NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hargai Nikmat Islam Kurniaan Allah S.W.T




KUALA TERENGGANU, 30 Mei- Umat Islam seharusnya bersyukur kerana dianugerahkan Allah S.W.T dengan dengan nikmat yang tiada tandingannya iaitu nikmat Islam.

Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang berkata, terlalu banyak nikmat Allah S.W.T kurniakan kepada manusia semasa hidup di dunia tetapi Islam itu nikmat yang tidak boleh dibandingkan dengan segala nikmat lain.

Katanya, antara nikmat lain termasuk sihat fizikal dan mental, selamat daripada musibah, ilmu pengetahuan, kemerdekaan, keamanan serta kemakmuran tetapi nikmat Islam hanya dimiliki mereka yang diberikan hidayah oleh Allah S.W.T.



"Kita patut bersyukur kerana Allah S.W.T kurniakan nikmat Islam itu kepada kita.

"Sedangkan ada dalam kalangan mereka yang hidup pada zaman Rasulullah S.A.W tidak mendapat hidayah untuk memeluk Islam," ujarnya ketika menyampaikan tazkirah pada program Tausiah Lailatul Qadar Sempena Madinah Ramadan di Padang Taman Awam Batu Burok, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Yahaya Ali, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Mat Azmi Arshad serta Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman, Mohd Soud Said.

Sementara itu, beliau turut menitipkan pesan agar umat Islam tidak melepaskan peluang untuk memburu malam-malam terakhir Ramadan terutama malam Lailatul Qadar tatkala berbaki kurang empat hari sahaja lagi sebelum Ramadan berlalu.




"Bulan Ramadan diturunkan Al-Quran yang menjadi pentunjuk kepada manusia dan Lailatul Qadar adalah malam yang cukup istimewa yang lebih baik daripada 1,000 bulan.

"Marilah kita bersama-sama meningkatkan amal ibadah dan amalan kebaikan, mudah-mudahan kita diberkati Allah S.W.T, diberi taufik dan hidayah supaya sentiasa mengerjakan amal yang soleh dan Allah S.W.T jauhkan kita daripada perkara buruk dan keji yang dimurkaiNya," ujar beliau. - TEGANUKITE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo