NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan Persekutuan kurangkan kadar potongan hutang Terengganu



KUALA TERENGGANU: Kerajaan Persekutuan bersetuju mengurangkan kadar pemotongan hutang kerajaan Terengganu kepada lima peratus berbanding 25 peratus sebelum ini, melalui royalti minyak atau Wang Tunai Petroleum (WTP) bagi tahun 2020.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan perkara itu menerusi satu kenyataan di laman Facebooknya, hari ini.

"Berita gembira buat rakyat Terengganu hari ini, apabila Perdana Menteri, YAB (Yang Amat Berhormat) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan, YB (Yang Berhormat) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bersetuju mengurangkan kadar pemotongan bayaran hutang kerajaan negeri Terengganu, 25 peratus kepada lima peratus pada tahun 2020 daripada bayaran WTP," katanya.

Beliau berkata keputusan itu dicapai dalam satu pertemuan antara Muhyiddin, Zafrul dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob tengah hari ini.

Ahmad Samsuri berkata pertemuan itu turut membincangkan agenda berkaitan urusan kewangan kerajaan negeri dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Baru-baru ini ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk 'Terengganu Lening' di Wisma Bernama di Kuala Lumpur, Ahmad Samsuri meminta kerajaan Persekutuan mempertimbang semula kadar pemotongan hutang kerajaan negeri melalui WTP.

Katanya, ia bagi membolehkan kerajaan negeri memberi tumpuan yang lebih khusus kepada keperluan rakyat negeri ini terutama ketika menghadapi kesan penularan pandemik COVID-19. – BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo