NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sejarah negara perlu difahami, bukan diubah



oleh: Dr Al-Azharri Siddiq Kamunri

TAHUN 2020 baru sahaja menjelma. Ia tahun yang amat penting kepada rakyat Malaysia kerana tahun 2020 telah dicanang sekian lama sebagai tahun di mana negara kita akan menjadi sebuah negara maju dengan bentuk yang tersendiri.

Dalam artikel ini, saya ingin mengajak pembaca melihat realiti sejarah sebenar apakah dan kenapakah sesuatu peristiwa itu berlaku dalam negara kita termasuklah sejarah komunisme di Malaysia.

Sejak kebelakangan ini, kelihatan sebahagian besar rakyat Malaysia belum memahami sejarah negara dengan betul.

Sebagai rakyat bertanggungjawab, kita wajib memastikan negara berada di landasan yang betul.

Kita juga perlu kembali kepada asas sejarah supaya sejarah negara dilihat dari perspektif yang betul dan pada masa sama tidak menafikan pembaharuan.

Lanjutan daripada itu, persoalan yang sangat penting ialah berapakah darjah ketahanan nasional rakyat Malaysia?

Sejauh mana perpaduan berbilang kaum tidak tergugat dengan kemunculan isu-isu panas seperti bahasa, agama, raja-raja dan komunisme?

Beberapa insiden telah menggugat keselamatan negara telah berlaku walaupun berskala kecil.

Setakat ini, keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat masih terpelihara dan terkawal daripada ancaman actor (tradisional) dan non actor (non tradisional).

Perang Dunia Kedua & Komunisme

Kita hendaklah sentiasa beringat bahawa tiada jaminan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat tidak diuji.

Pergolakan-pergolakan yang berlaku oleh kuasa-kuasa besar dunia seperti China, USA dan India perlu dilihat dengan pantas kerana mahu tidak mahu apa yang berlaku mengenai mereka akan memberi kesan kepada Malaysia.

Ianya bukan perkara baharu, kerana semasa Perang Dunia Kedua, Parti nasionalis Koumintang dan Parti Komunis Malaya (PKM) sangat aktif di Tanah Melayu.

Mereka mempunyai organisasi yang tersusun dan persenjataan.

Pemerintahan Jepun 1941-1945 di Tanah Melayu banyak memberi kesan besar kepada rakyat dan negara kita.

Pada masa itu, tentera Berikat di Timur Jauh telah memberi arahan supaya operasi-operasi sulit seperti Zipper Operation oleh sukarelawan Force 136 dan Wataniah Pahang bekerjasama dengan sesiapa sahaja samada orang Melayu, Orang Asli di dalam hutan dan sesiapa sahaja demi membebaskan Tanah Melayu dan Singapura daripada penjajahan Jepun.

Pada zaman perang, kadang-kadang musuh menjadi kawan dan kawan menjadi musuh.

Di Sulawesi Indonesia, orang-orang tempatan yang menjadi tentera Partai Komunis Indonesia (PKI) telah membakar rumah-rumah saudara mereka dan penduduk terpaksa melarikan diri ke dalam hutan.

Pasukan sulit tentera British terpaksa menggunakan semua elemen dalam dan luar negara termasuk PKM, Malayan People’s Anti Japanese Army (MPAJA) dan Malayan People’s Anti Japanese Union (MPAJU) termasuk Koumintang untuk merampas kembali Tanah Melayu dan Singapura.

NGO-NGO ketenteraan di luar negara pro pasukan Berikat dalam Perang Dunia Kedua turut membantu operasi Special Operations Executive (SOE) di Tanah Melayu seperti Inter Service Liason Department (ISLD).

Harus diingat, semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, PKM menguasai hutan-hutan, manakala MPAJA dan MPAJU yang menguasai bandar-bandar.

Ejen-ejen sulit tentera British terpaksa bekerjasama dengan mereka untuk menghalau musuh yang sama, iaitu tentera Jepun.

Sebagai balasan, PKM dan MPAJA diberikan imbuhan senjata, kemudahan perubatan, kewangan dan latihan ketenteraan di Special Training School (STS 101) Singapura.

Namun begitu, perjanjian era perang ini adalah dalam konteks perjanjian ketenteraan sahaja, bukan perjanjian politik.

Tidak ada perjanjian untuk menyerahkan pemerintahaan Tanah Melayu kepada PKM selepas kejayaan mengusir tentera Jepun.

Sebaliknya, di pihak PKM, tujuan mereka membantu British menghalau Jepun adalah jelas untuk menjadikan Tanah Melayu negara Republik Sosialis.

Apabila tentera Jepun kalah pada tahun 1945, PKM dan MPAJA memerintah bandar-bandar di Tanah Melayu secara kejam selama dua minggu kerana tentera British masih belum tiba lagi.

Kekejaman PKM dan MPAJA boleh disaksikan di Lenggong, Perak sebelum ianya diambil alih oleh Koumintang Bintang Satu dan Pasukan Force 136 sementara menanti kedatangan tentera British untuk mengurustadbir Tanah Melayu.

Kelewatan kapal selam membawa tentera-tentera British ada diceritakan dalam bibliografi Tun Ibrahim Ismail yang datang dari Ceylon menggunakan kapal selam dan mendarat di Pulau Pinang.

Apabila tentera British mendarat di Tanah Melayu (1945), mereka segera mewujudkan British Military Administration (BMA) untuk mengawal keadaan.

BMA pula mencadangkan Malayan Union (1946) dengan membawa masuk Sir Harold MacMichael yang diterbangkan dari Palestina.

Apabila Malayan Union gagal, maka ia digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu (1948) dan akhirnya gerakan nasionalisme Melayu membawa kepada kemerdekaan pada tahun 1957.

Sebenarnya, hubungan PKM dan MPAJA serta MPAJU dengan British semakin sukar selepas tamatnya Perang Dunia Kedua terutama disebabkan cita-cita politik PKM mahu menubuhkan kerajaan Republik Sosialis Tanah Melayu.

Akhirnya, PKM masuk semula ke dalam hutan mengangkat senjata menentang kerajaan British di Tanah Melayu.

Harus diingat PKM ketika itu sudah mempunyai senjata, kewangan dan latihan ketenteraan.

Akhirnya British tidak ada jalan lain selain mengisytiharkan darurat (1948) bagi mengekang keganasan PKM yang semakin melampau.

Kemuncaknya, pada tahun 1989, Perjanjian Damai di antara kerajaan Malaysia, Thailand dan PKM ditandatangani menandakan berakhirnya aktiviti PKM di Malaysia.

Malaysia Baharu

Baru-baru ini isu komunisme muncul kembali apabila beberapa insiden sambutan meraikan komunisme dan insiden abu Chin Peng.

Saya fikir ianya menjadi isu kerana rakyat tidak faham peristiwa-peristiwa dan implikasi Perang Dunia Kedua kepada negara.

Ada pihak mahu kerjasama peperangan di antara PKM dengan tentera British semasa Perang Dunia Kedua diterima sebagai sumbangan PKM kepada negara membebaskan negara daripada pendudukan Jepun.

Ada pihak lain mempersoalkan aktiviti Chin Peng dan PKM yang telah membunuh lebih 2,000 pasukan keselamatan, dan mencederakan lebih 2000 pasukan keselamatan, tidak termasuk mengakibatkan kerugian harta benda.

Saya fikir untuk mendapatkan titik pertemuan di kalangan rakyat Malaysia, rakyat perlu pemahaman sejarah yang mendalam.

Kita tidak boleh mentafsir peristiwa Perang Dunia Kedua dengan kacamata tahun 2020. Ianya akan memberikan mesej yang salah.

Selepas tamat Perang Dunia Kedua, perseteruan PKM dengan Kerajaan British berterusan dengan Kerajaan Malaysia yang merdeka kerana ancaman keselamatan kepada rakyat dan negara semakin tercabar.

Ribuan rakyat mati dibunuh dan cedera parah, kehilangan keluarga dan ibu bapa serta kemusnahan harta benda.

Ideologi Republik dan Komunis tidak dapat diterima di negara ini.

PKM lupa fundamental politik negara ini ada teras dan sejarah awal sebelum kemunculan penjajah British dan PKM di Tanah Melayu.

Misalnya, kerajaan Kesultanan Melayu Melaka sudah wujud sejak tahun 1400 lagi, sebaliknya British hanya mendarat di Pulau Pinang pada tahun 1786.

PKM pula baharu wujud sekitar 1930. Penentangan Dato’ Maharaja Lela, Dato Sagor, Penghulu Dol Said, Dato Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Haji Mat Hassan, Hj. Abdul Rahman Limbong, Force 136, askar Wataniah, Mat Salleh, Rentap, Sarawak Rangers, North Borneo Border Scout dan banyak lagi sebenarnya adalah bibit-bibit lebih awal nasionalisme Melayu dan bumiputera Sabah-Sarawak menentang penjajahan.

Di Singapura sendiri, Lee Kuan Yew dalam bibliografinya menyebut dia seorang nasionalis dan bukan komunis.

Lee Kuan Yew sendiri berhadapan ancaman Komunis pada era 1950an dan 1960an.

Lee Kuan Yew tidak segan silu meminta bantuan British dan Tunku Abdul Rahman untuk mengekang elemen-elemen Komuisme dalam Singapura ketika itu.

Kesimpulan, sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, marilah kita menjadikan sejarah yang telah berlaku itu sebagai pengajaran berguna untuk kita membina sebuah negara Malaysia yang maju, aman dan bersatupadu.

Peperangan khususnya Perang Dunia Kedua telah menjadikan negara kita berhadapan cabaran dan implikasi sangat getir dalam politik, sosial dan ekonomi.

Namun begitu, kita berjaya berada di tahun 2020 dengan jaya kerana perpaduan kaum yang diusahakan oleh bapa-bapa kemerdekaan negara telah berjaya mewujudkan sebuah negara Malaysia yang harmonis.
Maka, janganlah ianya dihancurkan kerana untuk membina semula negara bukan suatu perkara yang mudah.

Selamat Tahun Baharu 2020.

* Dr Al-Azharri Siddiq Kamunri merupakan pengkaji dalam bidang politik dan pentadbiran kerajaan dengan minat terhadap usaha pembinaan negara, keselamatan dan patriotisme.


Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/sejarah-negara-perlu-difahami-bukan-diubah-227524

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo