PH dijangka hanya kuasai Pulau Pinang - Penganalisis politik


ALOR SETAR: Perubahan kerajaan di peringkat Pusat dijangka akan menyebabkan Pakatan Harapan (PH) hanya menguasai Pulau Pinang berdasarkan bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipegang majoriti wakil DAP.

Pensyarah Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, berkata kedudukan kerajaan Selangor dan Negeri Sembilan pula bergantung kepada sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Jelasnya, kerajaan negeri di Kedah, Perak, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak pula semakin pasti berubah berdasarkan penguasaan baharu gabungan antara parti politik di bawah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), UMNO, PAS, Parti Warisan Sabah (WARISAN) serta Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Jika berlaku perubahan (Kerajaan Pusat), pertukaran kerajaan negeri di Kedah dan Perak sudah tidak dapat dielak dan kemungkinan Selangor juga bertukar kerana Azmin mempunyai sokongan kuat.

"Hanya Pulau Pinang dijangka selamat kerana majoriti ADUN negeri itu dikuasai DAP, bagi negeri lain pula ia bergantung kepada ADUN PKR yang akan menyokong Anwar atau Azmin.

"PH tidak dapat bergantung kepada Parti Amanah Negara (AMANAH) kerana ia tidak mempunyai ADUN yang ramai berbanding DAP dan PKR yang semakin pasti terbahagi dua," katanya ketika dihubungi BH di sini, malam tadi.

Mengulas kemungkinan pembentukan Kerajaan Pusat baharu, Mohd Azizuddin berkata, gabungan Muafakat Nasional bersama BERSATU, wakil PKR, WARISAN dan GPS akan menyaksikan politik negara dominan kepada suatu kelompok kaum sahaja.

"Parti politik mewakili masyarakat Melayu dan Bumiputera Sabah serta Sarawak dijangka menjadi terlalu dominan selepas ini kerana tidak ramai wakil MCA atau MIC dalam muafakat nasional.

"Perkara ini perlu disemak gabungan politik baharu dan mungkin Agong mempunyai pandangan tersendiri bagi memastikan kestabilan negara terus terjamin serta rakyat tidak menjadi gusar," katanya.

Jelasnya, Kerajaan Pusat baharu juga bertanggungjawab memastikan proses peralihan berjalan lancar dan memberi jaminan kestabilan ekonomi dalam jangka masa panjang tercapai.

"Seperti yang berlaku ketika perubahan Kerajaan Pusat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, keadaan ekonomi dan pasaran saham mungkin mengalami kejatuhan, namun ia berkait banyak faktor luar termasuk pasaran dunia yang tidak menentu sehingga kini.

"Apapun, rakyat mahukan kestabilan kepada ekonomi dan kerajaan baharu perlu memastikan keharmonian dapat dicapai sebelum pelaburan asing dapat kembali ke negara ini," katanya.

Menyentuh mengenai pandangan bahawa berlaku pengkhianatan terhadap kerajaan PH, beliau menegaskan tanggapan itu pastinya akan timbul terutamanya dalam kalangan penyokong PH.

"Rakyat yang menyokong PH pastinya akan menganggap ini sebagai pengkhianatan dan ia akan terus berlegar sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selepas ini.

"Mereka akan tidak puas hati kepada alternatif baharu politik negara yang sedang berlaku ini, tetapi semuanya bergantung kepada apa juga berlaku malam ini," katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/politik/2020/02/658469/ph-dijangka-hanya-kuasai-pulau-pinang-penganalisis-politik

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post