Memahami hak bukan Muslim

Ketua-Ketua Agama Di Kelantan Menyatakan Penghargaan Kepada Kerajaan Negeri Kelantan Menerusi Kunjungan Hormat Majlis Perundingan Malaysia Agama Budha, Kristian, Hindu, Sikh Dan Tao (Kelantan)


ISLAM adalah suatu kultur atau cara hidup yang sempurna. Lantaran itu umat Islam tidak boleh lari walau sesaat pun daripada adunan yang telah disediakan oleh Islam.

ALLAH telah memberikan pedoman yang lengkap berkaitan kehidupan seharian umat Islam seperti digariskan dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Walaupun panduan itu lengkap ia tidaklah bermakna umat Islam dikongkong dalam segala sudut. Panduan yang diberikan adalah bersifat makro manakala aspek mikro masih boleh dilakukan oleh umat Islam dengan bebas.

Masyarakat Islam merupakan sebuah komuniti yang berpegang teguh kepada aqidah dan ideologi. Daripada aqidah dan ideologi tersebut maka muncullah cabangnya seperti undang-undang, hukum-hakam, peradaban dan tatasusila.

Namun, ini bukanlah bermakna orang Islam memutuskan seluruh kehidupannya dengan bukan Islam, sama ada di peringkat individu, tempatan mahupun antarabangsa. Undang-undang Islam sebenarnya mementingkan hubungan sesama manusia menjangkaui batasan agama.

Perbezaan agama bukanlah penghalang kepada orang Islam untuk berkawan, berniaga ataupun berhubung dengan mereka. Umat Islam menjalinkan hubungan sesama mereka dan begitu juga dengan orang yang tidak menganuti Islam.

Dasar-dasar yang tetap telah digariskan merangkumi prinsip-prinsip toleransi, keadilan, kebajikan dan belas ihsan kepada golongan bukan Islam.

Prinsip-prinsip utama dalam melayani bukan Islam ialah mereka hendaklah diberi layanan sama rata dengan umat Islam melainkan atas beberapa aspek sahaja.

Aspek-aspek pengecualian ini amat terhad dan selalunya hanya berkisar dalam perkara-perkara melibatkan peribadatan sahaja. Orang bukan Islam berhak mendapat perlindungan dalam sebuah negara Islam. Hak ini merangkumi perlindungan daripada pencerobohan luar dan kezaliman dari dalam negara.

Golongan bukan Islam berhak menikmati keamanan dan kestabilan hidup. Hak ini adalah hak sama yang dikecapi oleh orang Islam. Pemerintah Islam bertanggungjawab untuk melindungi walaupun setitik darah mereka.

Orang Islam di dalam negara Islam juga adalah dilarang sama sekali menyakiti bukan Islam atau mencerobohi diri, keluarga harta atau agama mereka sama ada melalui tangan (kekuasaan) ataupun lidah.

Apatah lagi umat Islam ditegah daripada membunuh mereka. Ini adalah disebabkan hak perlindungan yang tetap ini meliputi darah, jiwa dan tubuh mereka, begitu juga harta benda dan kemuliaan mereka. Islam menjamin orang bukan Islam mengamalkan agama mereka.

Orang bukan Islam bebas menganuti agama, kepercayaan dan beribadat mengikut agama mereka. Orang bukan Islam tidak boleh dipaksa menganut agama Islam dan tidak akan ditekan semata-mata agar mereka memeluk Islam.

Sejarah telah membuktikan bahawa Islam disebarkan bukan melalui mata pedang tetapi kerana keindahan dan keadilan Islam itu yang menambat hati orang bukan Islam memeluk Islam.

Pandangan umum menyatakan orang bukan Islam juga bebas menjawat jawatan di dalam kerajaan Islam selain jawatan yang melibatkan hal keagamaan seperti Ketua Negara, Ketua Angkatan Tentera dan sebagainya yang mana jawatan tersebut akan melibatkan urusan agama. Dalam urusan lain tiada halangan bagi orang bukan Islam menyandang jawatan kerajaan tersebut.

Bagi jawatan Ketua Negara umpamanya, jawatan tersebut melibatkan pentadbiran sebuah negara Islam yang merupakan negara berideologi. Maka adalah wajar bagi orang Islam sendiri mengendalikannya, begitu juga jawatan Ketua Angkatan Tentera yang mana dalam Islam sebenarnya mempertahankan kedaulatan negara adalah satu ibadat.

Jihad adalah kemuncak seluruh ibadat dalam Islam. Oleh itu dalam hal ibadat seperti ini adalah tidak wajar ia diserahkan kepada bukan Islam. Namun begitu orang bukan Islam tidak dilarang bersama-sama dengan orang Islam berjuang mempertahankan kedaulatan negara atau membanteras rasuah dan sebagainya.

Dalam hal muamalah pula orang bukan Islam mempunyai hak yang tidak boleh disangkal untuk bekerja, berniaga dan mendapat untung. Ini boleh dilakukan dengan berkongsi sesama mereka ataupun dengan orang Islam ataupun bekerja secara sendirian.

Keadaan mereka dari aspek ini langsung tidak berbeza dengan keadaan orang Islam yang diberi peluang untuk menjalankan aktiviti ekonomi dan perdagangan bagi memajukan diri masing-masing. Menurut Islam, umat Islam dan orang bukan Islam perlu bersaing demi untuk memajukan diri.

Orang bukan Islam tidak ditindas dalam mencari kekayaan dan ini memberi peluang kepada semua rakyat bersaing dalam keadaan yang memberi keadilan kepada semua pihak. Syariat Islam telah memperuntukkan hak-hak yang jelas bagi orang bukan Islam dan kebebasan ini dijamin oleh pemerintah Islam.

Adalah menjadi kesalahan bagi umat Islam sekiranya mereka melanggar ataupun mengugut untuk melanggar hak orang bukan Islam. Dari aspek ini sebenarnya, syariat Islam dilihat lebih melindungi hak-hak orang bukan Islam berbanding dengan mana-mana agama lain di dunia ini.

Hak ini adalah pelbagai dan merangkumi hak-hak berkaitan dengan kehidupan seharian, perkara-perkara berhubung dengan keluarga dan kemasyarakatan serta aspek yang lebih besar lagi seperti pendidikan, keturunan, perekonomian dan sebagainya.

Masyarakat Islam secara kolektif bertanggungjawab menjalankan syariat Islam dan melaksanakan hukum-hukum yang termaktub di dalamnya termasuklah perkara-perkara berhubungan dengan hak orang bukan Islam.

Sekiranya berlaku kecuaian atau penyelewengan oleh orang Islam dan melampaui batas yang dibenarkan, maka umat Islam sendiri perlu memperbetulkan keadaan dan mengembalikan hak tersebut kepada yang berhak berlandaskan jalan yang benar dengan menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah daripada melakukan kemungkaran.

Syariat Islam sebenarnya sentiasa memihak kepada orang yang dizalimi atau dicerobohi biarpun orang yang dizalimi atau dicerobohi itu adalah bukan Islam.

Pembelaan akan diberikan kepada mereka tanpa mengambil kira faktor keagamaan tersebut hatta pemerintah Islam yang zalim terhadap rakyat bukan Islam pun boleh diambil tindakan kerana kezaliman yang dilakukan oleh mereka.

Hak orang bukan Islam ini sebenarnya wajib dipelihara oleh orang Islam kerana ia adalah tuntutan yang wajib dipatuhi oleh setiap umat Islam. Membenarkan hak ini adalah suatu kewajipan dan menafikannya adalah suatu tegahan.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget