Jangan Kecewakan Rakyat - Sultan Nazrin



Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri supaya tidak mengecewakan amanah baginda dan kepercayaan yang sudah diberikan rakyat.

Titah baginda, harapan rakyat yang mahukan pemerintahan yang adil dan saksama berlandaskan undang-undang, harus direalisasikan secara bersama oleh semua pihak berkenaan.

“Rakyat jangan terus dibiarkan menampi nyiru harapan, sedangkan janji tidak berisi.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), hakim, ulama, umara, angkatan tentera, polis, badan beruniform, yang masing-masing turut diberikan amanah untuk membantu, supaya negeri ini terus dibangunkan dalam suasana aman dan warga berada dalam sejahtera.

“Demikian jua seruan Beta kepada pihak swasta, badan sukarela, badan kebajikan, pertubuhan belia, badan sukan serta rakyat keseluruhannya, agar saling bekerjasama memperlengkap usaha pembangunan yang dirintis oleh kerajaan Beta,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-62, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar, Ahad.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah serta Raja Puan Muda, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohamed Radzi.

Sultan Nazrin bertitah, demi menjamin rakyat dapat hidup dalam suasana rukun, harmoni dan membina sebuah negara yang stabil serts aman, pemimpin politik perlu membaca mesej rakyat secara tepat.

Titah baginda, budaya politik pasca 61 tahun merdeka, menuntut kepada menu baharu dan resipi baharu, dalam persekitaran politik yang baharu.

“Kaedah memperoleh pengaruh melalui persaingan untuk menunjukkan siapa yang lebih Melayu, lebih Cina, lebih India, lebih Kadazan atau lebih Iban; begitu juga persaingan mendapatkan pengaruh untuk menunjukkan siapa yang lebih Islam, lebih Kristian, lebih Hindu atau lebih Buddha, ketara semakin tidak relevan.

“Di sebaliknya, rakyat lebih mengutamakan untuk menilai siapa yang lebih bersih, amanah, telus dan lebih cekap mengurus tadbir.

“Rakyat mahukan pemimpin yang menunjukkan sikap lebih sedia mendengar daripada sikap hanya mahu didengar,” titah baginda.

Titah baginda lagi, rakyat bersedia mendedahkan dan menolak pemimpin yang menggunakan jawatan untuk kepentingan diri, mengumpul kekayaan untuk ahli keluarga, atau menjadi instrumen kepada ahli perniagaan, sebaliknya belajar daripada kesilapan mereka yang terdahulu.

Baginda bertitah, menjadi satu kehampaan bagi rakyat jika pilihan yang baharu, turut mengulangi kesilapan yang sama, apatah lagi jika melakukannya secara lebih buruk.

Sumber: http://watan-online.com/2018/11/04/jangan-kecewakan-rakyat-sultan-nazrin/


Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget