Peminat China bakar baju Ozil




BEIJING, 20 Rabiulakhir 1441H, Selasa – Peminat Arsenal dari China bertindak membakar baju tentera nama Mesut Ozil susulan kenyataan berani beliau mempertahankan etnik Islam Uyghur yang berterusan menjadi mangsa penganiayaan negara Tembok Besar itu.

Peminat berkenaan yang berang dengan tindakan pemain Jerman kelahiran Turki itu turut mendesak the Gunners supaya memecat Mesut dari terus bermain dengan mereka.

"Anda tahu bagaimana perasaan peminat Arsenal sepanjang dua hari ini, mereka bergelut dengan perasaan bagaimana idola boleh bersikap seperti itu. Serangan ke atas China, anda umpama semut yang kotor di hati kami," kata peminat seperti dipetik portal the Guardian.

Baru-baru ini, Mesut menyatakan rasa kecewa dengan sikap berdiam diri umat Islam berhubung tindakan kekejaman dan penganiayaan berterusan yang dilakukan terhadap etnik Islam Uyghur.

Mesut berkata, al- Quran dibakar, masjid ditutup dan sekolah berasaskan agama Islam diharamkan daripada beroperasi di Xinjiang, China.

Katanya lagi, ahli agama dibunuh seorang demi seorang pada ketika semua perkara ini berlaku umat Islam masih berdiam diri.

"Timur Turki, darah ummah sedang mengalir, penentangan terhadap penganiayaan yang cuba memisahkan mereka dengan agama dianuti. Orang lelaki dipaksa pergi ke kem dan keluarga mereka dipaksa untuk hidup bersama lelaki China. Wanita dipaksa berkahwin dengan lelaki China.

"Tetapi orang muslim berdiam diri, mereka tidak berbunyi apa-apa. Tidakkah mereka tahu memberi persetujuan kepada penganiayaan juga merupakan satu penganiayaan.

"(Saidina) Ali, menantu kepada Rasulullah SAW pernah berkata, jika kita tidak dapat menghindari penganiayaan, cuba untuk dedahkan perbuatan tersebut," katanya dalam status di Instagram rasminya.

China sebelum ini dikritik kerana melaksanakan polisi melampau terhadap penduduk Islam Uyghur dengan menghalang hak mereka untuk menjalankan aktiviti agama dan kebudayaan.

Wilayah Xinjiang kini diduduki lebih 10 juta etnik itu iaitu mewakili 45 peratus keseluruhan penduduk di kawasan berkenaan.

Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, lebih sejuta penduduk etnik berkenaan terlibat dalam tindakan politik kerajaan China dengan memasukkan mereka ke dalam kem bagi mengubah pendirian dan jati diri mereka.- Agensi

Sumber: https://www.ismaweb.net/2019/12/17/peminat-china-bakar-baju-ozil/
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget