G25 tafsir ikut acuan liberal Barat




BANGI, 17 Jamadilawal 1441H, Isnin – Kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 didapati mentafsirkan kebebasan beragama mengikut acuan liberal Barat.

Yang Dipertua gerakan utama Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Datuk Ustaz Haji Zamri Hashim membangkitkan perkara itu apabila kumpulan berkenaan menganggap bahawa agama adalah urusan peribadi yang tiada campur tangan dari pihak lain.

Malah, beliau berkata, G25 juga mentafsirkan bahawa manusia tidak boleh dipaksa hidup beragama.

"Pentafsiran ini tidak betul kerana setiap individu yang telah menganut sebarang agama adalah terikat dan berkewajipan dengan peraturan agamanya.

"Hak beragama ini bukanlah bersifat mutlak, bahkan ianya adalah berdasarkan prinsip agama masing-masing. Bagi Islam, murtad adalah satu dosa dan kesalahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, G25 membidas undang-undang yang menghukum seseorang berlandaskan kesalahan agama yang dilakukan.

Perkara itu merupakan laporan dalam kertas yang dibentangkan oleh pengerusi jawatankuasa, Asiah Abu Samah yang juga wakil G25 bertajuk "Administration of Matters Pertaining to Islam".

Jelas G25 dalam laporan itu, tindakan undang-undang terhadap individu tidak bersolat Jumaat misalnya, adalah tidak wajar dan mengatakan perkara dilakukan seorang Islam terhadap agamanya adalah antara individu itu dengan tuhan.

Laporan itu juga mengatakan, undang-undang berkenaan tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama.

"Perkara 11(1) memberi jaminan kepada semua orang di Malaysia, bukan hanya warganegara atau bukan Islam, tiga hak yang berbeza iaitu hak menganut, mengamalkan dan menyebarkan agamanya.

"Tidak ada asas yang dibenarkan Perlembagaan untuk melarang penganutan agama seseorang," katanya.

Mengulas lanjut, Ustaz Haji Zamri yang juga Timbalan Mufti Perak menjelaskan, kebebasan beragama dalam Islam adalah melalui jaminan dalam bentuk tidak boleh memaksa sesiapa untuk menganut agama Islam, malah Islam memberi hak kepada setiap individu untuk memilih agama yang ingin dianuti tanpa sebarang paksaan.

"Perkara ini telah dirakamkan oleh Allah SWT di dalam firmanNya yang bermaksud: Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).

"Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah SWT maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh dan tidak akan putus," katanya.

Justeru, beliau menegaskan bahawa sebagai golongan yang berpengalaman di dalam perkhidmatan masing-masing, G25 sepatutnya lebih memahami skema Perlembagaan Persekutuan dengan mendalam terlebih dahulu, terutamanya maksud hak kebebasan beragama, yang dijamin oleh Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan

"..iaitu lebih terarah kepada kebebasan penganut, dalam mengamalkan dan mengembangkan agama masing-masing di Persekutuan.

"Murtad atau keluar dari agama Islam sebenarnya adalah berbeza dengan konteks hak kebebasan beragama, yang dijamin oleh Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

"Hal ini kerana Perkara 11 adalah lebih merujuk kepada kebebasan mempertahankan amalan dan cara hidup yang digariskan oleh agama masing-masing," jelasnya.
Sumber: https://www.ismaweb.net/2020/01/13/g25-tafsir-ikut-acuan-liberal-barat/
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post