NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRK Cameron Highlands: Kayveas sahkan bertanding

M Kayveas dari MyPPP akhirnya mengumumkan akan bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands.


"Ini merupakan situasi yang unik. Ada 222 kerusi parlimen dalam salah satunya, Cameron Highlands mengadakan PRK, ini merupakan kerusi sama yang kami sudah minta dan kerja keras sebelum ini.


"Jadi kami tidak akan lepaskan peluang ini (untuk bertanding)," katanya pada sidang media di luar pejabat MyPPP di Kuala Lumpur hari ini.


Pengumuman itu dibuat selepas MyPPP mengadakan mesyuarat majlis tertinggi petang tadi, dengan Kayveas dikatakan mendapat sokongan penuh.


Kayveas sebelum ini melobi untuk bertanding di kerusi berkenaan pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 namun BN meletakkan calon MIC, C Sivarraajh, yang seterusnya memenangi kerusi berkenaan.


Bagaimanapun, Mahkamah Pilihan Raya mengarahkan kerusi berkenaan dikosongkan selepas mendapati berlaku pembelian undi yang membawa kepada kemenangan Sivarraajh pada PRU ke-14.


Meskipun Kayveas mengakui dirinya bukan calon pilihan yang akan memenangi PRK itu, namun beliau percaya mempunyai peluang untuk membuat kejutan.


Beliau menambah bahawa antara isu yang akan dibawa dalam kempennya termasuklah isu pekerja, alam sekitar, perumahan, Orang Asli dan tanah.


Kayveas juga berkata MyPPP tidak mempunyai banyak dana untuk berkempen dan beranggapan bahawa bergantung kepada dana dalam pilihan raya bukan langkah bijak memandangkan PRK berkenaan diadakan susulan berlaku pembelian undi.


Tambah Kayveas lagi, PRK berkenaan akan lebih bergantung kepada jentera kempen dan beliau yakin mempunyai anggota parti yang ikhlas membantu kempennya.


Bagaimanapun, kata Kayveas, MyPPP terbuka dengan sebarang sumbangan.


Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Kayveas sebagai berkata bahawa BN tidak akan meletakkan calon MIC sekiranya beliau mengumumkan bertanding di kerusi berkenaan.


Malaysiakini cuba menghubungi Presiden MIC SA Vigneswaran untuk mengesahkan dakwaan Kayveas.


Berhubung statusnya sebagai presiden MyPPP yang bertindih dengan Maglin Dennis D'Cruz, Kayveas menegaskan bahawa Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengiktiraf dirinya sebagai presiden yang sah.


"Saya sudah dihubungi ROS yang memaklumkan saya adalah presiden dan meminta saya menyelesaikan hal itu dengan D'Cruz.


"Saya sudah hubungi D'Cruz, kami sudah berjumpa tiga kali tapi dia enggan selesaikan. Terpulang kepadanya," katanya.


Kayveas menegaskan bahawa perlembagaan parti menyatakan bahawa presiden hanya boleh disingkirkan melalui mesyuarat agung tahunan atau mesyuarat agung luar biasa.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo