Peletakan Jawatan Yang Di-Pertuan Agong dan Selepasnya



PELETAKAN JAWATAN YANG DI-PERTUAN AGONG DAN SELEPASNYA
Oleh: Tun Abdul Hamid Mohamad

Pada 6 Januari 2019, Yang di-Pertuan Agong ke-15 Malaysia meletak jawatannya. Tiada alasan diberikan. Saya juga tidak akan menduga.

Bagi saya 6 Januari 2019 adalah suatu hari yang sangat penting bagi sistem raja berperlembagaan di Malaysia. Ia menunjukkan kematangannya. Jika YDPA, atas sebab-sebab yang diketahui olehnya, berpendapat bahawa baginda tidak mampu menjalankan tugasnya dengan baik sebagai seorang YDPA, atau jika baginda tidak sukakan pekerjaan itu atau baginda tidak sukakan orang yang baginda perlu bekerja dengannya atau atas alasan apa pun, tindakan yang baik untuk dilakukannya ialah meletakkan jawatan.

Kita tahu bahawa beberapa hari sebelum tarikh itu, Raja-Raja mengadakan mesyuarat tidak berjadual. Kita tidak tahu sama ada mereka membincang berkenan YDPA Ke-15 atau kedudukannya, apa keputusan yang dibuat, jika ada dan sama ada ia telah disampaikan kepada baginda. Jika jawapan kepada semua soalan-soalan ini adalah afirmatif yang mengakibatkan peletakan jawatan itu, itu adalah cara yang sangat terhormat dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

Malah Dato' Seri Najib, katakanlah apa yang anda suka mengenainya, menyerahkan kerajaan kepada Pakatan Harapan dengan cara yang terhormat apabila partinya kalah dalam GE 14.

Bandingkan dengan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak selepas GE 13 yang berpaut di meja Speaker apabila pengawal-pengawal dewan cuba mengeluarkannya dengan paksa apabila beliau enggan mengosongkan kerusinya, selepas kerajaannya kehilangan majoriti dalam dewan itu. Jika beliau berpendapat bahawa kerajaannya masih mempunyai majoriti dan/atau beliau fikir beliau lebih kuat daripada pengawal-pengawal itu sekali pun, beliau sepatutnya bangun dan berjalan keluar dengan cara yang bermaruah kerana, bukanlah martabatnya, sebagai seorang Speaker, yang berpakaian lengkap, untuk bergelut dengan pengawal-pengawal itu, apatah lagi, apabila akhirnya, beliau di angkat keluar dari dewan itu. Beliau sepatutnya mencari remedi lain.

Saya telah menyatakan pendapat saya bahawa adalah satu kesilapan bagi YDPA memberitahu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir bahawa baginda bersetuju untuk mengampunkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebelum mesyuarat Lembaga Pengampunan dan menerima kunjungan Dato' Seri Anwar Ibrahim, yang masih menjalani hukuman pemenjaraannya dan memberitahu bahawa beliau akan diampunkan, juga sebelum mesyuarat Lembaga Pengampunan. Lebih buruk lagi apabila YDPA memberitahu Dato' Seri Anwar bahawa beliau diampunkan kerana ketidakadilan yang dilakukan kepadanya. Itu demoralise mahkamah, Pendakwa Raya dan polis kerana ia seolah-oleh menyatakan bahawa mereka kelihatan seperti alat kerajaan sebelumnya. (Lihat Pengampunan Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Keadilan Kepada Saiful (14 05 2018)).

Suatu perkara lagi yang kita baca dalam media yang dilakukan semasa pemerintahan baginda ialah YDPA selalu mengadakan majlis-majlis angkat sumpah di luar waktu pejabat. Majlis mengangkat sumpah pelantikan kontroversi Tun Md Rauf sebagai Ketua Hakim Negara dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin sebagai Presiden Mahkamah Rayuan untuk tempoh lanjutan itu dilakukan pada waktu malam. Begitu juga majlis angkat sumpah Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara. Ini adalah fungsi rasmi YDPA yang serius. Ia patut dilakukan di waktu pejabat.

Majlis mengangkat sumpah Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri wajar diberi perhatian khusus. Kita membaca bahawa sebaik sahaja pengumuman keputusan pilihan raya menunjukkan bahawa PH telah mendapat majoriti, pada malam itu juga, Tun Dr. Mahathir pergi ke Istana Negara untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kerana takut kiranya akan berlaku lompatan parti oleh Ahli-Ahli Parlimen yang baru dipilih itu yang akan menyebabkan PH kehilangan majoriti.

Bagi saya, adalah memalukan bagi seorang bakal Perdana Menteri untuk pergi tanpa diundang, pada waktu malam, mungkin untuk mengejutkan YDPA jika baginda sedang beradu, untuk mengangkat sumpah beliau sebagai Perdana Menteri.

Kedua, YDPA tidak sepatutnya nampak seperti menjalankan tugasnya di bawah tekanan. YDPA berhak memuaskan dirinya siapa, menurut pendapatnya, mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen yang baru dipilih itu. Jika Ahli-Ahli Parlimen yang baru dipilih hendak menyeberang dan menyeberang balik malam itu, biarkan mereka berbuat demikian. Sekurang-kurangnya, YDPA sepatutnya berpeluang untuk memuaskan diri baginda siapa yang mempunyai sokongan majoriti, pada siang hari keesokan harinya.

Upacara mengangkat sumpah Perdana Menteri adalah upacara mengangkat sumpah yang paling penting yang dilakukan oleh YDPA. Ia perlu dilakukan di majlis yang sesuai, dihadiri oleh para VIP termasuk, saya cadangkan, mantan Perdana Menteri terakhir, dan disiar secara langsung oleh televisyen. Ia akan membuktikan bahawa demokrasi berjalan dengan baik di Malaysia. Ia juga menunjukkan kematangan ahli-ahli politik di Malaysia..

Saya harap di masa hadapan YDPA tidak akan tunduk kepada tekanan. Biarkan calon Perdana Menteri piket di luar Istana Negara sepanjang malam jika beliau mahu!

Adalah juga diharapkan, tidak lama lagi Raja-Raja akan memilih YDPA baru yang memahami sistem raja berperlembagaan, federalisme, kedaulatan undang-undang, memahami dan menghormati Perlembagaan dan mematuhinya.

Zaman kuasa mutlak Kesultanan Melaka sudah berlalu. Raja berperlembagaan mesti sedar bahawa kuasanya datang dari Perlembagaan. Perlembagaanlah yang memberi dan menghadkannya. Perlembagaanlah yang menentukan bagaimana kuasa-kuasa itu dilaksanakan.

Ada kuasa yang boleh dilaksanakan mengikut budi bicara, manakala yang lainnya kena dilaksanakan atas nasihat Perdana Menteri. Perkataan "atas nasihat" mempunyai makna yang berbeza daripada perkataan nasihat yang digunakan dalam perbualan harian. Ia bermakna anda perlu mengikutinya, sama seperti Raja-Raja Melayu mesti mengikut "nasihat" Resident Inggeris sebelum Merdeka.

Saya minta maaf kiranya saya membuat bunyinya tidak sedap didengar. Tetapi, itulah realitinya. Anda mungkin tertanya-tanya mengapa. Katalah itu cara orang Inggeris berbuat sesuatu. Setelah berjuang begitu lama menuntut daripada raja-raja mereka yang berakhir dengan raja berperlembagaan yang kita ambil pakai, kata-kata "atas nasihat" tentunya lebih diplomatic dan lebih sedap didengar daripada "seperti yang diperintahkan" atau "mengikut arahan" Perdana Menteri!

Terdapat satu perkara lagi yang perlu diketahui oleh YDPA, iaitu konvensyen. Sistem raja berperlembagaan tidak boleh berfungsi tanpa konvensyen. Ada perkara yang YDPA, seperti juga King atau Queen England mesti lakukan walaupun Perlembagaan (Malaysia mempunyai Perlembagaan bertulis, England tidak) Perlembagaan tidak menyebutnya.

Satu contoh yang baik ialah Perkara 44 adalah contoh yang baik:

“44. Kuasa perundangan Persekutuan hendaklah terletak hak pada Parlimen yang hendaklah terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong dan dua Majlis Parlimen yang dikenali sebagai Dewan Negara dan Dewan Rakyat.”

Menurut konvensyen, selepas kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara meluluskan sesuatu rang undang-undang, YDPA hendaklah memberi persetujuan baginda. Menurut konvensyen, baginda tidak boleh menolak untuk memberikan persetujuannya. Sekiranya konvensyen ini dan konvensyen-konvensyen lain diketahui dan dipatuhi pada tahun 1983, mungkin krisis perlembagaan pertama dapat dielakkan dan pindaan-pindaan yang banyak yang dilakukan kepada Perlembagaan itu tidak perlu.

Nasib baik atau tidak, selepas tiga Perdana Menteri pertama adalah peguam, Perdana Menteri keempat pada masa itu, seperti yang ketujuh, adalah seorang doktor perubatan. Maka, doktor perubatan itu pun melakukan pembedahan ke atas Perlembagaan yang digubal oleh Law Lords England.

Biasanya, setiap orang yang menjalani pekerjaan baru melalui latihan dalam perkhidmatan. Saya fikir pekerjaan yang tertinggi dan paling penting di negara ini juga tidak patut dikecualikan, melainkan YDPA adalah seorang peguam. Tiada apa-apa yang hendak dimalukan. Adalah lebih baik untuk belajar lebih awal daripada membuat kesilapan kemudian, apatah lagi apabila kesilapan itu akan membawa akibat kepada seluruh negara.

Sampai kepada rakyat. Terdapat kecenderungan yang semakin meningkat di kalangan orang Melayu untuk meminta Raja-Raja, melalui Majlis Raja-Raja, untuk campur tangan dalam berbagai perkara, undang-undang, pentadbiran dan politik di mana mereka tidak mendapat perhatian atau penyelesaian yang memuaskan daripada kerajaan.

Sekarang, terdapat satu trend menghantar memorandum kepada Raja-Raja mengenai isu politik semasa, meminta Raja-Raja, melalui Majlis Raja-Raja, untuk campur tangan. Perlu diingati bahawa Majlis Raja-Raja telah ditubuhkan untuk tujuan tertentu. (Sila baca ucaptama saya "Majlis Raja-Raja: Fungsinya Menurut Perlembagaan Persekutuan" (19 September 2017).

Adalah penting bahawa YDPA, Raja-Raja, ahli-ahli politik dan rakyat mengetahui kuasa dan sempadan bidangkuasa institutsi-institusi dalam sistem raja berperlembagaan dan institusi-institusi itu hendaklah befungsi dalam sempadan bidangkuasanya dan tidak diminta untuk mengganggu dalam perkara-perkara di luar bidang kuasanya.

Apa yang paling menyakitkan hati sekarang ialah peningkatan komen kasar, biadab, kurang ajar dan penghinaan terhadap YDPA dan Raja-Raja yang dilakukan oleh, biasanya pemuda pemudi Cina, di media sosial. Tiada pula tindakan diambil terhadap mereka. Adakah ini kegagalan polis atau Peguam Negara atau dasar Kerajaan PH? Kebebasan bersuara ada hadnya. Orang yang tidak tahu, tidak peduli atau tidak menghormati had kebebasan atau memang biadab dan kurang ajar tidak sepatutnya dibiarkan menyalahgunakan kebebasan itu.

09 01 2019

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget