NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terengganu Hantar 20,000 Peserta Himpunan Tolak ICERD



KUALA TERENGGANU, 2 Disember - Himpunan aman menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) pada 8 Disember ini bakal dibanjiri 20,000 peserta yang tidak mengira latar belakang politik dari Terengganu.


Ketua Penerangan PAS Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, sasaran itu bakal melengkapkan ramalan bahawa seramai satu juta peserta dari seluruh negeri yang bakal berhimpun demi kepentingan dan kesatuan ummah dan daulah.

"Kita ramal perhimpunan ini akan mendapat penyertaan dalam jumlah yang besar.

"Semua sekali tak kira PAS atau Umno akan turun berhimpun. Himpunan ini juga terbuka, tidak kira mereka dari PKR atau parti mana, boleh hadir," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelantikan Jawatankuasa Masjid Daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, di Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di sini, hari ini.

Tambahnya, himpunan ini akan dipastikan berjalan lancar tanpa provokasi daripada mana-mana pihak dan jaminan ini berdasarkan himpunan yang pernah dianjurkan oleh pihak PAS.

"Kita yakin jika tiada provokasi dari mana-mana pihak, himpunan ini akan berjalan secara harmoni dan aman.

"Dengar nasihat penganjur, ikut peraturan yang digariskan dan saya minta para peserta untuk tidak ambil kira dan terpengaruh dengan apa yang dikatakan atau provokasi oleh pihak luar," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo