NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tetap bantah Oktoberfest!



BANGI, 7 Safar 1440H, Selasa – Tidak kira apa syarat yang ditetapkan demi membolehkan Oktoberfest 2018, Dewan Ulama PAS Pusat tetap membantah sekeras-kerasnya penganjuran seumpama itu diadakan di negara ini.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, walaupun diadakan secara tertutup dan tidak membabitkan orang Islam, penganjuran berbentuk pesta itu disifatkan tidak menghormati sensitiviti umat Islam sebagai rakyat majoriti.

Beliau berkata, hak minum dan menjual arak yang diberikan kepada orang bukan Islam bukan menjadi lesen untuk pesta seumpama itu dianjurkan di Malaysia.

"Isu yang jelas adalah sensitiviti ummah mesti dipertahankan. Ini adalah tanggungjawab non muslim dalam sebuah negara yang majoriti masyarakat muslim sebagaimana yang dinyatakan oleh Prof. Dr. Syeikh Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabnya.

"Walau apa pun alasan dalam hendak membenarkan Oktoberfest ini, hakikatnya, ingatlah arak disebut sebagai ibu maksiat kerana mendatangkan mudarat serta kejelikannya yang menghilangkan kewarasan manusia dalam berfikir," katanya dalam satu kenyataan.

Dr Mahfodz berkata, bantahan Dewan Ulama PAS Pusat terhadap penganjuran itu jelas kerana ia bukan sahaja mengundang kemudaratan, malah tidak menghormati sensitiviti umat Islam serta bertentangan dengan nilai dan budaya umum masyarakat di Malaysia.

"Jika ia terus dilaksanakan, ia menjadi syiar kemungkaran sedangkan banyak mudharat yang timbul kesan daripadanya. Jika non muslim ingin minum arak, silakan di kediaman mereka tanpa mempromosinya dan tanpa membuat penganjuran pesta berskala besar.

"Justeru, Dewan Ulamak PAS Pusat tetap bertegas dengan pendirian bahawa Oktoberfest ini tidak boleh dianjurkan dan mesti dibantah sekeras-kerasnya," katanya.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo