketika peristiwa West Capella baru-baru ini, antisipasi senario masa hadapan kita di Laut China Selatan jelas tidak boleh abaikan kemungkinan koordinasi TLDM-Maritim Malaysia dengan Tentera Laut Amerika yang lebih kerap dan terintegrasi – selari dengan pengisytiharan dasar Laut China Selatan Amerika yang terbaru ini.

***Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo