NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tanah runtuh: CAP gesa kerajaan DAP bertanggungjawab




BANGI, 14 Safar 1440H, Selasa – Kerajaan negeri Pulau Pinang digesa mengaku bertanggungjawab ke atas kejadian tanah runtuh tapak projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus, pada Jumaat lalu, yang mengorbankan sembilan nyawa.

Pengerusi Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris berkata, kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) perlu berbuat demikian kerana mereka kurang melakukan pengawasan dan penguatkuasaan hingga membawa kepada tragedi di projek kerajaan sendiri.

Beliau terkejut apabila sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan bahawa tidak satu pun tapak pembinaan di Pulau Pinang mematuhi pelan mitigasi hakisan tanah seperti yang termaktub di dalam kelulusan projek.

Ketika mengunjungi tapak tragedi runtuhan semalam, beliau berkata, pihaknya mendapati ada kerja pembersihan besar-besaran dan cerun curam yang botak dengan kecerunan hampir 90 darjah.

"Tidak terlihat langsung langkah-langkah diambil untuk melindungi cerun atau menstabilkan tanah di tapak berkenaan, yang jelas mengundang bencana.

"Kerajaan negeri dan pihak berkuasa kerajaan tempatan tidak seharusnya mengatakan ini adalah 'takdir Tuhan' berikutan hujan lebat, padahal kita sedia maklum, jika cerun dibiarkan terdedah tanpa sebarang perlindungan atau langkah untuk menstabilkan tanah tidak diambil, ia cenderung menjadi gelongsoran tanah.

"Jelas sekali, pihak berkuasa kerajaan tidak mengambil iktibar daripada tragedi runtuhan tanah baru-baru ini, termasuk tragedi gelongsoran tanah yang meragut 11 nyawa di kawasan Tanjung Bunga tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Projek bernilai RM545 juta itu menjadi laluan alternatif menghubungkan Lebuhraya Thean Teik di Bandar Baru Air Itam ke Lebuh Bukit Jambul dijangka siap pada Mac 2020, selepas mengalami kelewatan setahun daripada jangkaan asal.

Dalam kejadian tanah runtuh itu, sembilan mayat sudah ditemui, manakala seorang lagi lelaki Bangladesh dilapor masih hilang.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo