Bantahan Pelaksanaan Semula PPSMI


BANTAHAN PELAKSANAAN SEMULA PPSMI

Majlis Perundingan Melayu, MPM bersama sekutunya NGO dan individu Pejuang Bahasa Melayu (BM) & Pendidikan Kebangsaan (Gabungan Penulis Kebangsaan, Akademi Sains Islam Malaysia, Persatuan Linguistik Malaysia, Persatuan Penulis Nasional Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia, Majlis Pendidikan Islam Malaysia, Teras Pengupayaan Melayu, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia), menganjurkan sidang media ini bagi menyatakan bantahan kami terhadap hasrat kerajaan untuk melaksanakan semula Program PPSMI (dengan pada masa yang sama mengekalkan atau membiarkan pelaksanaan Program DLP diteruskan).

Sebelum menghuraikan mengenai bantahan ini lebih lanjut, sayugia kami jelaskan di sini pendirian kami:

Pertama,
Kami semua sepakat, sekata, setuju dan menerima hakikat bahawa bahasa Inggeris itu penting bagi pelbagai keperluan dan kegunaan, bukan sekadar bahasa ilmu dan pendidikan sahaja. Maka, penguasaan Bahasa Inggeris adalah penting.

Kedua,
Kami semua sepakat, sekata, setuju dan menerima hakikat bahawa penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan para pelajar, terutamanya di luar bandar dan juga dalam kalangan pelajar Melayu, amat lemah. Oleh itu, usaha yang praktikal dan berkesan wajiblah dipertingkatkan bagi mengatasi permasaalahan ini.

Dengan penjelasan ini, kami mahu semua pihak terutama kerajaan, memahami pendirian kami bahawa kami tidak menentang sebarang usaha kerajaan mempertingkatkan pembelajaran bahasa Inggeris.

Yang kami tentang ialah pelaksanaan Program PPSMI (dan DLP) itu, kerana:

Pelaksanaan kedua-dua Program itu tidak dimulakan dengan perancangan yang rapi yang diuji terlebih dahulu persiapan bagi pelaksanaannya, kaedah pelaksanaannya dan keberkesanannya. Program itu terus dilaksanakan tanpa terlebih dahulu dibangunkan satu ekosistem yang komprehensif yang apabila dilaksanakan, program itu:
- mencapai matlamatnya,
- tidak menjejaskan Dasar Pendidikan Kebangsaan,
- tidak meminggirkan BM sebagai Bahasa Kebangsaan (BK) dan
- tidak merosakkan pembelajaran subjek-subjek lain, terutama subjek-subjek penting seperti Sains & Matematik.

Ketiadaan satu ekosistem yang komprehensif ini menyebabkan kaedah pembelajaran bahasa Inggeris itu bercelaru, caca-merba dan kucar-kacir. Apatah lagi, selain subjek Bahasa Inggeris, dipilih pula subjek-subjek yang berasaskan Sains dan Matematik untuk diajarkan dalam bahasa Inggeris. Subjek-subjek itu terbukti amat sukar dipelajari dan dikuasai dengan baik oleh kebanyakan pelajar, terutama di luar bandar. Keadaan ini sekali gus menjadikan pelaksanaan Program PPSMI ini mencetuskan fenomena malapetaka berganda (double-jeopardy) kepada para pelajar yang dinyatakan itu. Bahkan sebahagian guru yang mengajar turut mengalami masalah besar dalam penyampaian subjek-subjek itu.

Semasa kali pertama kami menentang pelaksanaan Program PPSMI ini dahulu telah dikemukakan bantahan berserta fakta hasil kajian yang dijalankan oleh beberapa buah IPTA, DBP dan persatuan pendidikan, yang amat jelas menunjukkan impak negatif selama tujuh tahun PPSMI itu dilaksanakan.

Kementerian Pendidikan dalam era kepemimpinan YB Tan Sri Muhyuddin Yasin, akur dan menerima hujah bantahan kami, lantas beliau mengarahkan perlaksanaan Program PPSMI ini ditamatkan dan memperkenalkan Program Memartabatkan Bahasa Melayu dan Meningkatkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) sebagai program yang lebih terarah bagi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Malangnya, selepas perubahan pucuk pimpinan di Kementerian Pendidikan ketika itu, Kementerian berkenaan dipengaruhi pula oleh para pejuang ekonomi (diterajui oleh PEMANDU) yang mempergunakan agenda pendidikan bagi memenuhi keperluan ekonomi, kononnya penguasaan BI amat penting dalam urusan bisnes. Mereka berjaya mempengaruhi kerajaan BN ketika itu untuk mengembalikan usaha songsang pembelajaran BI ini dengan menggunakan terminologi baharu yang dinamakan Program DLP (Dual Language Programme).
Kini, kerajaan PH ingin mengembalikan pelaksanaan Program PPSMI, tatkala pihak Kementerian masih tercari-cari kaedah terbaik untuk membina satu ekosistem yang sempurna bagi memperkasakan pendidikan BI di sekolah-sekolah.

Kami melihat Kerajaan tergesa-gesa hendak melaksanakan semula Program PPSMI ini. Malah pendirian dalam kalangan pemimpin dalam kerajaan itu sendiri pun tidak konsisten mengenai perkara ini. Tatkala YAB Perdana Menteri menyatakan pendiriannya memberikan kelonggaran kepada sekolah-sekolah membuat pilihan untuk melaksanakan atau sebaliknya Program PPSMI, YB Dato Seri Anwar pula membuat pendirian yang konsisten dengan kami sekalian, iaitu beliau tidak menolak usaha memperkasakan penguasaan BI, tetapi jangan sampai kedudukan BM sebagai bahasa kebangsaan terabai atau tergugat dan penguasaan BI dalam kalangan pelajar masih kekal ditakuk lama, kerana kaedah pembelajaran yang tidak betul atau tidak sesuai dan ekosistemnya masih tidak terbina sepenuhnya.

Bagi kami, pelaksanaan Program PPSMI (dan juga Program DLP) bukan sekadar menjulang BI dan meminggirkan kedudukan BM sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Lebih dahsyat dan licik daripada itu ialah usaha terancang oleh pihak-pihak tertentu untuk meminggirkan sistem pendidikan kebangsaan bagi diganti dengan sistem pendidikan pelbagai aliran, termasuk aliran Inggeris. Bukan pembelajaran BI dan BM sahaja yang hendak dicelarukan, malah pembelajaran beberapa subjek lain turut jadi mangsa.

Jika kerajaan sendiri telah meminggirkan Sistem Pendidikan Kebangsaan dan pemerkasaan BM sebagai bahasa kebangsaan menerusi pewujudan sistem pendidikan aliran Inggeris sepenuhnya, apa alasan untuk kerajaan menolak sekolah-sekolah vernakular dan sekolah-sekolah antarabangsa untuk mengutamakan bahasa ibunda masing-masing dan meminggirkan BM. Inilah juga perkara yang amat kami khuatiri, selain isu penolakan pelaksanaan semula Program PPSMI ini.

Sebaliknya, jika kerajaan ikhlas hendak memperkasakan penguasaan BI dalam kalangan pelajar sekolah, malah dalam kalangan pekerja baik sektor awam mahu pun swasta, bukan pelaksanaan Program PPSMI itu yang patut diutamakan, tetapi ekosistem pendidikan dan kaedah pembelajaran BI itu yang wajib dikaji dengan mendalam dan dilaksanakan dengan betul dan berkesan, tanpa menjejaskan pembelajaran subjek-subjek dan tanpa meminggirkan BM sebagai bahasa kebangsaan.

Kami boleh menerima hujah atau alasan jika sekiranya hasil kajian yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan mendapati, misalnya:

pembelajaran BI dengan berkesan memerlukan lebih 20% dari jumlah jam masa pembelajaran, dan
memerlukan peruntukan besar bagi memperlengkap setiap sekolah dengan kemudahan, buku & peralatan pendidikan, aktiviti pendidikan, kurikulum, tenaga pengajar dan tutor.

Jika itu yang diperlukan, laksanakanlah program baharu itu, asalkan kedudukan BM sebagai bahasa kebangsaan tidak tergugat atau terpinggir dan hasrat penguasaan BI dalam kalangan para pelajar tercapai dengan jayanya.

Apa pun hujah kerajaan untuk melaksanakan semula Program PPSMI dalam modul yang ada ini dan dalam ekosistem yang ada ini akan tetap kami tentang.

Kuala Lumpur
Selasa 12 Mac 2019
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget