Dilemma Melayu vs dilemma Mahathir


Alhamdulillah ‘ala kulli hal! Buku The Malay Dilemma (Dilemma Melayu) oleh Tun Dr. Mahathir bin Mohamad ini telah saya baca pada 1 Muharram 1427H bersamaan 31 Januari 2006, 14 tahun yang lalu. Ketika itu Perdana Menteri ialah Perdana Menteri Ke-5 Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Buku ini Che Det tulis pada tahun 1970, 11 tahun sebelum beliau menjadi Perdana Menteri Ke-4 (juga 11 tahun sebelum saya lahir pada tahun 1981!). Menariknya ketika itu Dr. Mahathir baru sahaja kalah pilihan raya di kerusi parlimen, dipecat daripada UMNO oleh Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman (kemudian diterima masuk semula oleh Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein) dan Malaysia telah terlibat dalam peristiwa gelap berdarah 13 Mei.

Buku ini menarik tentang dilemma dihadapi oleh orang Melayu berkaitan sosio-ekonomi, pendidikan dan politik. Ia dilatari dengan kemajmukan Malaysia dan bagaimana sewajarnya Melayu bertindak yang antaranya kemudian menghasilkan Dasar Ekonomi Baharu (DEB).

Persoalannya, masih relevankah buku ini di tahun 2020? Senarionya ialah selepas penulis telah menjadi Perdana Menteri kali kedua selaku Perdana Menteri Ke-7, telah bekerjasama dengan DAP yang dulu sangat dimusuhinya dan kini kembali ‘menggangu’ Perdana Menteri Ke-8 Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggantikannya sebagaimana beliau ‘mengganggu’ Perdana Menteri Ke-5 Tun Abdullah dan Ke-6 Dato’ Seri Najib Razak sebelumnya.

Semalam saya membaca tulisan panjang Tun bertajuk “DAP Hancur Melayu”. Dalam tulisan terbaru tersebut 2 kali Tun Dr Mahathir menggunakan istilah “Melayu bacul” kerana mereka dikatakan “begitu takut kepada DAP”.

Setelah membacanya saya ada satu kesimpulan mudah: Kita kini bukan menghadapi Dilemma Melayu, tetapi Dilemma Mahathir!

Saya baca juga balasan kepada hantaran beliau di Twitter, ramai orang Melayu tidak bersetuju dengan pandangan beliau, yang bersetuju pula majoritinya dari bangsa lain.

Saya merasakan sampai masanya Tun bersara daripada politik atau sekurang-kurangnya diam. Berhentilah berdendam dan usah mengganggu pentadbiran kerajaan. Tun seorang negarawan yang banyak jasanya, namun rasanya sampai masanya memberi kepercayaan kepada generasi seterusnya mentadbir negara.

Serahkan baton sepenuhnya! Tun telah melaksanakan tugas dengan baik, berilah pelari yang seterusnya menyambung larian. Tun boleh menarik nafas sedalamnya mengawal nafas yang kian tercungap-cungap.

Maafkan kami Tun. Kami sayang Tun, tapi perjalanan bangsa dan negara ini perlu diteruskan!

Ramadan Kariim! 💚🇲🇾

Lebai Engineer;
Muhtar Suhaili As-Sarawaki,
Rumah Hijau, Miri, Sarawak. 🏡

https://www.facebook.com/100009760117468/posts/1185202415148418/?d=n

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post