NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hakim, peguam menari: Kena tahu menilai, bukan Islam ada amalan sendiri


MARANG 20 Jan. - Masyarakat boleh menilai tindakan beberapa individu penting dalam institusi perundangan negara yang menari dalam sebuah majlis makan malam sebagaimana video yang tular sejak kelmarin merupakan budaya kalangan bukan Islam.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, masyarakat bukan Islam mempunyai amalan budaya tersendiri termasuklah dalam acara-acara tertentu.

"Kita pun tidak boleh membuat ulasan lebih-lebih, terpulang kepada budaya, bangsa dan agama masing-masing kerana seperti saya katakan tadi bukan semua (dalam video) terdiri daripada orang kenamaan beragama Islam.

"Berbeza dengan isu bekas peguam negara menari sebelum ini kerana beliau merupakan orang Islam jadi, kita berpegang kepada perkara kukuh itu," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas penularan video yang dipercayai dirakam semasa Majlis Makan Malam Pembukaan Tahun Perundangan 2019 yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah selepas Bicara Profesional bersama Majlis Pengetua Sekolah Malaysia Terengganu di Akademi Bomba Wakaf Tapai di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris; Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin dan timbalannya, Matsor Ismail di samping Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Azlimin Mat Noor.

Video berdurasi seminit 37 saat itu memperlihatkan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum dan Peguam Negara, Tommy Tommas menari 'twist' mengikut rentak irama sebuah lagu Inggeris, 'Let's Twist Again'.

Selain kedua-dua tokoh itu, antara mereka yang berprofil tinggi didapati berada dalam video sama ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong serta peguam-peguam yang dilihat sebagai pro-Pakatan Harapan, Datuk S. Ambiga dan Siti Zabedah Kasim atau Siti Kasim.

Dalam perkembangan lain, Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, kementeriannya akan membuat kajian terperinci bagi memastikan isu pembekalan baju kalis api oleh JBPM yang menimbulkan kontroversi berikutan pakaiam berkenaan yang disahkan berbahaya untuk digunakan tidak lagi berulang.

Katanya, setakat ini pihaknya masih belum mengenal pasti pembekal dan mana-mana yang layak boleh mengemukakan cadangan cadangan atau tawaran berhubung baju kalis api itu.

"Yang penting adalah standard baju itu mesti menepati spesifikasi bertaraf antarabangsa yang tertinggi," katanya. - UTUSAN ONLINE

Sumber: http://m.utusan.com.my/berita/politik/hakim-peguam-menari-kena-tahu-menilai-bukan-islam-ada-amalan-sendiri-1.826177

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo